Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Kamus Perincian

Perbenaran

Dalam PL, perkataan Ibrani tsedeq, tsadeq, tsaddiq, tsedaqah secara umumnya merujuk kepada kenyataan yang terbukti benar dan adil, atau tingkah laku yang tidak bersalah (1Raj 8:32; 2Taw 6:23).

Perbenaran Allah merujuk kepada sifat-Nya yang benar dan adil, serta kehendak-Nya bagi umat-Nya seperti yang dijelaskan dalam Taurat Musa, yang seterusnya ternyata dalam perbuatan-Nya meniadakan kesalahan dan hukuman dosa, sehingga orang berdosa diperbenar dan diselamatkan, iaitu diterima semula dalam hubungan yang seharusnya dengan Allah.

Abraham percaya bahawa Allah akan melakukan kehendak-Nya mengenai keturunan Abraham, maka hal itu diperhitungkan baginya sebagai perbenaran ( lihat Kej 15:6). Seterusnya keturunan Abraham diperintahkan supaya melakukan yang benar dan adil (Kej 18:19) supaya diperbenar dan diselamatkan bersama.

Dalam PB, istilah yang digunakan dalam bahasa Yunani ialah dikaiosunē. Maksudnya dalam Injil Matius jelas merujuk kepada tingkah laku seseorang yang hidup selaras dengan kehendak Allah serta melaksanakan tuntutan-tuntutan-Nya (Mat 5:6,10). Kerana itu, Tuhan Yesus datang untuk dibaptiskan oleh Yohanes kerana ingin menunaikan segala perbenaran (Mat 5:16). Dalam ajaran Paulus pula, perbenaran itu bukan sekadar tingkah laku benar di hadapan Allah, melainkan diperkuat lagi untuk merujuk kepada suatu anugerah Allah yang diterima dalam iman, tidak berdasarkan diri manusia atau ibadatnya (bandingkan Ef 2:8-9).

Oleh yang demikian, tertakluk kepada konteksnya, tsedeq atau dikaiosunē telah diungkapkan dengan perkataan-perkataan yang berikut - 'perbenaran', 'yang benar', 'yang adil', 'keadilan', 'kesalihan.'