Monoteisme dan Politeisme
Oleh: Pastor Metamorphoo
Politeisme adalah suatu kepercayaan dalam banyak Tuhan. Katanya berasal dari poly (= banyak) dan theo (= Tuhan). Ia merupakan keyakinan akan kewujudan pelbagai dewa. Mereka yang menganuti kepercayaan ini akan menyembah dan berdoa kepada dewa-dewa demi untuk menjauhkan amarah dan malapetaka daripada komuniti mereka. Kepercayaan ini mewujudkan suatu keadaan di mana dewa-dewa bersaing untuk mendapatkan lebih banyak pengikut, supaya nama dewa mereka itu lebih dikenali dan disembah.
Berlawanan dengan politeisme ialah monoteisme, iaitu kepercayaan kepada hanya satu Tuhan. Monos bererti tunggal; theo bererti Tuhan. Besar kemungkinin Judaisme ialah agama monoteisme yang tertua di dunia. Kepercayaan Judaisme juga telah mengalami proses kefahaman dan akhir-akhirnya mereka mengakui Tuhan yang tunggal satu, tidak mungkin dibahagikan, dan adalah Penyebab Mutlak segala sesuatu yang wujud. The Ultimate Cause.
Apabila Kejadian 1 mengatakan, Pada mulanya Allah menciptakan langit dan bumi, ia sedang merujuk kepada Penyebab Muktamad. Makanya ayat ini menyangkal kepercayaan politeisme kerana hanya ada satu Penyebab tunggal yang memungkinkan ciptaan terjadi. Dialah yang dikatakan Penyebab yang tidak Diciptakan. The Uncreated Cause.
Perbezaan antara Judaisme dan Kekristianan
Di dalam kefahaman Judaisme, Allah adalah satu peribadi mutlak yang tiada peribadi lain. Ini dikatakan sebagai Unitarian, iaitu Satu Unit. Kekristianan juga bertegar dengan kepercayaan Tuhan yang monoteistik. Namun di dalam monoteisme itu, Tuhan menyatakan DiriNya sebagai tiga peribadi yang berlainan, yang disebut sebagai Bapa, Firman, dan Roh Kudus. Kefahaman keesaan daripada tiga peribadi Tuhan ini dipanggil sebagai Tritunggal (atau Triniti).
Kefahaman Tritunggal tidak berasal dari politeisme kerana dewa-dewa politeisme berlainan, malah bersaingan, dan berbeza kuasa, kemuliaan, sifat, tujuan dll. Inti kefahaman Tritunggal ialah Bapa, Firman, dan Roh Kudus adalah sama dalam kesempurnaan, dalam kemuliaan, juga sama dalam sifat (zat) mereka. Mereka tidak bersaing kerana mereka tidak cemburu antara satu sama lain, malahan kasih antara mereka adalah sempurna. Tidak ada orang yang begitu bijaksana sehingga mewujudkan kefahaman Tritunggal ini. Ia perlu diwahyukan kepada manusia.
Manusia, dalam kefahaman ceteknya, mengira 1 + 1 + 1 Peribadi harus menghasilkan 3 Peribadi. Tetapi seandainya Infiniti + Infiniti + Infiniti, hasil yang hakiki ialah 1 Infiniti dan bukan 3 Infiniti. Masalah minda manusia ialah kecenderungannya untuk memikirkan hal rohani dalam bentuk pepejal, iaitu menyamakan Tuhan seperti manusia.
Ada yang mengatakan konsep keesaan Tuhan tidak mungkin merangkumi 3 Peribadi dan masih tetap dianggap sebagai satu. Akan tetapi, dalam kewujudan manusia pun boleh ada dua namun tetap satu! Apakah maksudnya? Manusia memiliki jasad, dan juga roh. Dari perkiraan matematik, manusia itu adalah dua, jasad + roh. Sekiranya jiwa berbeza daripada roh, maka wujud manusia boleh dikirakan sebagai tiga: Jasad + roh + Jiwa.
Namun, kita tidak pernah mengira manusia sedemikian! Kita tetap mengatakan manusia adalah satu (pepejalnya), walaupun manusia ada 2 dimensi (jasad + roh), atau mengikut sarjana yang lain, 3 dimensi (jasad + roh + jiwa). Sebabnya manusia hanya hidup di dalam dimensi fizikal ini, dan hanya sanggup mengerti dan mengira mengikut dimensi material ini. Sungguh aneh untuk melihat kebebalan manusia yang hidup dalam dimensi bumi tetapi menganggap dapat memahami dimensi syurgawi! Sungguh lucu untuk melihat keangkuhannya, ketika dia begitu yakin bahawa Tritunggal tidak mungkin wujud atas sebab dia hanya fikirkan seluruh angkasa lepas harus menurut pemikiran bumi saja.
Namun melalui pewahyuan Allah, kita diberi peluang untuk memahami sedikit tentang keperibadian dan sifat Pencipta kita. Tuhan itu Esa; inti Tuhan ialah monoteisme bukan politeisme. Tuhan adalah trinitarian, bukan unitarian. Tuhan wujud dalam dimensi roh, bukan dimensi pepejal.
Sejahteralah anda !