Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Allah atau Yahweh dalam Alkitab

Tue 17 Jan 2017

Oleh admin@borneosabda.org

Kata Pengantar oleh Penyunting

Kita tidak dapat menafikan wujudnya ura-ura dari dalam masyarakat Kristian sendiri untuk tidak menggunakan nama ‘Allah’ bagi ibadat orang Kristian.

Golongan orang ini menyentuh tentang asal-usul perkataan ‘Allah’ atau ‘Al Ilaah’ dari segi sejarah, iaitu mengenai nama dewa bulan yang disembah di Semenanjung Arab sebelum ketibaan Islam (ruj: ‘Hubal’ - هبل‎ dalam bahasa Arab - https://ms.wikipedia.org/wiki/Hubal).  

Arus tanggapan tentang asal-usul nama ‘Allah’ hangat dipelopori pada awal 1990-an oleh sekalangan kecil Injili Amerika Syarikat. Misalnya, Robert Morey mendakwa dalam buku-bukunya bahawa ‘Allah’ adalah sebenarnya ‘Hubal’, dewa bulan orang kafir! (ruj: Buku bertajuk The Islamic Invasion, 1992, Robet Morey; dan ‘The moon-god Allah in the archeology of the Middle East, 1994, Robert Morey).

Kalau di Amerika ada orang menjadikan tanggapan itu sebagai alasan bahkan senjata ideologi untuk menentang Islam, di Nusantara pula ada orang menghebah-hebahkan teori yang sama tetapi untuk tujuan yang berlainan – iaitu melarang penggunaan kata “Allah” dan memperakukan nama “Yahweh” sebagai ganti.

Pengagung Nama Yahweh, atau Pemuja Nama Yahweh adalah perkembangan baru dalam kekristianan yang dipengaruhi Judaisme dan kemudiannya dikembangkan ke Nusantara sejak tiga dekad yang lalu. 

Kebelakangan ini, tanggapan “pro-Yahweh/anti-Allah” pula dihebah-hebahkan di negara ini oleh segelintir orang Kristian, dengan ura-ura mereka untuk mengganti “TUHAN/Allah” dengan “Yahweh/Elohim dalam Alkitab bahasa Malaysia.

Rencana ini merupakan kumpulan hujah-hujah yang bermutu yang diringkaskan daripada buku Ir. Herlianto, yang pasti akan sangat membantu dalam menjernihkan fikiran kita dalam hal ini.

 

Pemuja Nama ‘Yahweh’ Menentang Penggunaan Kalimah ‘Allah’

 

oleh: Ir. Herlianto, M.Th.         Disunting oleh: Yuharein

 (Ir. Herlianto ialah Pemimpin Umum Yayasan Bina Awam; Mantan dosen Sekolah Tinggi Theologi; Insinyur, Institut Teknologi Bandung; Bachelor of Theology, Seminari Alkitab Asia Tenggara Malang; Master of Theology, Princeton Theological Seminary, U.S.A.)

 

Latar Belakang Pemuja Nama Yahweh

 

Latar belakang gerakan ini sudah terjadi jauh seabad sebelum ini. Pada abad-19, ada gerakan internasional kebangkitan Yahudi (Zionisme) yang kala itu hidup dalam diaspora khususnya di Asia Utara (Rusia), Eropah dan Amerika. Kemuncak gerakan itu ialah pembentukan World Zionist Organization dengan kongres pertama di Basel (1897). Gerakan ini semula bersifat politik dengan tujuan mendirikan negara Yahudi di Palestina (Erets Yisrael), dan daripada gerakan ini terdapat beberapa aliran termasuk yang menekankan Religious Zionism. Umumnya, kalangan Yahudi perantauan sudah hidup secara sekular, namun ada kalangan orthodox yang berpendapat bahawa zionisme harus dicapai dengan mengembalikan orang Yahudi kepada agama dan bahasa mereka, iaitu Ibrani. 

 

Misi Religious Zionism adalah mengajak umat Yahudi sedunia untuk menggali lagi agama Yahudi dengan Taurat mereka dan menghidupkan kembali bahasa Ibrani (yang telah menjadi bahasa lisan yang mati selama berabad-abad) bukan sekadar sebagai bahasa tulis tetapi juga sebagai bahasa percakapan. Pengaruh Zionisme yang dibantu oleh kekuatan wang menyebar ke Eropah dan Amerika Syarikat. Dalam kelompok orthodox Yahudi itu ada juga sekte yang lebih jauh ingin mengembalikan ‘Nama Yahweh (YHWH, tetragrammaton)’ sebagai nama diri Tuhan, nama yang selama ini dalam kalangan Yahudi tradisional dianggap terlalu suci untuk diucapkan sehingga disebut dengan nama ‘Adonai’ (Tuhan) atau ‘Ha-Shem’ (Nama Itu) dan dalam kalangan Yahudi berbahasa Inggers disebut ‘The Lord’ (LORD). Semangat fundamentalisme agama Yahudi ini bukan sahaja terjadi dalam kalangan orang Yahudi sendiri, tetapi berjaya mempengaruhi orang Kristian yang berziarah ke Palestin dengan ramainya, terutama yang datang dari Amerika Syarikat.

  

Gerakan Pemuja Yahweh di Amerika Syarikat 

 

Jehovah’s Witnesses 

Kekosongan rohani di Amerika Syarikat terjadi pada abad-19 sehingga banyak aliran baru tumbuh yang menekankan khususnya nubuatan tentang Akhir Zaman, iaitu Adventis (1844), Jehovah’s Witnesses (1874), dan kemudian Pentakosta (Church of God, 1886). Di samping nubuatan Akhir Zaman, Adventisme menekankan hari Sabat dan kesucian makanan, Jehovah’s Witnesses mengajarkan ajaran Unitarian/Arian, dan Church of God menekankan kurnia-kurnia roh. Jehovah Witnesses-lah yang pertama terpengaruh oleh nama YHWH (tetragramammaton) sehingga pada pertemuan mereka di Ohio (1931) mereka secara rasmi menggunakan nama Jehovah’s Witnesses dan menganggap nama YHWH itu suci serta mengganggap bahawa penerjemahan nama itu sebagai perbuatan setan.

 

Church of God, 7thDay 

Dalam kalangan Church of God, ada yang kemudiannya terpengaruh oleh Adventisme dan menekankan hari Sabat dan membentuk Church of God, 7thday. Tiga tokoh di belakang gerakan yang merintis pemujaan nama Yahweh berasal dari gereja Church of God, 7thday, yang kemudian memisahkan diri di tahun 1933 menjadi Church of God, 7thday, Salem, iaitu Andrew N. Dugger, Clarence O. Dodd dan Herbert W. Armstrong. Dodd setelah mengklaim didatangi dua malaikat dan dikeluarkan dari Church of God, 7thday, mendirikan Assembly of Yahweh yang menggunakan kembali nama Yahweh, merayakan hari Sabat, dan menjalankan bulan baru dan hari-hari raya Yahudi, dan menerbitkan majalah ‘The Faith’ (1937) untuk menyebarkan pandangan mereka itu. 

 

Worldwide Church of God

Armstrong sefahaman dengan Dodd dan ditahbiskan menjadi pendeta di Church of God, 7thday, Oregon. Pandangannya kontroversial kerana sama seperti Dodd, yang merayakan hari Sabat, kesucian makanan, dan merayakan bulan baru dan hari-hari raya Yahudi selaras dengan hukum Musa, Armstrong menubuatkan bahawa orang Inggeris dan orang Amerika adalah keturunan daripada 10 suku Israel yang terhilang. Dia dipecat daripada Church of God, 7thday kerana ajarannya yang ekstrim, dan dia kemudian mendirikan Worldwide Church of God (1946) serta Ambassador College, dan menerbitkan majalah Ambassador dan The Plain Truth yang disebarkan ke seluruh dunia. Pandangannya mengenai keadaan sesudah mati sama dengan Jehovah’s Witnesses, iaitu bahawa orang mati dalam keadaan tidur rohani dan pada saat penghakiman akan dibangkitkan atau dimusnahkan. Dia menolak ajaran Tritunggal dan beranggapan bahawa roh kudus bukan peribadi hanya kekuatan ilahi sama dengan pandangan Jehovah’s Witnesses (binitarian). 

 

Tritunggal Ditolak

Pada umumnya pemuja nama Yahweh menolak Tritunggal dan menganut faham unitarian modalis (sabelianisme, iaitu Yahweh itu Esa dan menyatakan diri [modal] sebagai bapa dan firman) atau unitarian subordinasionis (arianisme, pandangan Jehovah’s Witnesses bahawa Yeshua (atau Yahshua) itu ciptaan lebih rendah daripada Yahweh). Dan sekalipun kepercayaan mereka bervariasi, pada umumnya mereka sepakat bahawa nama Yahweh, Elohim dan Yeshua harus dipulihkan dan tidak menyebut diri mereka sebagai orang Kristian kerana nama itu dianggap berunsur kafir. Pemuja Nama Yahweh mudah terpecah-belah dan cenderung mendirikan gereja dengan keistimewaan sendiri seperti House of Yahweh yang menolak pre-eksistensi Yeshua. The Assembly of Yahvah lebih memilih nama Yahvah dan The Assemblies of Yah memilih nama Yah daripada Yahweh, yang lainnya memilih ejaan sendiri untuk menyebut nama Yahweh dan Yeshua.

 

King James Bible Diciplak

Angelo B. Traina, murid Dodd, menolak surat-surat Paulus, namun kemudian ia menciplak King James Bible dan mengganti nama-nama ‘LORD’ dengan Yahweh, ‘God’ dengan Elohim, dan ‘Jesus’ dengan Yeshua dan menyebutnya Holy Name Bible (PB-1950 dan PL&PB-1963) sejalan dengan terbitnya New World Translation daripada Jehovah’s Witnesses (PB-1950 dan PL&PB-1961) yang memunculkan kembali nama YHWH. John Briggs, murid Traina mempopularkan nama Yeshua dan kemudian mendirikan Yahveh Beth Israel.

 

Assembly of Yahweh

Murid Traina lainnya, Jacob O Meyer terpecah daripada Assembly of Yahweh dan mendirikan Assemblies of Yahweh (1960). Gereja ini berpecah lagi dan di bawah Donald Mansager mendirikan Yahweh’s Assembly in Messiah (1980). Wujudnya skandal seks yang melibatkan beberapa pendeta mendorong Mansager memisahkan diri dan mendirikan Yahweh’s New Covenant Assembly (1985), yang kemudiannya berpecah lagi menjadi Yahweh’s Assembly in Yeshua (2006) dicirikan penekanan bahawa ‘bahasa Ibrani adalah bahasa yang digunakan Yahweh di syurga dan di taman Eden dan digunakan dalam penulisan kitab suci PL dan PB. Bahasa Ibrani adalah induk semua bahasa di dunia.’ Puteranya, Alan Mansager berbeza pendapat dengan ayahnya dan mendirikan Yahweh’s Restoration Ministry. Assembly of Yahweh kemudian berpecah lagi dan Robert Wirl mendirikan Yahweh’s Philadelphia Truth Congregation (2002).

 

Ciri-ciri Utama Pemuja Nama Yahweh

Daripada perkembangan sidang jemaat pemuja nama Yahweh yang bertebaran di mana-mana yang pada umumnya tidak berhubungan satu dengan lainnya itu, kita dapat melihat bahawa mereka mudah sekali terpecah-pecah menjadi berbagai kelompokan, serta memberi nama baru selaras dengan penekanan mereka, namun sekalipun begitu, ada beberapa ciri-ciri yang sejalan, iaitu:

 

(1) Adanya pengaruh Adventisme dalam hal memelihara Sabat dan Kesucian Makanan, dan Jehovah’s Witnesses dan sekta Yahudi yang menekankan perlunya dikembalikan nama ‘YHWH’ (tetragrammaton) sekalipun ditafsirkan berbeza-beza (Yahweh/Yahvah/Yah dll.) serta kembali kepada bahasa Ibrani. Ada juga yang menekankan semula nama Elohim dan Yeshua;

 

(2) Mereka menolak Kitab Suci yang memuat nama-nama Lord, God, dan Jesus. Sebagai ganti, nama-nama Ibrani Yahweh, Elohim, dan Yeshua digunakan. Pada masa ini ada belasan versi ‘Kitab Suci’ yang diterbitkan oleh pemuja nama ‘Yahweh’ di Amerika Syarikat;

 

(3) Menjalankan hukum Musa dengan akibatnya seperti merayakan Sabat, Kesucian makanan (halal-haram), dan merayakan bulan baru dan hari-hari raya Yahudi, dengan ibadat sama seperti agama Yahudi. Perjamuan Kudus dirayakan setahun sekali pada malam sebelum Paskah Yahudi; perayaan Krismas ditolak seperti amalan mazhab Jehovah’s Witnesses;

 

(4) Menolak ajaran Tritunggal, ada yang menganggap Yahweh sebagai Unitarian Modalis (Sabellianisme, Yahweh itu esa dan firman-Nya menjadi manusia Yeshua) atau Unitarian Subordinasionis (Arianisme, Yeshua itu lebih rendah daripada Yahweh seperti pandangan Yehovah’s Witnesses), atau berbagai-bagai ajaran bukan-tritunggal lainnya seperti tidak mempercayai pre-eksistensi Yeshua dll. Namun, sekalipun demikian banyak yang mensyaratkan agar dibaptis kembali dalam nama Yeshua;

 

(5) Tidak merupakan satu organisasi yang bersatu padu, melainkan merupakan sidang-sidang jemaat yang bersendirian dengan keistimewaan masing-masing, namun jelas membezakan diri dengan kekristianan pada umumnya, serta lebih bercorak agama Yahudi dengan semua ritualnya.

 

Berasaskan ciri-ciri yang disimpulkan di atas, muncullah kalangan orang Kristian Indonesia yang diyakini oleh arus pemikiran Pemuja Nama Yahweh sekitar tahun 1990. 

 

 

Gerakan Pemuja Yahweh di Indonesia

 

Pengaruh kelompokan ‘Yahwis’ Yahudi yang dialami beberapa orang yang berziarah ke Israel dan Pemuja Nama Yahweh dari Amerika Syarikat, mempengaruhi beberapa kalangan Kristian di Indonesia sejak tiga dekad yang lalu. Sungguhpun ada persamaan dengan gerakan internasional itu, gerakan di Indonesia menunjukkan ciri-ciri khas, iaitu semangat anti Arab/Islam dengan penolakan nama ’Allah’ yang dianggap sebagai nama berhala, keunikan situasi di mana tokoh-tokoh awal Pemuja Nama Yahweh di Indonesia pada umumnya berasal daripada penganut agama Islam, dan sentimen anti Kristian yang wujud kerana umat Kristian yang juga menyembah ‘Allah’.

 

Dr. Suradi

Di tahun 1980-an, Hamran Ambrie, tokoh muslim yang masuk Kristian merintis usaha penginjilan untuk menaubatkan umat Islam melalui wadah ‘The Good Way’. Kemudian bersama dengan dr. Suradi yang ditaubatkannya pada tahun 1982, Hamran mendirikan Christian Centre Nehemia (1987) dan menerbitkan majalah dengan judul Gema Nehemia berserta brosur dan risalah. Pada mulanya mereka masih menggunakan nama Tuhan dan Allah, namun selepas kematian Hamran Ambrie (1987) dan setelah berziarah ke Israel, Suradi terpengaruh oleh fahaman Yahudi dan menekankan penggunaan bahasa Ibrani khususnya nama ‘Yahwe, Eloim & Yesua.’ Misi Nehemia ditujukan untuk menginjili umat Islam dan membina mereka menjadi penginjil untuk menjangkau umat Islam. Dr. Suradi (yang kemudian berganti nama menjadi Suradi ben Abraham lalu diganti lagi dengan Eliezer ben Abraham), kemudian dengan nama ‘Iman Taqwa Kepada Shiraatal Mustaqien’ lalu ‘Bet Yesua Hamasiah’ pada akhir tahun 1990-an menerbitkan lima seri risalah berjudul ‘Siapakah yang Bernama Allah itu?’ Kelima-lima risalah itu kemudian disatukan, dan lalu terbitlah risalah ke-6 dan ke-7.

 

Pada umumnya, risalah itu menyampaikan mesej bahawa ‘Allah’ ialah nama dewa Arab (dewa bulan/pengairan) masa jahiliah. Ajaran itu berpunca daripada penafsiran harfiah potongan kutipan beberapa buku, padahal kalau kutipan itu dibaca selengkapnya pengertiannya berbeza. Kerana itu apabila umat Kristian menggunakan nama itu berarti menghujat Yahwe.

 

Kitab Suci Torat dan Injil (Tahun 2000)

Kemuncak daripada seri risalah itu ialah penerbitan pada tahun 2000 ‘Kitab Suci Torat dan Injil’ (Kitab Suci 2000). Kitab Suci ini 99.9% merupakan hasil penjiplakan Alkitab Terjemahan Baru yang diterbitkan oleh Lembaga Alkitab Indonesia (LAI) dan hanya beberapa nama digantikan seperti ‘TUHAN’ dengan YAHWE, Allah dengan Eloim, Yesus dengan Yesua, dan beberapa nama lain seperti ‘Musa’ dengan Mose, ‘Daud’ dengan Dawid, Yohanes dengan ‘Yokhanan,’ dll.

 

Sekalipun dr. Suradi menunjukkan kepedulian sosial dengan mengadakan makanan percuma di rumahnya, ternyata dalam hal agama, kefanatikannya menjadikannya bersikap anti sosial. Kefanatikan akan ‘nama Yahwe’ yang radikal, dengan serangan berhadap menentang agama Islam dan juga Kristian. Dia tidak segan menggunakan ayat-ayat Al-Quran selaras dengan penafsirannya untuk menyerang Islam. Kerana sikapnya yang mengganggu kerukunan itu, oleh Forum Ulama Umat, Bandung, Suradi bersama Poernama Winangun dikenakan Fatwa Mati (Gatra, 10 Maret 2001). Kenyataan ini menyebabkan Nehemia tutup dan Suradi berpindah ke luar negeri. Beberapa pengikut Suradi mengidap kefanatikan yang sama bahkan Endang Yesaya sempat masuk penjara selama empat tahun. Beberapa pengikut lainnya bersikap militan yang sama, bahkan tim pembela mereka juga menyebut ‘Allah’ itu nama berhala Iblis. Daripada kalangan mereka ini, keluarlah singkatan lucu LAI sebagai Lembaga Alat Iblis, kerana LAI menerbitkan Alkitab yang menyebut nama ‘Allah.’

 

Kitab Suci Umat Perjanjian Tuhan (Tahun 2002)

Pada tahun 2002, kelompok sehaluan bernama Pengagung Nama Yahweh menerbitkan Kitab Suci Umat Perjanjian Tuhan, yang sama dengan Kitab Suci-2000 melakukan jiplakan terjemahan LAI dan hanya mengganti nama ‘TUHAN’ dengan YAHWEH, dan ‘Allah’ dengan Tuhan. Sekalipun mengaku bahawa usaha mereka dihasilkan oleh gerakan Roh Kudus, namun daripada hasilnya diragukan apakah itu Roh Kudus yang diberitakan Alkitab. Mereka mengikuti terjemahan nama Yahweh selaras dengan The Word of Yahweh yang diterbitkan oleh The Assembly of Yahweh, gerakan pelopor pemuja nama Yahweh di Amerika Syarikat.  Yang menjadi persoalan ialah, mereka melakukan penjiplakan Alkitab (TB) terjemahan LAI tanpa izin dan tiada sehurufpun penghargaan diberikan kepada LAI yang nyaris semua terjemahannya dijiplaknya tanpa izin itu.

 

Seperti ternyata dalam Prakata Kitab Suci Umat Perjanjian Tuhan, mereka membenarkan diri dengan menyalahkan: 

(1) Fahaman Yahudi Orthodok, kerana menggantikan nama YHWH dengan Adonai;

(2) Terjemahan Septuaginta, kerana menterjemahkan nama ‘Yahweh’ kepada Kurios dalam bahasa Yunani; dan 

(3) Perjanjian Baru Yunani, yang mengikuti jejak Septuaginta.

 

Provokasi Yang Bahaya

Beberapa tahun berikutnya, berkembang pula generasi baru yang dipimpin pendeta-pendeta muda yang umumnya bergelar teologia. Pdt. Yakub Sulistyo diberhentikan daripada Gereja Bethel Indonesia kerana memaksakan pengajaran ‘Nama Yahweh’ dan menganggap nama Allah nama berhala yang menghujat Yahweh, serta mendirikan jemaah sendiri dengan nama Gereja Rohulkudus Surya Kebenaran. Pendeta inilah yang disebut-sebut berada di sebalik peristiwa keluarnya surat-surat teguran keras oleh Majlis Ta’lim Al-Rodd, Wonosobo, disusuli oleh Badan Pengurus Pusat Ikatan Mubaligh Seluruh Indonesia pada tahun 2004.

 

Teguran keras ‘Majlis Ta’lim Al-Rodd’ (Wonosobo, 28 Mei 2004) ditujukan kepada Pimpinan LAI, dan teguran keras ‘Badan Pengurus Pusat Ikatan Mubaligh Seluruh Indonesia’ (Jakarta, 1 Nopember 2004) ditujukan kepada Dirjen Bimas Kristian Protestan Depag Republik Indonesia dan LAI, dengan salinan kepada kebanyakan pihak pemerintah. Isi surat kedua itu pada prinsipnya menegur dengan keras umat Kristian berdasarkan pertimbangan:

 

1. Bahawa Allah adalah nama sesembahan umat muslim;

2. Agar menarik balik semua Alkitab dan buku rohani yang menggunakan nama Allah;

3. Agar menegur dengan keras Gereja-Gereja yang masih memakai nama Allah;

4. Agar memberikan peringatan keras kepada para pendeta, pendeta muda, pendeta pembantu dan para Evangelis untuk tidak menggunakan kata Allah dalam menyampaikan Firman, seminar dll.

 

Jelas kelihatan bahawa Pemuja Nama Yahweh menempuhi segala usaha untuk membenarkan diri dan memaksakan pendapat mereka ke atas orang lain. Ini ternyata ketika pada awal tahun 2008, ada Pemuja Nama Yahweh sanggup menuduh LAI telah mengubah nama YHWH menjadi Allah dan menuntut agar “Bimas Kristian dan LAI segera menarik semua Alkitab dan buku rohani yang memakai nama Allah. Kedua-dua lembaga ini juga diminta untuk memberikan peringatan keras kepada para pendeta untuk tidak lagi menggunakan nama Allah dalam khutbah mereka.” (Reformata, edisi 80, 1-15 Maret 2008). 

 

Sungguh tidak dapat dimengerti bahawa Pemuja Nama Yahweh sanggup membuahkan provokasi yang membahayakan itu. Roh apakah yang berada di balik semua ini? Sikap mau memperbenar sendiri, memaksakan pendapat dan kehendak sendiri kelihatannya merupakan mentaliti yang sedia wujud dalam kefanatikan terhadap nama ‘Yahweh’ itu.

 

Maklumlah bahawa, kalau ramai pembicara Kristian mula-mula terbuka untuk berdiskusi dengan Pemuja Nama Yahweh tetapi kemudian enggan meneruskan dialog kerana mereka berhadapan dengan orang yang tertutup serta tidak boleh diajak berdiskusi demi meluruskan kebenaran. Kebenaran tentang ‘nama Yahweh’ mereka adalah harga mati, termasuk anggapan-anggapan bahawa bahasa Ibrani adalah bahasa surga yang sedia wujud dari kekekalan dan Perjanjian Baru sebenarnya dituliskan dalam bahasa Ibrani. Dakwaan-dakwaan tersebut berlawanan dengan pendapat penemuan arkaeologis dan penyelidikan sejarah Alkitab.

 

Penulis juga menerima banyak surat ‘fait accompli’ semacam itu, di antaranya ada 7 siri surat daripada seseorang yang menentang penulis dan menyebut bahawa ‘Allah ialah peribadi Setan,’ dan mengajak bertaruh, bahawa kalau dia salah dia akan mati tetapi kalau dia tidak mati (alias dia benar), penulis harus membayar 600 juta kepadanya! Bagaimana mungkin penulis yang sudah diresapi kasih Allah sampai hati mengharapkan seorang saudara yang ‘terpengaruh konsep keliru’ agar mati? Kerana itu penulis mendoakan dia.

 

29 Juta Orang Kristian Arab 

Umat Kristian juga memuja Yahweh, namun justeru kerana umat Kristian memuliakan dan menghormati Yahweh, maka umat Kristian mengikuti sikap Yahweh sendiri yang merestui penterjemahan Yahudi tradisional menjadi ‘Adonai’ (TUHAN/LORD), Septuaginta dan Perjanjian Baru dalam bahasa Yunani Koine yang menterjemahkan Yahweh menjadi Kurios, dan karya Roh Kudus yang turun pada hari Pentakosta untuk menterjemahkan khutbah Petrus sehingga didengarkan oleh para pendatang secara jelas dalam bahasa mereka sendiri termasuk Arab (Kisah 2, terutama ayat 11).

 

Kelihatan sekali Pemuja Nama Yahweh itu merasa diri ‘lebih Arab dari Orang Arab sendiri dan lebih Yahudi daripada orang Yahudi sendiri.’ Apabila pada umumnya para tokoh Islam termasuk 29 juta orang Kristian berbahasa Arab mengaku Allah sebagai Tuhan Abraham dan nama Allah sebagai kontraksi Al-Ilah dan merupakan alih bahasa Arab daripada El/Elohim/Eloah Ibrani atau elah/alaha Arami (dalam Ezra 5:1; 6:14 ditulis ‘Elah Yisrael’),

 

Pemuja Nama Yahweh berusaha sekuat tenaga mengemukakan hujah bahawa ‘Allah’ itu bukan ‘Al-Ilah’! Dan apabila Orang Yahudi tradisional, Septuaginta, Yesus & Rasul, dan umat Kristian sejak awal gereja didirikan sampai sekarang, kerohanianya telah berkembang dengan luar biasanya dengan menyebut Yahweh/El/Elohim/Eloah dalam bahasa mereka masing-masing, Pemuja Nama Yahweh menyatakan itu semua adalah salah dan merekalah yang benar, sehingga mereka merasa berhak menghakimi LAI yang menterjemahkan nama Ibrani ‘El/Elohim/Eloah’ menjadi ‘Allah’ itu! 

 

Seperti diketahui pada kalangan umat Kristian berbahasa Arab, jauh sebelum Islam lahir, nama ‘Allah’ sudah digunakan baik sebagai bahasa lisan maupun ketika dituliskan sebagai Alkitab dalam bahasa Arab. Pada abad-6 SM dalam kitab Ezra 5:1/6:14 ditulis ‘Elah Yisrael’ dalam bahasa Aram, dan bahasa Aram merupakan nenek moyang bahasa Arab Nabati dan kata ‘Elah’ itu disebut ‘Ilah’ dalam bahasa Arab. Sejak itu banyak inskripsi daripada kalangan Kristian pra-Islam sudah menggunakan nama ‘Allah’ bahkan dalam majlis di Efesus (431 M) sudah ada uskup Arab Haritz bernama ‘Abdullah’ (Abdi Allah).

 

Masa kini 29 juta orang Kristian berbahasa Arab menggunakan empat versi Alkitab Arab yang semuanya menggunakan nama ‘Allah’ (a.l. Arabic Bible, Today’s Arabic Version), ini belum termasuk puluhan juta umat Kristian di Indonesia dan Malaysia yang selama lima abad sudah menyebut nama ‘Allah’ yang tertuju kepada El/Elohim/Eloah.

 

Nasihat

 

Kita harus berhati-hati agar:

(1) Tidak terperdaya dengan daya tarik ‘kembali kepada Ibrani’ sehingga terikut cara-cara sekte Yahudi yang fanatik secara membabi buta lalu meninggalkan agama Kristian;

 

(2) Tidak jatuh dalam dosa dengan ‘menghujat nama Allah, nama El/Elohim/Eloah dalam bahasa Arab’ yang selama ini sudah digunakan oleh 29 juta orang Kristian berbahasa Arab selama dua milenium dan puluhan juta orang Kristian Indonesia selama empat abad; 

 

(3) Tidak terseret keluar daripada iman yang berdasarkan Injil Kasih dan tidak terbawa ke arah iman yang dilandasi hukum Taurat yang berkonfrontasi;

 

(4) Tidak terikut dengan sikap eksklusif Yahudi yang bersikap kontra dengan semua yang berbau Arab/Islam dan juga yang berbau Kristian, lalu ditarik keluar daripada kerukunan beragama dengan orang lain.

 

(5) Tidak ditarik keluar daripada keyakinan bahawa Yesus itu Tuhan dan seorang peribadi daripada Tritunggal, lalu masuk ke dalam ajaran Sabelian yang beranggapan bahawa Yeshua adalah Yahweh sendiri, jelmaan firman yang keluar daripada Yahweh; dan

 

(6) Tidak ditarik meninggalkan sejarah keKristianan yang am dengan perayaan Krismas, Paskah, dan kebaktian minggunya, lalu dibawa masuk ke dalam ritual Yahudi yang berpusat kepada Judaisme yang berbau Ibrani dan merayakan hari Sabat sabtu, kesucian makanan, bulan baru dan hari-hari raya Yahudi!

 

Marilah kita mencerminkan sifat Roh Kudus yang menyatukan, tidak terpecah-belah seperti Pemuja Nama Yahweh (di Indonesia, dalam 7 tahun 3 versi Kitab Suci diterbitkan kalangan ini dan ketiga-tiganya tidak seragam).

 

Semoga damai sejahtera Allah menyertai kita semua! 

 

Salam kasih daripada Herlianto (www.yabina.org)

 

CREDITS

This article is presented here with permission from the author mentioned above. We do not assume any credit on the content presented. We also hereby disclaim any liability to any party for any loss, damage, or disruption caused by its content.