Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Allah: Dewa Bulan atau Pencipta Bulan?

Mon 16 Jan 2017

Oleh admin@borneosabda.org

 Allah: Dewa Bulan atau Pencipta Bulan?

Meneliti Hemeneutik Robert A. Morey

 Edwin Sujono, Ph.D., 26 November 2016

Bagi ramai orang Kristian di Malaysia yang berbahasa Melayu, melestarikan nama “Allah” dalam Kitab Suci Alkitab adalah mandat yang tidak boleh diabaikan.

Tetapi peliknya, di negara jiran kita, Indonesia, ada kumpulan Kristian minoriti yang giat berupaya menghapuskan “nama Arab” itu dan menggantinya dengan nama Ibrani “Elohim”, dan juga, mengganti nama TUHAN dengan “Yahweh” atas alasan istilah TUHAN pun tidak alkitabiah! Kumpulan ini dikenal dengan beberapa sebutan di Indonesia, misalnya, Bet Ha Masiah (House of the Messiah), Jaringan Gereja-gereja Pengagungan Nama Yahweh, atau diwakili oleh beberapa peribadi, misalnya, Suradi ben Abraham (lantas diubah menjadi Eliazar ben Abraham) dan Pastor Yakub Sulistyo. 

Jika seandainya pengaruh daripada tanggapan “anti-Allah” itu terbatas kepada wilayah Indonesia, maka orang Kristian di Malaysia tidak perlu menghiraukan seluk beluk daripada teologi dan ideologi mereka.  Sayangnya, pengaruh daripada kumpulan tersebut telah terbawa ke negara Malaysia. Oleh itu penting untuk umat Kristian Malaysia menjadi lebih cerdas supaya tidak mudah dihanyut oleh arus propaganda kumpulan anti-Allah/pro-Yahweh ini.

Selaras dengan itu, artikel oleh Dr. Edwin Sujono, yang telah dibentangkan dalam seminar di Indonesia baru-baru ini, dapat menolong kita membahaskan latar belakang dan teologi gerakan itu. Akan tetapi, dalam artikel ini Dr. Sujono bertujuan untuk memberi kritikan analitis terhadap alasan-alasan gerakan menolak istilah “Allah”.      

     

JADUAL 1 - NAMA-NAMA ILAHI DALAM ALKITAB VERSI BORNEO

Nama-Nama Ilahi dalam Alkitab Bahasa Malaysia Versi Borneo

 

Wajarkah Nama “Yahweh” Digunakan?

Sejak terjemahan Alkitab bahasa Melayu oleh Melchior Leijdecker (th. 1733) hingga penerbitan Alkitab Terjemahan Baru (TB) oleh Lembaga Alkitab Indonesia (1974), nama/gelar “Allah”[1] selalu digunakan secara konsisten di Indonesia untuk menterjemahkan kata Ibrani Elohim.  Tetapi pada tahun 1990’an, kebijaksanaan LAI dipersoalkan oleh Suradi Ben Abraham dan anak-anak buahnya yang dikenal dengan nama Bet Ha Masiah. Sebagai bantahan mereka menulis sebuah buku kecil yang berjudul Siapakah Yang Bernama Allah Itu? (t. penulis 1998).[2] Inti buku ini adalah mengenai Allah sebagai dewa kafir orang Arab purba. Oleh itu, nama “Allah” dianggap tidak wajar dipadankan dengan Yahweh dalam Alkitab kerana perkara itu melanggar Firman Tuhan dalam Keluaran 20:7: “Jangan gunakan nama TUHAN, Allahmu [Elohimmu], dengan sembarangan, kerana TUHAN [Yahweh] akan memandang bersalah orang yang menggunakan nama-Nya dengan sembarangan”.  Lagi pula, beberapa pastor menegaskan bahawa “Allah” itu bukan bahasa Malaysia/Indonesia ataupun sebahagian daripada budaya Malaysia/Indonesia, sebab Allah itu Nama Diri orang Arab.[3]

Tidak lama kemudian, Bet Ha Masiah menciplak teks Alkitab Terjemahan Baru (TB) milik LAI dan menghapus semua kata seperti “Allah”, “TUHAN”, dan “Tuhan”,  yang dianggap tidak Alkitabiah, dan menggantinya dengan nama-nama Ibrani: Elohim untuk Allah, Yahwe untuk TUHAN, dan Adonai untuk Tuhan. Alkitab ini kemudian diterbitkan dengan nama Kitab Suci 2000 (KS-2000).  Dua tahun kemudian, suatu kumpulan yang bernama Umat Perjanjian Tuhan melakukan tindakan serupa dan menerbitkan versi Alkitab mereka dengan nama Kitab Suci Umat Perjanjian Tuhan-2002 (KS UPT-2002). Kemudian pada tahun 2007, muncul satu lagi Yahweh Bible, iaitu Kitab Suci Indonesian Literal Translation (KS-ILT) terbitan Yayasan Lentera Bangsa! Namun, KS-ILT belajar daripada kritikan terhadap KS-2000 dan KS UPT-2002 dan menghindar mencedok teks Alkitab TB.[4] Ciri-ciri khas ketiga-tiganya mengagungkan (atau mewajarkan?) nama “Yahwe” (KS-2000) atau “Yahweh” (KS UPT-2002; KS-ILT) dan menyingkirkan nama/gelar Allah, suatu pendekatan yang diutamakan oleh sebilangan pastor di Indonesia.[5]

 

Robert Morey: "Allah ialah Dewa Bulan" 

Satu sumber “ilham” penting yang mempengaruhi golongan anti Allah, secara langsung atau tidak langsung, ialah buku oleh Robert A. Morey, iaitu The Islamic Invasion (1992).  Bagi kaum Evangelikal Amerika yang pernah dikejutkan oleh peristiwa 11 Sept 2001, buku Morey menyediakan senjata ideologi penuh sensasi untuk menentang Islam — Allah ialah dewa bulan orang kafir!  Di Indonesia, tesis dewa bulan Morey tersebut menjadi semakin menarik atas dua alasan: 1) berbeza daripada terbitan Ha Masiah, “Siapakah Yang Bernama Allah itu?” (1998), buku Morey mengutip banyak sumber kesarjanaan dan mengungkapkan hujah-hujah yang kelihatan canggih dengan gaya popular; 2) sama seperti kaum Evangelikal di Amerika, umat Kristian di Indonesia juga mengalami trauma serupa 11 Sept 2001, yakni Laskar Jihad, Bom Bali 2002 dan penutupan gereja. Buku itu disambut dengan bersemangat oleh orang Kristian tertentu di Indonesia tetapi sayangnya, tidak ada yang giat memeriksa kesahihannya.

Kira-kira pada awal tahun 2000-an buku Morey muncul dalam terjemahan Indonesia, walaupun judul bahasa Inggerisnya tetap dipajang di kulit buku. Menurut keterangan di dalamnya, buku itu boleh dibeli daripada satu lembaga di Amerika, iaitu Overseas Ministry dengan alamat PO Box 484, Garden Grove, CA 92842. Secara diam-diam, buku itu telah disebarkan di Indonesia dan seterusnya mendapat sokongan satu kumpulan orang Kristian yang kecil namun sangat giat dan vokal.

 

Hujah-hujah Morey Mengelirukan

Rencana ini bertujuan untuk mengkritik teori Robert A. Morey bahawa Allah ialah dewa bulan orang Arab kafir purba. Kritikan ini akan menyingkapkan kekeliruan hujah-hujah Morey sekaligus membela penggunaan istilah Allah dalam terjemahan Alkitab Bahasa Malaysia/Indonesia. Semua kutipan dan rujukan halaman kepada tulisan Robert Morey dalam artikel ini diambil daripada Islamic Invasion, edisi bahasa Indonesia yang diterbitkan oleh Overseas Ministry

 Penelitian ini penting kerana:

  1. Dapat menjernihkan kekusutan orang Kristian;
  2. Memenangkan orang Muslim yang tersinggung dengan orang Kristian yang menganggap  bahawa Allah ialah dewa bulan;[6]
  3. Dengan melestarikan kata “Allah”, kita mengisyaratkan bahawa Alkitab tidak terhad kepada orang Kristian sahaja. 

Mungkin ada yang berfikir, isu ini sudah berlalu, kenapa diungkitkan lagi?  Sudah berlalu? Kalaulah begitu! Cuba carilah “Kewajaran penggunaan Nama Yahweh” dalam Internet dan perhatikan betapa banyak hit yang akan muncul mulai dari tahun 2012 hingga sekarang, termasuk beberapa hit dari Malaysia.[7]     

 

Al-Ilah = Sang Dewa Bulan = Allah

Pembaca mungkin bertanya-tanya sekarang, bagaimana Morey boleh menyamakan dewa bulan dengan Allah? Morey pertama-tama melakukannya dengan cara pengaitan etimologi, yakni pengaitan yang didasarkan pada hubungan bersejarah istilah-istilah tertentu:

Kata “Allah” berasal dari kata rangkap bahasa Arab, iaitu al-ilah.  “Al” adalah kata sandang seperti “sang,” atau “the” dan “ilah” adalah kata Arab yang bererti Tuhan/tuhan (God/god dalam bahasa Inggeris). Kata tersebut bukan kata asing bahkan bukan juga kata bahasa Syria. Kata tersebut asli bahasa Arab.

Kata Allah juga bukan kata bahasa Ibrani atau Yunani dalam erti “God” sebagaimana yang dimaksud dalam Alkitab.

Kata Allah adalah murni/asli kata bahasa Arab yang dahulu digunakan untuk menyatakan seorang dewa Arab (Morey tt, 54).

Hal yang hendak ditegaskan Morey ialah: “Allah” merupakan istilah gabungan dari suatu gelar beristilah ganda (“kata rangkap”) dalam bahasa Arab asli (al-Ilah) yang bererti the god iaitu “sang ilah/dewa/tuhan” — ilah/dewa/tuhan yang disembah di kerajaan setempat. Morey juga hendak memastikan pembaca faham bahawa Allah bukanlah istilah yang “Alkitabiah.” Allah ialah istilah Arab asli. Ini sebahagian dari strateginya untuk sama sekali menjauhkan Allah daripada Tuhan dalam Alkitab. Strategi yang serupa juga digunakan oleh Pastor Yakub Sulistyo (2009, lihat pertanyaan nombor 24).

Mengenai penjelasan etimologis Morey, al-ilah = Allah, kita akui bahawa hal itu menunjukkan sudut pandangan umum kebanyakan sarjana bukan Islam.  Namun, masalah utama Morey bukanlah etimologi yang salah, melainkan penggunaan analogi yang tak berasas — apa yang dilakukannya dengan al-ilah = Allah:

Dalam banyak prasasti, nama dewa bulan tercatat sebagai “Sin”, sedangkan gelarannya adalah al-ilah, “dewata”, yang ertinya dewa paling utama dan tertinggi. … Dewa bulan disebut al-ilah, dewata, yang disingkat menjadi Allah pada zaman pra-Islam (Morey tt., 260).

Adakah anda melihat hujah yang diputarbelitkan dalam logik Morey? Kerana al-ilah ialah istilah untuk dewa bulan, dan kerana Allah ialah singkatan al-ilah, maka Allah ialah dewa bulan. Silogisme atau hujah memutarbelitkan itu salah pada dua perkara. Pertama, hujah itu akan terhapus kerana Morey tidak memberikan bukti sedikit pun yang boleh benar-benar membuktikan maksudnya, iaitu prasasti kuno yang menyatakan bahawa “Allah” ialah nama dewa bulan. Sebaliknya, Morey mengatakan dengan terang-terangan, “Dewa bulan disebut al-ilah, dewata, yang disingkat menjadi Allah pada zaman pra-Islam.” Dengan menyatakan bahawa gelar dewa bulan, al-ilah, disingkat menjadi “Allah”, Morey menyirat bahawa orang Arab purba memang menyebut dewa bulan mereka dengan nama “Allah.” Mereka mungkin sahaja menyebut dewa bulan dengan gelar “al-ilah,” tetapi bukan dengan nama “Allah”! Lagi pula “al-ilah bukan sebutan khusus untuk dewa bulan di Arabia. Julius Wellhausen (1897:215-224) berkesimpulan bahawa banyak suku Arab purba menyapa dewanya sendiri dengan sebutan “al-ilah”. Misalnya, orang Arab Nabatea menyebut dewa mereka, Dushara, yang diyakini berdaulat atas pegunungan wilayah Shara, dengan gelar ini: “sang tuhan (al-ilah) Tuan kita… raja orang Nabatea.” (Healey 1993, 11, 28, 36).  Sudah jelas bahawa Morey telah menemui jalan buntu.  Satu-satunya jalan keluar bagi Morey adalah mecadangkan prasasti Arab kuno yang menyamakan Allah dengan dewa bulan. Daripada 20 prasasti kuno berisi nama “Allah” yang ditemukan di Arabia Utara dan Selatan dan diterjemahkan oleh ahli arkeologi Frederick V. Winnett (1938, 243-44) tidak ada satu pun yang menghubungkan Allah dengan dewa bulan. Menurut pendapat saya, ketiadaan bukti ini menghancurkan hujah Morey.

Kedua, hujah Morey tentang istilah al-ilah boleh pula diterapkan pada istilah Yunani ho theos, yang juga bererti “sang dewa/tuhan/Tuhan (yang benar).”  Nah, kita boleh berbuat segala macam kesalahan dengan ho theos jika mengikuti alur penalaran Morey. Sebagai contoh, dalam Yohanes 1:1 Allah disebut ho theos, ertinya “(satu-satunya) Tuhan (yang benar).” Sungguh menarik bahawa Rasul Paulus menggunakan ho theos pula untuk menyebut “ilah zaman ini” (the god [ho theos] of this world), iaitu Iblis, dalam 2 Korintus 4:4! Kalau kita mengikuti analogi Robert Morey, al ilah = Allah, relakah kita menerima bahawa konsep kita tentang Allah (ho theos) entah bagaimana berkaitan dengan Iblis, ilah (ho theos) zaman ini? Saya benar-benar meragui ada orang yang akan menerima hujah itu!

Gelar al-ilah mungkin saja digunakan oleh beberapa suku Arab bagi dewa bulan, tetapi fakta ini tidak membuktikan bahawa orang Arab pra-Islam benar-benar menyamakan Allah dengan dewa bulan. Sekarang, mari kita teliti hujah Morey bahawa pemujaan dewa bulan telah menyebar ke seluruh Semenanjung Arab sebelum zaman Islam dan menjadi kultus yang dominan.

 

Dewa-dewa Arabia Selatan Vs. Ilah-ilah Arabia Barat Laut

Salah satu keistimewaan yang membuat buku Morey begitu meyakinkan bagi ramai pembaca adalah gambar-gambar dan foto-foto dewa bulan di Timur Dekat dan di bahagian-bahagian tertentu Arabia. Berdasarkan gambar-gambar tersebut dan penemuan-penemuan lain daripada sarjana ternama seperti Carlton Coon (1944) dan G. Caton Thompson (1944), Morey menyimpulkan:

“Bukti-bukti yang terkumpul baik dari Arab Utara mahupun Arab Selatan mengungkapkan bahawa penyembahan dewa bulan tetap aktif dilakukan oleh penganutnya bahkan pada jaman Muhammad dan tetap merupakan upacara keagamaan yang dominan” (Morey tt., 260). 

Kultus (“upacara keagamaan”) ini begitu meluas, kata Morey, sehingga dewa bulan menjadi “ilah utama” di tempat suci Kabah di Mekkah (Morey tt., 261). Tetapi yang tidak difahami pembaca ialah: semua data dan gambar yang dipilih Morey daripada Coon  Southern Arabia (1944) dan Thompson The Tombs and Moon Temple of Hureidha (1944) didasarkan pada penyelidikan arkeologi di Arabia Selatan, bukan di kawasan Hijaz, Arabia Barat Laut, negeri jantung Islam pada masa awal. Jadi, Morey menyajikan bahannya seolah-olah itu benar bagi seluruh Semenanjung Arabia. Ini penyimpangan fakta yang hebat! Morey mengabaikan bukti yang menunjukkan bahawa pemujaan dewa bulan bukanlah kultus dominan di kawasan Arabia tempat Islam berasal. Meskipun arkeologi mengungkapkan bahawa pemujaan dewa-dewa bulan seperti Sin atau Wadd mungkin saja berkembang dalam panteon Arabia Selatan, kesnya tidak sama di zon budaya yang berbeza seperti Arabia Barat Laut dan Mekkah.[8]

 

Bukti Dewa Bulan di Arabia Utara dan Mekkah

Sekarang kita harus menjawab pertanyaan penting lainnya: adakah bukti bahawa kultus dewa bulan memainkan peranan penting di Mekkah dan Arabia Barat Laut pada zaman purba? Untuk menjawabnya, kita perlu memeriksa sumber-sumber tentang Arabia Utara yang tidak pernah dirujuk Morey, misalnya tinjauan-tinjauan arkeologi di Arabia Barat Laut oleh dua pakar arkeologi, F. V. Winnett dan W. Reed (1970) dan bukti sumber terpercaya tentang Arabia purba seperti Hisham Ibn al-Kalbi (1952) yang menulis pada tahun 820 M.

Berguna untuk dicatatkan bahawa dalam tinjauan-tinjauan arkeologinya yang terperinci dan akademik tentang Arabia Barat Laut, Frederick V. Winnnett dan William L. Reed, dalam bukunya, Ancient Records from North Arabia (1970) tidak menemukan prasasti yang menyebut dewa bulan Sin,[9] nama yang sering disebut-sebut Morey.  Namun, mereka menemukan tiga prasasti yang menyebut nama dewa bulan orang Minea (Arabia selatan), yakni Wadd (Winnett dan Reed 1970, 19, 81 n. 32, 118). Prasasti-prasasti ini ditemukan di oasis al-Jawf dekat Dumat al-Jandal (Duma kuno) dan di al-‘Ula (Dedan kuno). Winnett dan Reed mencatat ratusan rujukan kepada dewa-dewa dan berhala-berhala lain, tetapi hanya mencantumkan tiga rujukan kepada dewa bulan!

Untuk mendapatkan lebih banyak rujukan kepada Wadd di Arabia Utara, kita harus membuka laporan sejarah karya Hisham Ibn al-Kalbi, Kitab Al Asnam atau “Kitab tentang Berhala” yang ditulis sekitar tahun 820 M (terjemahan Inggris tahun 1952). Al-Kalbi menulis secara luas tentang nama dan jenis ilah-ilah sembahan orang Arab kafir di Mekkah dan kawasan Hijaz dari zaman purba yang belum terlalu lama masanya sendiri. Ketika menulis kitabnya, al-Kalbi berani menghadapi perlawanan keras daripada sesama orang Islam akibat menyelidik topik yang dianggap pantang. Tetapi sebagaimana dicatat penterjemahnya, Nabih Amin Faris dari Princeton University, “… pembenarannya datang daripada penyelidikan ilmiah moden dan arkeologi, yang telah meneguhkan sebahagian besar pernyataannya …” (al-Kalbi 1952, viii, x)

Jadi, apa yang dikatakan al-Kalbi tentang pemujaan dewa bulan Wadd di kawasan yang kemudian menjadi negeri jantung Islam? Berbeza dengan perhatiannya yang luas kepada dewa, dewi, dan berhala lainnya di Mekkah dan Arabia Barat Laut, al-Kalbi hanya sedikit menyebut Wadd di sana sini, tetapi tidak menyebut Sin. Rujukan pertamanya singkat saja: “(Suku) Kalb mengambil Wadd (sebagai dewa mereka) di Dumat al Jandal” (al-Kalbi 1952, 9) — tepat di tempat Winnett dan Reed menemukan kedua prasasti yang menyebut Wadd.  Al-Kalbi juga memberikan informasi lebih lanjut mengenai Wadd yang boleh saja digunakan Morey untuk mendukung hujahnya:

Ia [‘Amr Ibn Luhayy] juga menamai putranya ‘Abd-Wadd, “orang yang pertama dinamai demikian, sedang ‘Awf adalah orang pertama yang menamai anaknya demikian. Sejak saat itu orang Arab menamai anaknya menurut nama Wadd” (al-Kalbi 1952, 47). 

Frase terakhir di atas, “sejak saat itu orang Arab menamai anaknya menurut nama Wadd,” mungkin menunjukkan bahawa pemujaan dewa bulan Wadd telah meluas, bahkan dominan di seluruh Arabia Utara? Tetapi kita harus maklum di sini bahawa al-Kalbi cenderung menggunakan gaya bahasa hiperbola dalam seluruh kitabnya. Sebagai contoh, ketika merujuk pemujaan dewi Manah (Manat), al-Kalbi berkata, “Semua orang Arab biasa menamai [anak mereka] ‘Abd Manah”. Pernyataan ini mirip dengan perkataannya sebelumnya tentang Wadd, malah “semua orang Arab… Manah” rupanya melebihi “orang Arab… Wadd.” Selanjutnya, al-Kalbi (1952,12,16) juga mencatat bahawa “orang Arab biasa menamai anak mereka menurut nama Allat dan juga al-‘Uzza”. Jadi, dewa atau dewi mana yang paling popular di sekitar Mekka dan tanah Arabia barat laut? Wadd, Manah, Allat, atau al-‘Uzza? Pembaca dapat melihat bahawa frasa “semua orang Arab” atau “orang Arab biasa” menamai anak mereka menurut dewa/dewi tertentu murni merupakan gaya bahasa melebih-lebihkan, hampir tidak menunjukkan ilah mana yang sebenarnya unggul. Daripada semua ini, mudah kita simpulkan bahawa frasa “orang Arab menamai anak-anak mereka menurut nama Wadd” bukanlah petunjuk yang sangat penting mengenai pengaruh atau kepopularan yang luas. Wadd bersaing dengan banyak dewa dan dewi di seluruh Arabia Utara dan pastinya kalah oleh Manah dan mungkin juga oleh Allat dan al-‘Uzza di tempat seperti Mekkah.  Sekali lagi dakwaan Robert Morey bahawa dewa bulan adalah sembahan utama di Arabia Utara dan Mekkah tidak dapat dipertahankan.

 

Siapakah Sebenarnya Ilah Utama di Mekkah pada Zaman Kafir?

Jika dewa bulan Wadd ataupun Sin tidak memainkan peranan utama di Arabia Barat Laut seperti dakwaan Morey, bolehkah kita mengetahui ilah mana yang berdaulat, khususnya di Mekkah?  Menurut Morey “dewa bulan adalah merupakan dewa kepala. Sesungguhnya Mekkah itu dibangun sebagai tempat suci/kuil bagi dewa bulan” (Morey tt., 258).  Tetapi al-Kalbi nyata-nyata melaporkan bahawa Hubal — bukan Wadd atau dewa bulan lainnya — ialah berhala utama di Mekkah selama masa pra-Islam dan di zaman Muhammad. Menurut al-Kalbi (1952, 23), patung Hubal ditempatkan di dalam Kabah, tempat suci orang Mekkah, dan dengan demikian menunjukkan keutamaannya.  Kutipan al-Kalbi daripada perkataan Abu-Sufyan dan Muhammad b. Abdullah menunjukkan bahawa Hubal sebenarnya tidak disamakan dengan Allah oleh para penduduk Mekka:

Orang Quraisy juga memiliki beberapa berhala di dalam dan di sekitar Ka‘bah. Yang paling besar adalah Hubal. Berhala itu, seperti yang diceritakan kepadaku, terbuat dari batu akik merah, berwujud manusia yang buntung tangan kanannya. Berhala itu dimiliki orang Quraisy dalam keadaan demikian, sebab itu mereka membuatkan tangan emas untuknya. … Berhala itu berdiri di dalam Ka‘bah … Hubal juga berhala yang disapa Abu-Sufyan ibn-Harb setelah ia datang dari perang Uhud, katanya: “Hubal, ditinggikanlah engkau” (ertinya, semoga agamamu jaya); tetapi Nabi [Muhamad] menjawab: “Allah lebih tinggi dan lebih agung” (al-Kalbi 1952, 23-24).

Tradisi-tradisi Arab purba lainnya menyatakan bahawa Hubal dibawa ke Mekkah dari Moab atau Mesopotamia oleh ‘Amr ibn Luhayy (orang yang juga memperkenalkan pemujaan Wadd). Satu-satunya rujukan kepada Hubal di luar sumber Islam yang terbukti kebenarannya (nama Hubal tidak muncul dalam Al-Qur’an) adalah sebuah prasasti orang Nabatea Arab yang ditulis dengan bahasa Aram. Ini mengisyaratkan bahawa Hubal berasal dari utara, mungkin ilah orang Aram (Gibb dan Kraemers 1953, 140). Baik etimologi nama “Hubal” (ha Ba’al? = the Master/Sang Tuan/Tuhan)[10] maupun catatan sejarah tidak mengisyaratkan adanya hubungan antara Hubal dengan Allah ataupun dewa bulan.

Sungguh menghairankan bahawa Morey, dalam penyelidikan “kesarjanaannya” tentang topik ini, mengabaikan sama sekali sumber-sumber yang sangat penting seperti   al-Kalbi dan Winnett dan Reed. Entah dia tidak tahu tentang sumber-sumber ini, entah dia sedar bahawa al-Kalbi membatalkan sama sekali kesahihan salah satu penjelasannya yang “cerdas,” iaitu bagaimana Muhammad menuntun orang kafir daripada pemujaan banyak dewa kepada pemujaan satu ilah, Allah:

Muhammad memang dibesarkan dalam lingkungan agama yang menyembah dewa bulan yang dinamakan Allah, namun dia selangkah lebih maju daripada orang-orang Arab penyembah berhala lainnya. Sementara mereka percaya bahawa Allah (maksudnya dewa bulan) adalah yang paling utama/paling besar dibandingkan dengan semua dewa-dewa lain dan merupakan dewa yang termulia di dalam kuil pemujaan, Muhammad memutuskan bahawa Allah bukan saja maha besar tetapi juga satu-satunya Tuhan (Morey tt., 261).

 

Simbol Bulan Sabit

Tetapi jika dewa bulan bukan ilah yang dominan di Mekkah, bagaimana kita harus menjelaskan simbol bulan sabit? Menurut Morey inilah salah satu bukti bahawa dewa bulan berdaulat di Mekkah (Morey tt., 57-58). Simbol itu muncul hampir di semua masjid di dunia. Oleh itu haruskah kita berkesimpulan bahawa simbol itu berkaitan dengan dewa bulan?  

Pertama-tama Morey wajib membuktikan bahawa simbol bulan sabit ialah simbol yang digunakan orang Arab Muslim di Arabia pada abad-abad pertama di masa kejayaan Islam. Morey mengabaikan kewajipan itu dan sesungguhnya catatan-catatan sejarah menunjukkan bahawa simbol bulan sabit pertama-tama muncul dalam kalangan orang Islam bukan di tanah Arab (!) melainkan di Turki di abad kelima belas dan kemudian menjadi simbol untuk agama Islam di seluruh dunia (Hughes, 1994, 63). Sebagaimana diterangkan oleh Dr. Rick Brown, pakar Timur Tengah dari misi SIL yang fasih berbicara dalam bahasa Arab dan bahasa Semitik lainnya:

Bulan sabit adalah simbol yang digunakan di Konstantinopel (Istanbul moden) dan pada bendera Kekaisaran Bizantium, yang menyatakan beragama Kristian. ... Tetapi ketika orang Turki menaklukkan Konstantinopel dan kawasan Timur Tengah yang selebihnya di abad ke-15, mereka ini mempertahankan simbol kekaisaran Bizantium. Nyatanya, mereka memasang simbol bulan sabit di puncak bangunan-bangunan publik di seluruh kekaisaran sebagai simbol penguasaan mereka. Simbol itu juga terpampang pada bendera negara-negara bawahan mereka, bahkan setelah negara-negara itu merdeka. Setelah bulan sabit tidak lagi melambangkan penguasaan orang Turki atas bekas jajahannya, simbol itu ditafsirkan ulang sebagai simbol Islam, dan inilah makna modennya. Jadi, simbol bulan sabit tidak diwariskan kepada Islam dari agama orang Arab purba yang memuja bulan, tetapi merupakan simbol yang dikenakan orang Turki Ottoman demi alasan politik (huruf miring dibuat oleh saya untuk penekanan—lihat Brown 2006, 80).

Anggapan Morey bahawa simbol bulan sabit berasal daripada dewa bulan sangat boleh didebat. Hujah Brown masuk akal, bahawa bulan sabit semula berhubungan dengan simbol politik, pertama kali digunakan oleh Kekaisaran Bizantium Kristian lalu oleh penggantinya, orang Turki Ottoman.

Setelah meninjau semua bukti daripada bukti sumber seperti Winnett dan Reed (1970), al-Kalbi (1952), dan Brown (1980), kita dapat lihat bahawa tidak ada bukti dewa bulan memainkan peranan utama di kawasan yang melahirkan Islam, khususnya di Mekkah.  Penting juga dicatat bahawa al-Kalbi tidak berbicara apa-apa tentang orang Mekkah kafir mendirikan patung berhala untuk melambangkan Allah. Ini sesuai dengan 20 prasasti purba yang memuat nama “Allah” dan dikumpulkan oleh Frederick Winnett. Tidak ada satu pun yang menyatakan Allah sebagai berhala atau dewa bulan (Winnett, 1938, 243). Ada alasan yang sangat kuat untuk itu, seperti yang akan kita lihat daripada fakta-fakta berikut. Semua fakta ini akan menolong kita memahami dengan benar siapa sebenarnya Allah menurut kesedaran orang Arab kafir.

 

Kepercayaan Orang Arab Purba tentang Allah

Kita sudah menyaksikan bagaimana Morey mengabaikan kesaksian Hisham Ibn al-Kalbi mengenai peranan terbatas dewa bulan di Mekkah dan Arabia Barat Laut.  Sumber penting lainnya yang dilewatkan Morey adalah kepercayaan orang Arab kafir tentang Allah sebagaimana yang dicatat dalam Al-Qur’an. Data Al-Qur’an tentang topik ini mempunyai tanda-tanda autentik kerana alasan sederhana ini: rujukan kepada konsep orang Arab kafir tentang Allah merupakan ulasan sambil lalu yang mencerminkan rasa kekecewaan Muhammad kerana orang kafir menentang pesannya. Jadi, data itu tidak menunjukkan bukti direka-reka, tetapi kelihatan wajar dan autentik. Dengan sendiri data Al-Qur’an sungguh-sungguh menumbangkan tesis Morey bahawa orang Arab di zaman pra-Islam menyamakan Allah dengan dewa bulan. Bahagian yang menyolok ditemukan dalam Surah Al Ankabut (29):61, 63, 65 (Tafsir Qur’an 1990): 

Dan jika engkau bertanya kepada mereka [orang Mekkah kafir], “Siapakah yang menciptakan langit dan menjadikan matahari dan bulan (untuk kepentinganmu)?” Sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah.”

… Dan kalau engkau bertanya kepada mereka, “Siapakah yang menurunkan air hujan dari langit (awan), lalu dengan air itu dihidupkannya bumi yang sudah mati (kering)?” Tentulah mereka menjawab: “Allah.” Katakan: Segala puji untuk Allah! Tetapi kebanyakan mereka tidak berpikir

… Apabila mereka naik kapal, mereka berdo’a kepada Allah dengan seikhlas hati, tetapi setelah mereka diselamatkan ke daratan, ketika itu mereka mempersekutukan Tuhan [dengan dewa/berhala].

Al-Qur’an memuat beberapa rujukan lain yang serupa (Q. 6:136, 10:18, 23:84-89, 39:3, 43:87), tetapi ayat-ayat di atas menegaskan beberapa hal yang paling relevan dengan perbahasan kita. Pertama-tama, ketika Muhammad bertanya kepada orang Mekkah siapakah yang menciptakan langit dan bumi, mereka menjawab dengan cepat: “Allah.” Jawapan orang Mekkah kafir ini menunjukkan bahawa dalam pengertian mereka Allah jauh melebihi dewa bulan. Bagi mereka, dialah Tuhan Pencipta bulan dan segala hal yang lain di alam raya! Dengan kata lain, Allah adalah satu-satunya Pencipta, tidak disaingi dalam hal apa pun oleh ilah lain yang disembah orang Arab. Mereka bahkan berdoa kepada Allah dalam keadaan darurat, kerana sedar bahawa autoriti dan kuasa Allah melampaui dewa-dewa lain. Tetapi apabila negeri mereka aman kembali, mereka musyrik, menyembah berhala lagi.

Daripada fakta-fakta ini kita dapat menyimpulkan bahawa para pemuja Allah di Mekkah bukanlah penganut politeisme dalam satu pengertian istilah itu. Mereka percaya kepada Pencipta yang esa, tetapi pastinya mereka juga bukan penganut monoteisme murni!  Mereka mengakui Allah sebagai Pencipta tetapi menolak menghormati Dia sebagai satu-satunya Tuhan yang benar dan eksklusif, iaitu monoteisme. Menurut definisi, mereka boleh disebut penganut henoteisme (bh. Yunani heno = esa, tidak ekslusif seperti mono): orang yang percaya kepada Pencipta yang esa tetapi juga menyembah ilah-ilah lain. Ya, orang Mekkah purba mempunyai konsep yang bercacat dan bengkok tentang Sang Pencipta. Tetapi mereka mempertahankan satu unsur hakiki yang sama dengan Alkitab: Allah adalah satu-satunya Pencipta langit dan bumi, matahari dan bulan, yang tak terlihat, yang tidak dapat diserupakan oleh patung berhala.

Kepada kesaksian Al-Qur’an yang penting ini dapat pula kita tambahkan penyelidikan Carl Brockelmann (1922, 99-121) tentang konsep Allah yang ditemukan pada peninggalan puisi orang Arab pra-Islam. Brockelmann menjelaskan bahawa sebahagian pujangga Arab kuno itu bukan saja menggambarkan Allah sebagai Pencipta, tetapi juga sebagai Tuhan atas ciptaan-Nya. Pujangga lainnya menggambarkan Allah sebagai Yang Kekal, Tuhan, dan Raja. Selanjutnya, mereka menganggap Dia mahatahu; segala sesuatu ditentukan oleh-Nya. Dari sini mereka menyimpulkan bahawa jika Allah ialah Tuhan atas umat manusia, maka semua manusia adalah hamba-Nya, yang dihukum dan diganjar-Nya menurut perbuatan mereka. Ini menuntut manusia untuk takut kepada-Nya dan memuji Dia. Daripada fakta-fakta ini Brockelmann menyimpulkan: orang Arab pra-Islam menganut konsep tentang Allah yang mirip dengan konsep leluhur bani Israel tentang El ‘Olam (Yang Kekal) dan El ‘Elyon (Yang Mahatinggi) dalam Kejadian 14 (Brockelmann 1922, 107-108; 115-116; 118-119). Mungkin kesimpulan terakhir ini daripada Brockelmann agak berlebihan, namun di dalam Al-Qur’an dan puisi kafir dari Arabia purba, kita tetap dapat menemukan kesamaan yang penting di antara Allah dengan Elohim.  Sayang, Morey tampaknya tidak menyedari atau sengaja melangkahi data penting ini.

 

Orang Arab Kristian Menggunakan Nama “Allah”

Sekarang kita sudah melihat daripada rujukan di sana sini dalam Al-Qur’an dan dalam puisi orang Arab pra-Islam bahawa Allah dipandang sebagai “dewa tertinggi,” tak terlihat, Pencipta segalanya, yang esa. Ia tidak pernah digambarkan sebagai suatu berhala. Gambaran orang Arab purba tentang Allah ini mirip dengan gambaran orang Jerman tentang Gott­ (God), orang Batak Karo tentang Dibata, dan orang Korea tentang Hananim. Semua nama itu menunjuk kepada dewa-dewa pencipta yang tertinggi dalam budaya masing-masing.

Kita boleh memandang bahawa pemujaan orang Eropah dan Asia kafir ini tidaklah lebih Alkitabiah daripada pemujaan orang Arab kafir purba. Jika kita setuju orang Jerman (dan Inggeris), Batak Karo, dan Korea masa kini boleh memakai nama dewa tertinggi mereka dalam Alkitab mereka, mengapa kita menolak nama dewa tertinggi orang Arab purba, Allah, sebagai istilah yang sah untuk menterjemahkan Elohim bagi Tuhan Pencipta dalam Alkitab? 

Jika mengajukan hujah Robert Morey dan Pastor Yakub Sulistyo bahawa “Allah” tidak boleh digunakan kerana itu istilah bahasa Arab dan bukan bahasa Malaysia/Indonesia maka sama halnya dengan nama “Yahweh” dan “Elohim” yang juga bukan bahasa Malaysia/Indonesia! Akan tetapi mungkin Sulistyo dan kawan-kawannya akan menjawab, menurut Keluaran 3:15 kita justeru diperintahkan oleh Yahweh sendiri untuk menggunakan nama bahasa Ibrani itu: “…[Yahweh] itulah nama-Ku untuk selama-lamanya dan dengan nama itulah Aku diseru [Ib. zikri daripada kata zakar, “mengingat”] turun-temurun.”    [Catatan: Harus diperhatikan bahawa terjemahan AVB “Aku diseru” kurang tepat di sini kerana kata Ibrani zikri merujuk bukan kepada semacam “zikir” versi Kristian, iaitu seruan, melainkan merujuk kepada memperingati dan merayakan sifat dan perbuatan-perbuatan Yahweh yang hebat. Contohnya, Mazmur 105:4-5: “Carilah TUHAN (YHWH) dan kekuatan-Nya, carilah wajah-Nya selama-lamanya. Ingatlah [zikoru] perbuatan-Nya yang menakjubkan.” Itulah sebabnya English Standard Version (ESV) menterjemahkan Keluaran 3:15 sebagai berikut: “… (Yahweh)…This is my name forever, and thus I am to be remembered throughout all generations.”]   

Sebetulnya terjemahan Alkitab bahasa Arab selalu menggunakan nama Allah untuk Tuhan. Ini juga dilakukan oleh banyak kumpulan minoriti Kristian yang hidup di negeri majoriti Muslim. Tetapi Morey menyangka orang Arab Kristian tidak berani menggunakan nama lain kerana takut dianiaya. Menurut Morey, orang Muslim fanatik tidak mengizinkan orang Kristian menggunakan istilah lain kerana mereka “percaya bahawa Allah dalam Al-Qur’an adalah sama dengan Tuhan dalam Alkitab” (Morey tt.,71). Hujah Morey bahawa orang Arab Kristian dipaksa menggunakan istilah “Allah” runtuh sekali lagi oleh satu hal yang sangat penting: sebelum kedatangan Islam, orang Kristian Arab sudah biasa memakai nama Allah dalam percakapan dan ibadat. Mereka juga biasa menggunakannya untuk nama peribadi mereka seperti Abdullah = abdi Allah (Hitti 1950, 101; Trimmingham 1978, 74, cttn. kaki 67, 298); Brown, 2006, 80). Lebih-lebih lagi, Al Qur’an melaporkan tanpa nada kritik atau terperanjat bahawa di dalam Arabia di zaman Muhammad nama Allah “banyak disebut-sebut” dalam “biara-biara, gereja-gereja dan rumah-rumah peribadatan Yahudi.” (Al Hajj (22): 40)  Jika kaum Kristian Arab sudah tahu sebelumnya bahawa Allah ialah dewa bulan, bukannya Sang Pencipta, tentunya mereka akan mencampakkan nama itu dan memungut nama lain, mungkin nama yang digunakan oleh orang Kristian Aram, ’elah.[11] Nama ilahi yang dekat hubungannya dengan nama “Allah” tersedia bagi mereka, tetapi mereka terus menggunakan Allah sebagai istilah khas mereka bagi Tuhan dalam Alkitab. 

 

Ujian Kelayakan Nama Ilahi Ala Rasul Paulus

Sejauh ini saya telah menjelaskan bahawa tesis Morey — Allah ialah dewa bulan — tidak mempunyai dasar dan tidak didukung oleh bukti sejarah. Saya juga telah menunjukkan bahawa orang Arab kafir purba di zaman Muhammad memahami Allah sebagai dewa tertinggi, Pencipta yang esa, sekalipun mereka juga memuja ilah-ilah yang lebih rendah. Banyak bangsa dan budaya lain mempunyai kepercayaan dan amalan serupa, dan mempunyai beragam nama untuk dewa tertinggi mereka (God, Tuhan, Debata, Hananim, dsb.). Selanjutnya, kita telah melihat bahawa Alkitab bahasa Arab dan bahasa bangsa-bangsa majoriti Muslim menggunakan nama “Allah.” Tetapi sekarang kita harus bertanya, apakah amalan menggunakan nama dewa/sembahan tertinggi itu dapat dibenarkan secara Alkitabiah? Rasul Paulus memberikan beberapa garis pedoman yang akan menolong kita menjawab pertanyaan tersebut.

Dalam Roma 1, Paulus melukiskan kemerosotan bangsa-bangsa bukan Yahudi. Menarik bahawa gambarannya mengenai pemahaman bangsa bukan Yahudi tentang Tuhan sejajar dengan apa yang telah saya gambarkan mengenai konsep orang Arab kafir tentang Allah. Pertama, Paulus mencatat bahawa bangsa bukan Yahudi yang menyembah berhala tahu tentang kuasa kekal dan sifat ilahi Tuhan melalui pengamatan mereka terhadap alam ciptaan (Roma 1:20). Sama juga, menurut Al-Qur’an 29:61, pengamatan terhadap matahari dan bulan membuat orang Arab kafir mengakui bahawa Allah menciptakan langit dan bumi serta matahari dan bulan: “Dan jika engkau bertanya kepada mereka, “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi tentunya mereka menjawab: ‘Allah.’”

Namun, Paulus juga menyatakan bahawa bangsa-bangsa bukan Yahudi itu menindas kebenaran tentang Tuhan yang diajarkan alam kepada mereka (1:18).  Mereka menukar kebenaran tentang Tuhan — bahawa Dia Pencipta yang esa, satu-satunya yang layak disembah — dengan dusta serta memuja dan menyembah berhala, bukannya Sang Pencipta (1:25). Jadi, mereka tahu siapa Tuhan tetapi tidak memuliakan Dia atau bersyukur kepada-Nya (1:21). Seperti orang kafir yang digambarkan dalam Roma 1, orang Mekkah kafir juga menolak memuji dan bersyukur kepada Allah: “Katakanlah, ‘Segala puji untuk Allah!’ Tetapi kebanyakan mereka tidak berfikir” (Q. 29:63).  Sebaliknya, mereka mengakui adanya Allah tetapi musyrik, menyembah dewa-dewa lain (Q. 29:65).

Paulus memberitahu kita dengan jelas sekali bahawa bangsa-bangsa mengetahui kebenaran hakiki tentang Tuhan. Namun, Paulus tidak menyebutkan nama-nama apa yang mereka gunakan untuk menyapa Sang Pencipta. Kita dapat menduga bahawa masing-masing bangsa itu mempunyai nama sendiri untuk Sang Pencipta. Saya percaya bahawa Paulus memandang perkara nama-nama ilahi sebagai suatu bidang kemerdekaan. Bahkan sebagai orang Yahudi, Paulus menggunakan istilah-istilah Yunani seperti theos dan kurios untuk menterjemahkan nama-nama ilahi Ibrani Elohim dan Yahweh.

Pada pihak lain, secara tersirat Paulus menyatakan bahawa tidak semua nama untuk “dewa tertinggi” sesuai digunakan dalam Alkitab. Contohnya adalah para dewa bulan, Sin atau Wadd dari Arabia Selatan, kerana kedua-duanya jelas-jelas berhubungan dengan penyembahan berhala. Paulus menggunakan istilah falsafah Yunani seperti theos, tetapi perhatikanlah bahawa dia tidak pernah menggunakan nama dewa tertinggi orang Yunani, Zeus. Patung-patung berhala Zeus dan mitos-mitos kafir yang rosak mengenainya membuat Zeus tidak memenuhi syarat untuk menterjemahkan nama ilahi dalam Alkitab (bdg, Kis. 14:8-18). Tetapi theos tidak pernah dipatungkan dan mitologi keliru yang berkaitan dengan namanya jauh lebih sedikit. Sebab itu, secara tersirat Paulus menyatakan bahawa beberapa nama ilahi daripada budaya bukan Ibrani tidak lulus ujian kelayakan untuk menterjemahkan nama ilahi dalam Alkitab. Nama-nama yang tak terpisahkan daripada amalan penyembahan berhala dan sangat dirosak oleh mitologi tidak dapat digunakan untuk menterjemahkan nama-nama ilahi dalam Alkitab.

 

Kata Terakhir

Orang Arab purba tidak pernah membuat patung yang melambangkan Allah. Meskipun sebahagian orang Arab purba mengatakan Allah mempunyai tiga puteri (Q. 53:19-21), yang lain berkata, “Ya Allah, (dewa) tanpa keturunan” dalam prasasti kuno yang ditemukan oleh F. V. Winnett (1938:243). Semua mengakui bahawa Dialah Pencipta yang esa. Sebab itu, menurut petunjuk yang diberikan oleh Rasul Paulus, nama Allah memenuhi semua kriteria sebagai terjemahan yang tepat bagi nama ilahi Elohim. Hujah-hujah Robert Morey bukan sahaja suatu percubaan yang amat menyedihkan tetapi juga satu usaha sesat untuk memesongkan kepercayaan yang benar.   

 

Catatan Akhir


[1] Perlu diketahui bahawa dalam Alkitab Elohim/Allah berfungsi baik sebagai Nama Diri Ilahi (contohnya, “Allah menciptakan langit dan bumi”, Kej. 1:1), mahupun sebagai gelar Ilahi (contohnya, “Akulah TUHAN, Allahmu”, Kel. 20:1).

[2] Apologis Kristian Herlianto (2001), telah membantah Siapakah yang Bernama Allah Itu? dengan hujah-hujah berdasarkan Alkitab dan logik, tetapi sayangnya dia kurang merujuk kepada sumber-sumber arkeologi dan sejarah.

[3] Demikian pendapatnya Yakub Sulistyo (2009) dalam pertanyaan no. 24 daripada bukunya yang bertajuk, Pertanyaan Umum Seputar Nama Yahweh dan Allah.

[4] Lihat evaluasi kritikal Herlianto (2000) dan “The Return of the name YHWH” (2015).  Untuk KS-ILT lihat keterangan yang bernada positif daripada Dede Wijaya (2009).

[5] Dede Wijaya (2009) mencatat nama dari 77 pendeta di Indonesia yang melarang penggunaan kata “Allah” dan mengharuskan nama Yahweh. Mungkin yang paling vokal adalah Pastor Yakub Sulistyo—lihat karya penulisannya, Nama Tuhan (2004) dan Pertanyaan Umum Seputar Nama Yahweh dan Allah (2009).  Namun, Albert Rumampuk (2011) telah menyumbangkan analisa kritikal serta bantahan terhadap Sulistyo.

[6] Lihat Husnan Bey Fananie dan Yudi Pramuko 2004, The Islamic Invasion [Islam yang Dihujat], Robert A. Morey, (2004).  Carian Internet “Allah sama dengan dewa bulan orang kafir” akan memberikan puluhan bantahan yang tajam daripada umat Islam Indonesia, kebanyakan ditulis pada tahun 2008-2015.

[7] Sebagai pengamat dan penduduk di Malaysia untuk lima tahun belakangan ini, saya tidak akan begitu hairan jika golongan “pro-Yahweh/anti-Allah” akan menciplak teks Alkitab Versi Borneo (Alkitab Bahasa Melayu terkini, th.2016), dan mengganti “TUHAN/Allah” dengan “Yahweh/Elohim.”

[8] Perbedaan bahasa, budaya, dan agama, termasuk pemujaan ilah-ilah yang berbeza, membagi kawasan-kawasan geografi Arabia purba. Tinjauan Robert G. Hoyland tentang sejarah pra-Islam seluruh semenanjung Arab menunjukkan hal ini dengan amat jelas (Hoyland 2001, 11,139-166; lihat juga Hitti (1951, 49-86). 

[9] Robert Hoyland (2001, 62) melaporkan bahawa pada abad ke-6SM, raja Babel, Nabonidus, seorang “pemuja setia dewa bulan, Sin …” meninggalkan Babel dan mendirikan istana di oasis Tayma, Arab Utara, mungkin kerana dia ingin “… menghindari perlawanan di dalam negeri dan mempromosikan Sin di luar negeri”. Jika dia memang mempromosikan Sin kepada penduduk Arab di sana, tentulah dampaknya sangat kecil atau tidak ada sama sekali kerana Winnett dan Reed, (1970, 88-112) tidak menemukan jejak Sin di Tayma atau di oasis oasis Arab Utara lainnya.

[10] Ertinya “Hubal” tidak jelas. Ada yang menyamakan nama itu dengan sebutan bahasa Ibrani/Arami Ha Baal (= The Master atau Sang Tuan/Tuhan) tetapi Gibb dan Kraemers (1953, 140 meragukan pendapat itu.

[11] Trimmingham menjelaskan bahawa bahasa Aram dan keKristianan berdampak kuat kepada orang Arab Kristian purba (Trimmingham 1978, 308-311).

 

DAFTAR KEPUSTAKAAN YANG DIKUTIP

Brockelmann, Carl. 1922.  “Allah und die Goetzen, der Ursprung des islamischen Monotheismus.” (Allah dan dewa-dewa, asal-usul monoteisme Islam).  Dalam Archiv Fur Religionswissenschaft. Vol. 21: hlm. 99-121.

Brown, Rick. 2006. “Who Is Allah?  International Journal of Frontier Mission.  23(2): 79-86.

Coon, Carlton. Southern Arabia. 1944. Washington, DC:  Smithsonian.

Fananie, Husnan Bey dan Yudi Pramuko, penyunting. 2004. The Islamic Invasion (Islam yang Dihujat)/Robert A. Morey. Bekasi, INA: C.V. Focus Muslimedia.  

Gibb, H. A. R. dan J. H. Kraemers. 1953. “Hubal.” Shorter Encyclopedia of Islam.  Ithaca, NY: Cornell University Press: 140.

Healey, John. 1993.  The Nabataen Tomb Inscriptions of Meda’in Salih.  Oxford, UK: JSS

Herlianto. 2000. “Kitab Suci 2000: Suatu Evaluasi.” Majalah Gracia 06/II/Peb: 1-8.

Herlianto. Tt. “Kitab Suci Umat Perjanjian Tuhan.” Accessed 31 Oktober, 2016.  http://artikel.sabda.org/book/export/html/232

Herlianto. 2008. “Nama Allah, Nama Tuhan yang Dipermasalahkan.” Sarapan Pagi

Biblika. 22 Januari, 2008.  Accessed 31 Oktober 2016. http://www.sarapanpagi.org/ nama-allah-nama-tuhan-yang-dipermasalahkan-vt1802.html 

Herlianto. 2002.  Siapakah yang Bernama Allah itu?  Jakarta: BPK Gunung Mulia.

Hitti, Philip K. 1950. History of the Arabs.  Edisi ke-5.  New York: MacMillan.   

Hoyland, Robert G. 2001.  Arabia and the Arabs: From the Bronze Age to the Coming of Islam. London: Routledge.

Hughes, Thomas Patrick. 1994. Dictionary of Islam.  Chicago, IL: Kazi Publications.

Ibn al-Kalbi, Hisham b. Muhammad. 1952. The Book of Idols: Being a Translation From the Arabic of the Kitab  al-Asnam By Hisham Ibn Al-Kalbi.  Penerjemah dan editor: Nabih Amin Faris.  Princeton, NJ:  Princeton University Press.

Morey, Robert A. The Islamic Invasion: Confronting the World’s Fastest Growing Religion. 1992. Las Vegas: NV: Christian Scholars Press.  

Morey, Robert A. The Islamic Invasion. T.th.Versi Bahasa Indonesia. Garden Grove, CA: Overseas Ministry.

Rumampuk, Albert. 2011. “Sekte Yahwehisme: Sekte yang Aneh Bin Ajaib.” Majalah Anugerah Allah, 10 Januari, 2011.  Accessed 31 Oktober, 2016. http://albertrumampuk.blogspot.my/2011/01/sekte-yahwehisme-sekte-yang-aneh-bin.html

“Siapakah yang Bernama Allah itu?” 1998. Jakarta: Bet Yesua Hamasiah.

Sulistyo, Yakub. 2004. NamaTuhanUntuk kalangan sendiri.Accessed 31 Oktober, 2016.  https://www. scribd. com/ doc/6590834/Nama-Tuhan

Sulistyo, Yakub. 2009 “PertanyaanUmum Seputar Nama Yahweh dan Allah.”  Accessed 31Oktober,2016. http://www.alfa-omega.or.id/index.php?option=com_content&view= article&id=81&Itemid=92&showall=1;www.scribd.com/doc/6590846/an-Umum-Seputar-Nama-Yahweh-Dan Allah 

Tafsir Qur’an. 1990. Disusun oleh H. Zainuddin Hamidy dan Fachruddin Hs. Jakarta: Penerbit Wijaya Jakarta. 

“The Return of the Name YHWH — Terang Tuhan”. 2015. Acessed 28 Oktober, 2016. https://ter4ng.wordpress.com/ 2015/05/25/the-return-of-the-name-yhwh/

Thompson, Gertrude Caton. 1944.  The Tombs and Moon Temple of Hureidha.  Oxford, UK: Oxford University Press.

Trimmingham, J. Spencer. 1979.  Christianity Among the Arabs in Pre-Islamic Times.  London: Longman.

Wellhausen, Julius.  1897.  Reste arabischen Heidentums (Sisa-sisa Kekafiran orang Arab). Edisi ke-2. Berlin: Walter de Gruyter.

Wijaya, Dede. 2009. “Nama Tuhan yang Diperdebatkan.” Accessed 28 Oktober, 2016.  http://dedewijaya.blogspot.my/2009/05/nama-tuhan-yg-diperdebatkan.html

Winnett, Frederick V. 1938. “Allah Before Islam” dalam The Moslem World. Vol. 28(3):  239-248.

Winnett, Frederick V. dan William L. Reed. 1970. Ancient Records from North Arabia. Toronto, ON, Canada: University of Toronto Press.

 

 

CREDITS

This article is presented here with permission from the author mentioned above. We do not assume any credit on the content presented. We also hereby disclaim any liability to any party for any loss, damage, or disruption caused by its content.