Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Antara Pentakdisan dan Pentahbisan

Wed 28 Dec 2016

Oleh admin@borneosabda.org

Dari mana datangnya perkataan “ditakdiskan” (Bilangan 7:1)?
Apa yang dimaksudkan dengan “pentahbisan” (Imamat 8:22)?

† UPACARA MENYUCIKAN BENDA

Bilangan 7:1. “Pada hari Musa selesai mendirikan Khemah Suci dan mengurapi serta menyucikan (קדש “qadash”) Khemah itu berserta segala kelengkapannya dan begitu jugalah diurapi dan ditakdiskannya (קדש “qadash”) mazbah berserta segala kelengkapannya...” (AVB).  Pentakdisan ialah upacara menyatakan suci tentang sesuatu benda yang dipilih dan dikhaskan untuk tujuan ibadat.

† UPACARA MENYUCIKAN MANUSIA

Imamat 8:22. “Kemudian Musa membawa domba jantan yang kedua, iaitu domba jantan korban pentahbisan, lalu Harun dan anak-anaknya meletakkan tangan mereka di atas kepala domba jantan itu” (AVB).   Pentahbisan (מלא “milu” atau “mala”) ialah upacara keagamaan untuk memisahkan dengan rasmi  seorang imam yang terpilih daripada antara umat Tuhan, dan disucikan supaya layak memegang jawatannya.  Korban yang dipakai dalam upacara ini ialah domba jantan korban pentahbisan, iaitu  domba jantan yang “diperuntukkan bagi pentahbisan” Harun dan anak-anaknya (AVB Keluaran 29:27).

 

Pentahbisan dan Pentakdisan dalam Perjanjian Lama

Keluaran 29:33 (AVB): “Hendaklah mereka makan apa yang telah digunakan dalam upacara pendamaian bagi pentahbisan (מלא “mala” atau “milu”) dan penyucian (קדש “qadash”) mereka.  Orang awam tidak boleh memakannya, kerana kesemuanya itu suci (קדש “qodesh”).”

Selain ditahbiskan mereka juga disucikan.  Ini menunjukkan bahawa Harun dan anak-anaknya dibawa menjalani  dua jenis upacara – pentahbisan (מלא “mala” atau “milu”) dan pentakdisan (קדש “qadash”).

Daripada Bilangan 7:1, kita tahu bahawa perkataan “pentakdisan” digunakan untuk upacara penyucian Khemah beserta segala alat kelengkapannya dan mazbah berserta segala kelengkapannya.

Sebagai kesimpulan:

  1.  “tahbis” dan “takdis”…upacara untuk orang, 
  2.  “takdis”…upacara untuk harta dan alat-alat  bagi  tujuan ibadat,
  3.  “takdis” ialah  sinonim  “tahbis”, dengan  makna “dijadikan suci”.

 

Konsep Penyucian dalam Perjanjian Baru

Untuk maklumat kita, LXX (SEPTUAGINTA) ialah terjemahan bahasa Yunani klasik daripada Perjanjian Lama, yang kitab-kitabnya selalu dipetik oleh  Yesus dan para penulis Perjanjian Baru.  LXXX menggunakan perkataan-perkataan yang kata akarnya mempunyai makna sama dengan tahbis dan takdis atau suci, dalam Keluaran 29:33…

  1.   ηγιασθησαν, dari αγιαζω (mentahbiskan, מלא, consecrate)
  2.   αγιασαι, dari αγιαζω (menyucikan, קדש, sanctify)
  3.   αγιος (suci, קדש, holy).

Perkataan-perkataan yang dinyatakan di atas menjurus kepada satu konsep, iaitu αγιος (“suci” atau “orang salih”).  Pada zaman  Perjanjian Baru didapati bahawa orang percaya dijadikan orang salih melalui pentahbisan dan penyucian darah Anak Domba, sama seperti orang Levi dijadikan imam-imam melalui upacara penebusan,  iaitu pentahbisan dan penyucian dengan korban domba jantan. 

Selain itu,  Tuhan telah berjanji kepada umat Israel untuk “menjadi kerajaan para imam dan bangsa suci” (Kel 19:6). Janji itu sudah pun genap dalam  kalangan orang salih kerana sudah “menjadi umat terpilih, para imam raja, bangsa suci…” (1 Petrus 2:9).

Seperkara  lagi, proses pertumbuhan rohani orang salih dipanggil “penyucian” dalam  Perjanjian Baru.  Yohanes 17:17 (AVB): “Sucikanlah (αγιαζον) mereka dengan Kebenaran-Mu; firman-Mu adalah kebenaran.”  Begitu juga Paulus berkata, “…Dia dapat menyucikan (αγιαση) dan membersihkan  jemaah dengan air melalui firman” (Efesus 5:26).

Selanjutnya, , Paulus menasihati Timotius bagaimana menyucikan makanannya… “disucikan (αγιασεται) dengan firman Allah dan doa” (1 Timotius  4:5).

Kesimpulan: Konsep penyucian dalam Perjanjian Baru digunakan dalam tiga bidang pengajaran: penebusan, pertumbuhan rohani, dan penyucian makanan.