Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Antara Perbenaran dan Kebenaran

Mon 01 Aug 2016

Oleh admin@borneosabda.org

Apa itu Perbenaran?

Perbenaran ialah peristilahan baru untuk menterjemahkan perkataan bahasa Ibrani “tsedeq", "tsadeq", "tsaddiq", atau "tsedaqah”[1] ke dalam bahasa Malaysia. Setakat ini, tidak wujud istilah dalam bahasa Malaysia yang dapat menterjemahkan perkataan Ibrani tersebut.

Dalam Alkitab (Kitab Suci), perkataan Ibrani “tsedeq", "tsadeq", "tsaddiq", atau "tsedaqah” secara umumnya merujuk kepada kenyataan yang terbukti benar dan adil, atau tingkah laku yang tidak bersalah (contoh: Kitab 1 Raja-Raja 8:32; Kitab 2 Tawarikh 6:23).[2]

Perbenaran Allah merujuk kepada sifat-Nya yang benar dan adil, serta kehendak-Nya bagi umat-Nya seperti yang dijelaskan dalam Taurat Musa, yang seterusnya ternyata dalam perbuatan-Nya meniadakan kesalahan dan hukuman dosa, sehingga orang berdosa diperbenar dan diselamatkan, iaitu diterima semula dalam hubungan yang sewajarnya dengan Allah.[3]

Abraham percaya bahawa Allah akan melaksanakan kehendak-Nya bagi keturunan Abraham. Kepercayaan Abraham diperhitungkan baginya sebagai perbenaran (lihat Kitab Kejadian 15:6). Seterusnya, keturunan Abraham diperintahkan untuk melakukan yang benar dan adil supaya mereka diperbenar dan diselamatkan bersama.

Dalam Kitab Suci Perjanjian Baru, istilah yang digunakan untuk perbenaran dalam bahasa Yunani ialah “dikaiosunē”. Maksudnya dalam Injil Matius jelas merujuk kepada tingkah laku seseorang yang hidup selaras dengan kehendak Allah dan yang melaksanakan tuntutan-tuntutan-Nya (Injil Matius 5:6,10). Oleh sebab itu, Yesus (nama lainnya, "Isa Almasih") datang untuk dibaptiskan oleh Yohanes kerana ingin menunaikan segala perbenaran (Injil Matius 5:16). Dalam ajaran rasul Paulus pula, perbenaran itu bukan sekadar tingkah laku yang baik dan benar di hadapan Allah, bahkan diperkuat lagi untuk merujuk kepada suatu anugerah Allah yang diterima dalam iman, tidak berdasarkan diri seseorang atau ibadatnya.[4]

Oleh yang demikian, tertakluk pada konteksnya, ‘tsedeq” atau “dikaiosunē” telah diungkapkan dengan perkataan-perkataan yang berikut - “perbenaran”, “yang benar”, “yang adil”, “keadilan”, “kesalihan” dan juga “kewarakan”. [5]

Isi Kandungan

  • Perbezaan antara 'Kebenaran' dengan 'Perbenaran'
  • Masalah Semantik Pada Masa Lalu
  • Perlunya Peristilahan Baru
  • Pembentukan Istilah Perbenaran
  • Rujukan

 

Perbezaan antara ‘Kebenaran’ dengan ‘Perbenaran’

Secara bandingan yang mudah, perbezaan antara 'kebenaran' dengan 'perbenaran' sama seperti perbezaan antara ‘truth’ dan ‘righteousness’ dalam bahasa Inggeris.

Amalan menggunakan satu perkataan, 'kebenaran', untuk menyampaikan dua konsep keagamaan yang berat iaitu, “truth” dan “righteousness” bukan sahaja bermasalah bagi ahli linguistik, tetapi seringkali juga bagi orang umum. Setelah beberapa dekad Bahasa Malaysia digunakan dengan pesatnya dalam ibadat gereja, kami berasa tertarik tentang betapa cekapnya minda anggota gereja selama ini untuk mentafsirkan maksud ‘kebenaran’ menurut konteks ‘truth’ ataupun konteks ‘righteousness’ – syabas kepada masyarakat Malaysia yang memiliki minda berbilang bahasa!

 

Masalah Semantik Pada Masa Lalu

Kamus Inggeris Melayu Dewan telah memberikan satu pengertian yang khusus kepada ‘righteousness’, iaitu:

RIGHTEOUSNESS: n kewajaran, sewajarnya: to act in all ~, bertindak sewajarnya.

 

June Ngoh dalam disertasi kedoktorannya, Towards Cross-Cultural Cognitive Compatibility in the Malay Translation of Soteriological Terms, menulis: "Of all the alternatives offered for the Malay translation of the term 'righteousness', a recently proposed term ''KEWARAKAN' seems to be the most promising." Beliau menyambung: "One of the new terms proposed is 'PEWAJARAN'. In its support, the main argument is that in the court of law, an action that is considered 'justified' is an action 'done on adequate reasons, and sufficiently supported by credible evidence'. The Jabatan Peguam Negara consistently translates this term as MEWAJARKAN which actually means 'to make right, fitting, suitable, compatible'. It is considered applicable here because a person who has been justified in this special theological sense is a person who has been 'made right' in God's sight, according to the requirements of his holy law." (ms. 209 - 210).

Kamus Dewan Edisi Keempat 2005 seolah-olah menyokong hujjah ini seperti yang berikut:

"mewajarkan" = "menjadikan dapat diterima atau dianggap sbg sepatutnya atau seharusnya demikian, menjadikan wajar.

 

Akan tetapi, masalah teologi ternyata timbul apabila istilah ini digunakan dalam berbagai-bagai konteks yang berlainan dalam Kitab Suci. Misalnya, sesuaikah frasa ‘a righteous man' diterjemahkan "orang wajar" atau "orang benar"? Bagaimana dengan Kitab Zabur' 111:3 “His righteousness endures forever” dialihbahasakan kepada "Kewajaran-Nya kekal untuk selama-lamanya"?

Bagaimana pula dengan Injil Matius 6:33: "Utamakan Kerajaan Allah dan laksanakan kewajaran-Nya" ? Jelaslah bahawa konsep 'kewajaran Allah' janggal sekali dalam teologi Kristian.

Soalan juga boleh dikemukakan jika "kebenaran Allah" dipilih -– apakah frasa ini merujuk kepada 'the truth about God' atau 'God's own truthfulness'?

Pendek kata, idea istilah itu boleh digunakan untuk merujuk kepada manusia (kewajaran manusia) tetapi tidak kena untuk merujuk kepada Allah (kewajaran Allah).

Perlunya Peristilahan Baru

Seboleh-bolehnya, kita memerlukan istilah yang sesuai untuk keseluruhan keadaan atau latar belakang yang berhubung dengan ‘righteousness’, dan bukan sahaja mengungkapkan satu atau dua daripada unsur-unsur atau keadaan dan latar penggunaannya.

Secara umum, kita memerlukan satu perkataan yang berpotensi melingkupi kesemua erti perkataan Ibrani tsedeq' dalam Kitab Suci Perjanjian Lama' iaitu:

  • Righteousness (sebagai sifat Allah);
  • Righteousness (seperti bagi suatu perjuangan);
  • Righteousness, 'truthfulness';
  • Righteousness (seperti hidup beretika betul);
  • Righteousness (diakui tidak salah / 'vindicated').

 

Kita perlu menghayati konotasi undang-undang atau forensik yang amat kuat dalam erti perkataan 'tsedeq' seperti yang tercatat di atas. Istilah Ibrani t-s-d-q mempunyai asal usul dalam bidang forensik dan berpangkal dalam hukum Allah. [6] Maklumlah, “Melakukan yang benar dan adil” merupakan tuntutan Perjanjian Lama. [7]

Pembentukan Istilah Perbenaran

Generasi baru tidak perlu lagi mewarisi kekurangan kosa kata dalam usaha mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan dalam Kitab Suci serta menjadikannya sebagai kebanggaan bangsa.

Kitab Suci Zabur dan Injil mengorak langkah awal untuk mempelopori penggunaan perkataan ‘diperbenar’ sejak 1998. [8] Seterusnya, Alkitab Versi Borneo telah memperluas usaha perintis linguistik dengan membuat pemisahan semantik antara 'kebenaran' dengan 'perbenaran'.

Istilah ‘perbenaran’ kini semakin diterima sebagai perkataan baru untuk merangkumi erti menyeluruh bagi “truth” (αλήθεια dalam Yunani) dan "righteousness" (δικαιοσύνη dalam Yunani [9], atau tsaddiq, צדקה dalam Ibrani). Usaha seterusnya adalah untuk memperkasakan penggunaan perkataan itu lagi dalam kalangan jemaah Kristian.

Menurut LH Goh, seorang penterjemah yang aktif dan berpengalaman dalam penerbitan karya Alkitabiah dalam Bahasa Malaysia, perkataan ‘perbenaran’ telah diuji dalam kalangan penutur asli dan diterima oleh ahli bahasa. Tahap penerimaannya cukup menggalakkan, lebih-lebih lagi kerana kata asas perkataan itu “benar”, maka istilah baru ini mudah difahami. Menurutnya, ‘perbenaran’ berpotensi mencakupi implikasi kognitif sepenuhnya yang terkandung dalam perkataan itu berdasarkan pelbagai konteks keagamaan.

Seterusnya, peristilahan keagamaan yang selaras dengan konsep dan implikasi kognitif di atas ialah:

Orang benar: Orang yang dinyatakan benar oleh Allah kerana beriman kepada Allah dan memenuhi kewajipan kepada Allah dan sesama.

Pembenaran (sama ertinya dengan istilah Pewajaran): Tindakan Allah meniadakan kesalahan dan hukuman dosa di samping memperbenar orang berdosa melalui kematian Kristus sebagai penebus. Pewajaran melalui iman merupakan ajaran penting bahawa Allah hanya mewajarkan orang yang bertaubat dan beriman kepada Yesus. [10]

Rujukan

[1] Biblia Hebraica

[2] Alkitab Versi Borneo; LAB Network, Kota Kinabalu; Januari 2016, ms. 340

[3] Alkitab Versi Borneo; Kitab Kejadian; Ayat 15:6; 18:19; ms. 14 & 19

[4] Alkitab, Surat Paulus kepada Jemaah di Efesus 2:8-9

[5] Istilah "Kewarakan" dibincangkan dalam disertasi June Ngoh, ‘Towards Cross-Cultural Cognitive Compatibility in the Malay Translation of Soteriological Terms’.

[6] Leon Morris; Apostolic Preaching of the Cross; ms. 261

[7] Kitab Suci, Perjanjian Lama; Kitab Kejadian 18:19

[8] Kitab Suci Zabur dan Injil, Khazanah Bahari, cetakan 1998 & 2013; 'diperbenar' digunakan sekitar 20 kali, dalam kitab Roma, 1 Korintus, Galatia, Titus, dan Yakobus; misalan Roma 3:24; 3:28; 4:6.

[9] Teks Yunani: Westcott and Hort 1881, sekarang di domain awam.

[10] Alkitab Versi Borneo; Kitab Roma 4:25; Kitab Galatia 2:21

Yohanes, BORNEO SABDA