Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Zefanya 3

A A A
Alkitab Versi Borneo

Hukuman atas Yerusalem

1Malangnya kota yang derhaka dan cemar,

kota yang penuh penindasan!

2Dia tidak mahu mendengar teguran sesiapa pun,

dan tidak mahu menerima didikan.

Dia tidak percaya kepada Tuhan,

dan tidak datang untuk mendekati Allahnya.

3Di tengah-tengahnya para pembesarnya seperti singa yang mengaum-aum,

para hakimnya seperti serigala malam yang tidak meninggalkan sebarang sisa untuk keesokan harinya.

4Para nabinya berbuat sewenang-wenang serta khianat,

para imamnya mencemari apa yang suci, dan memperkosa hukum.

5Tuhan yang hadir di tengah-tengahnya, sememangnya benar,

Dia tidak melakukan kezaliman.

Keadilan-Nya nyata setiap pagi,

Dia tidak pernah lalai.

Namun demikian, orang zalim tidak tahu malu.

6"Aku telah melenyapkan bangsa-bangsa,

musnah sudah menara-menara penjuru mereka.

Jalan-jalan mereka telah Kurosakkan,

sehingga tiada lagi yang melintasinya.

Kota-kota mereka telah dibinasakan,

sehingga tidak ada lagi orang,

tidak ada lagi penduduk.

7Firman-Ku, 'Tentu sekarang engkau akan takut kepada-Ku

dan akan menerima pengajaran.

Dengan demikian tempat kediaman mereka tidak akan dilenyapkan

selaras dengan segala yang Kutentukan atas mereka.'

Tetapi mereka semakin giat melakukan segala kemungkaran mereka.

8Oleh sebab itu, nantikanlah Aku!"

demikianlah firman Tuhan.

"Akan tiba hari Aku akan bangkit untuk menjarah.

Telah Kuputuskan untuk mengumpulkan bangsa-bangsa

dan menghimpun kerajaan-kerajaan demi mencurahkan murka-Ku ke atas mereka,

kerana dalam seluruh amarah-Ku yang menyala-nyala.

Seluruh bumi akan dimakan oleh keghairahan api cemburu-Ku."

Janji penyelamatan

9"Sungguh, pada waktu itu Aku akan mengubah bibir bangsa-bangsa menjadi bersih,

supaya mereka semua dapat menyeru nama Tuhan

dan beribadat kepada-Nya dengan satu tekad.

10Dari seberang sungai-sungai Kush,

kalangan yang berdoa kepada-Ku,

iaitu para umat-Ku yang tercerai-berai,

akan membawa persembahan kepada-Ku.

11Pada hari itu engkau tidak akan diaibkan lagi oleh segala perbuatanmu yang derhaka terhadap Aku.

Pada waktu itu Aku akan menyingkirkan daripada tengah-tengahmu kalangan yang amat gembira dengan sifat riak mereka.

Engkau tidak akan menyombong lagi di atas gunung-Ku yang suci.

12Aku akan meninggalkan di tengah-tengahmu kalangan

umat yang rendah hati dan lemah.

Mereka akan berlindung dalam nama Tuhan.

13ASaki-baki orang Israel tidak akan melakukan kezaliman

dan tidak akan berkata dusta.

Lidah tipu daya tidak akan didapati di dalam mulut mereka.

Sungguh, mereka akan makan lalu berbaring tanpa ada yang mampu menakut-nakutkan mereka."

14Bersorak-sorailah, wahai puteri Sion!

Bersoraklah dengan gembira, wahai Israel!

Bersukacitalah dan bersuka rialah dengan seluruh hatimu,

wahai puteri Yerusalem!

15Tuhan telah menyingkirkan hukumanmu,

dan Dia telah melenyapkan musuhmu.

Raja Israel, iaitu Tuhan, hadir di tengah-tengahmu,

engkau tidak akan takut lagi kepada malapetaka.

16Pada hari itu akan dikatakan kepada Yerusalem,

"Jangan takut, wahai Sion!

Jangan biarkan tanganmu lemah.

17Tuhan, Allahmu,

hadir di tengah-tengahmu seperti kesateria pembawa kemenangan.

Dengan penuh sukacita Dia akan bergirang kerana engkau,

dan tenang berdiam kerana kasih-Nya.

Dengan sorak-sorai Dia akan bergembira kerana engkau."

18"Aku akan mengumpulkan umat yang berasal daripadamu,

yang pilu mengenangkan hari perayaan

yang telah menanggung beban celaan.

19Sesungguhnya, pada waktu itu Aku

akan bertindak terhadap semua yang menindas engkau.

Aku akan menyelamatkan yang tempang dan mengumpulkan yang terbuang.

Rasa aib mereka akan Kuganti dengan puji-pujian dan kemasyhuran di seluruh bumi.

20Pada waktu itu Aku akan membawa kamu pulang,

iaitu pada waktu Aku mengumpulkan kamu.

Aku akan menjadikan kamu termasyhur

dan terpuji di antara segala bangsa

di bumi pada waktu Aku memulihkan keadaanmu di hadapan matamu sendiri,"

demikianlah firman Tuhan.