Alkitab Versi Borneo |
Penglihatan ketiga: Seorang dengan tali pengukur 1Aku melayangkan pandang dan melihat seseorang lelaki yang memegang tali pengukur. 2Lalu aku bertanya, "Ke manakah engkau hendak pergi?" Jawabnya kepadaku, "Hendak mengukur Yerusalem, untuk mengetahui berapakah lebar dan panjangnya." 3Sementara malaikat yang berbicara dengan aku itu melangkah maju, satu malaikat lain maju pula menemui dia. 4Kepadanya dikatakan, "Larilah, katakanlah kepada pemuda itu, 'Yerusalem akan berdiri seperti kampung tidak bertembok kerana ramainya manusia dan binatang di dalamnya. 5Aku sendiri akan menjadi tembok api di sekelilingnya,' demikianlah firman Tuhan. 'Aku akan menjadi kemuliaan di tengah-tengahnya.' " Orang buangan dipanggil pulang 6"Ayuh! Ayuh! Larilah dari Tanah Utara," demikianlah firman Tuhan, "kerana Aku telah mencerai-beraikan kamu ke arah empat mata angin," demikianlah firman Tuhan. 7"Ayuh, Sion! Selamatkanlah diri, wahai kamu yang tinggal bersama-sama puteri Babel!" 8Beginilah firman Tuhan alam semesta – yang demi kemuliaan-Nya telah mengutus aku – tentang bangsa-bangsa yang menjarah kamu, kerana siapa menyentuh kamu, menyentuh apa yang disayangi-Nya. 9"Sesungguhnya, Aku akan menggerakkan tangan-Ku terhadap mereka sehingga mereka menjadi jarahan bagi orang yang dahulunya takluk di bawah mereka." Maka kamu akan tahu bahawa Tuhan alam semesta, telah mengutus aku. 10"Wahai puteri Sion, bersorak-sorailah dan bersukacitalah. Sesungguhnya, Aku akan datang dan bersemayam di tengah-tengah kamu," demikianlah firman Tuhan. 11"Pada waktu itu banyak bangsa akan mengikatkan diri kepada Tuhan dan menjadi umat-Ku, lalu Aku akan bersemayam di tengah-tengah kamu." Maka engkau akan tahu bahawa Tuhan alam semesta telah mengutus aku kepadamu. 12Tuhan akan memiliki Yehuda sebagai bahagian-Nya di tanah suci dan akan memilih Yerusalem lagi. 13Wahai segala makhluk, berdiam dirilah di hadapan Tuhan, kerana Dia telah bangkit dari tempat kediaman-Nya yang suci!