Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Kidung Agung 8

A A A
Alkitab Versi Borneo

Nyanyian rindu kekasih

1Ah, seandainya engkau saudara laki-lakiku,

yang pernah menyusui payudara ibuku!

Jika kutemui engkau di luar, akan kucium engkau,

dan tiada seorang pun akan menghina aku.

2Aku akan menuntun engkau dan membawa engkau

ke rumah ibuku – orang yang telah mendidik aku.

Aku akan memberimu minum air anggur bercampur rempah-ratus,

sari buah delimaku.

3Tangan kirinya di bawah kepalaku,

dan tangan kanannya memeluk aku.

4Dengan sungguh-sungguh aku minta kepadamu, wahai para puteri Yerusalem,

jangan bangkitkan dan jangan gerakkan cinta

sebelum dikehendakinya.

Bangkitnya cinta

5Siapakah itu, yang muncul dari gurun,

yang bersandar pada kekasihnya?

Di bawah pokok epal kubangunkan engkau.

Di sanalah ibumu sakit bersalin kerana engkau,

di sanalah ia sakit bersalin dan melahirkan engkau.

6Simpanlah aku sebagai materai dalam hatimu,

bagai materai pada lenganmu.

Kerana cinta itu sekuat kematian,

dan cemburu itu sebengis alam barzakh.

Keghairahannya bagai api ternyala,

nyala api Tuhan.

7Air yang meluap pun tidak mampu memadamkan cinta,

banjir juga tidak berdaya menenggelamkannya.

Seseorang yang memberikan segala harta benda rumahnya demi cinta

tawarannya juga akan hanya dihina.

Mempelai perempuan dan adiknya

8Kami mempunyai seorang adik perempuan

yang belum tampak payudaranya.

Apakah yang harus kami lakukan untuk adik kami itu

pada hari ia dipinang?

9Jika dia tembok,

akan kami bina menara perak di atasnya.

Jika dia pintu,

akan kami pagarnya dengan papan kayu araz.

10Dulu aku ini tembok,

dan payudaraku bak menara berkubu.

Lalu di matanya aku bagaikan orang

yang menemukan kedamaian.

11Salomo ada kebun anggur di Baal-Hamon.

Diserahkannya kebun anggur itu kepada para penjaga.

Masing-masing harus membawa seribu keping perak sebagai hasilnya.

12Kebun anggurku, milikku sendiri, ada di hadapanku.

Seribu keping itu bagimu, wahai Salomo,

dan dua ratus keping bagi para penjaga hasilnya.

Kedua-dua mempelai bersahut-sahutan

13Wahai engkau, yang duduk di taman,

para sahabatku memperhatikan suaramu.

Biarlah aku pun mendengarnya!

14Bersegeralah, wahai kekasihku,

jadilah seperti kijang

atau seperti anak rusa

di atas pergunungan rempah-ratus.