Alkitab Versi Borneo |
Impian mempelai perempuan
1Sepanjang malam, di katilku
kucari kekasih hatiku.
Kucari, tetapi dia tidak kutemui. 2"Aku akan bangun sekarang dan mengelilingi kota. Di jalan-jalan dan di tempat-tempat umum akan kucari kekasih hatiku." Kucari, tetapi dia tidak kutemui. 3Para pengawal yang mengelilingi kota menemui aku. "Adakah kamu melihat kekasih hatiku?" 4Sejurus sesudah kulalui mereka, aku menemui kekasih hatiku. Kurangkul dia dan tidak kulepaskan sampai kubawa dia ke rumah ibuku, ke bilik orang yang mengandungkan aku. 5Dengan sungguh-sungguh aku minta kepadamu, wahai para puteri Yerusalem, demi kijang-kijang dan rusa-rusa betina di padang, jangan bangkitkan dan jangan gerakkan cinta sebelum dikehendakinya. Tibanya rombongan mempelai laki-laki 6Siapakah itu, yang muncul dari gurun bagaikan tiang asap, bak ombak yang harum dengan damar wangi dan kemenyan, daripada pelbagai serbuk wangian para pedagang? 7Lihat, itu tandu Salomo! Enam puluh orang kesateria mengelilinginya, daripada kalangan kesateria Israel. 8Semuanya lengkap dengan pedang, dan siap terlatih ilmu peperangan. Masing-masing dengan pedang di pinggang, siap menghadapi ancaman kengerian malam. 9Raja Salomo membuat tandu peribadinya daripada kayu Lebanon. 10Dengan tiang-tiangnya daripada perak, penyandarnya daripada emas, dan tempat duduknya daripada kain ungu. Bahagian dalamnya ditatah dengan kasih para puteri Yerusalem. 11Wahai para puteri Sion, keluarlah dan pandanglah Raja Salomo dengan taj yang dimahkotakan oleh bondanya pada hari pernikahannya, pada hari kesukaan hatinya.