Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Kidung Agung 1

A A A
Alkitab Versi Borneo
1AKidung Agung oleh Raja Salomo.

Mempelai perempuan meluahkan kasihnya

2Semoga diciumnya aku dengan kecupan bibirnya!

Kerana cumbuanmu lebih nikmat daripada air anggur.

3Harum urapan minyak wangimu menggembirakan,

dan namamu bak curahan minyak wangi,

lantas betapa engkau dipuja para perawan!

4Rengkuhlah aku di belakangmu! Ayuh kita bergegas!

Aku sudah dibawa sang raja ke dalam biliknya.

Meriahlah kami beriang ria kerana engkau,

kami akan menyanjung cintamu lebih daripada air anggur.

Patutlah mereka cinta kepadamu!

5Memang aku hitam, tetapi elok,

wahai para puteri Yerusalem,

biarpun hitam bak khemah-khemah Kedar,

namun elok seperti tirai istana Salomo!

6Usah tenung aku kerana aku hitam,

kerana panasnya suria menggelapkan wajahku.

Anak-anak ibuku yang marah kepadaku,

menjadikan aku penjaga kebun anggur;

hinggakan kebun anggurku sendiri tidak kujaga.

7Beritahu aku, wahai kekasih hatiku,

di manakah engkau menggembala domba,

di manakah engkau membiarkan kawanan itu berehat kala tengah hari?

Agar aku tidak tercari-cari engkau

di antara kawanan domba para sahabatmu?

8Jika engkau tidak tahu,

wahai yang tercantik di antara semua perempuan,

keluarlah mengikuti jejak kawanan dombaku

dan gembalakanlah anak-anak kambingmu

berdekatan khemah-khemah para gembala.

Kedua-dua mempelai saling memuji

9Sayangku, aku membanding engkau dengan kuda betina

pada rata-rata Firaun.

10Comelnya pipimu dengan perhiasan

dan lehermu yang dikalungkan manik-manik.

11Untukmu akan kami buat perhiasan-perhiasan emas

yang bertatah perak.

12Sementara seorang raja berada di mejanya,

semerbaklah bau narwastu.

13Bagiku kekasihku bak sebungkus damar wangi

yang tersimpan di antara payudaraku.

14Bagiku kekasihku bak serumpun bunga inai

di kebun-kebun anggur En-Gedi.

15Wah, engkau sebegitu cantik, sayangku!

Wah, engkau sebegitu cantik!

Matamu bagaikan burung merpati.

16Wah, engkau sebegitu tampan, kekasihku!

Sungguh menyenangkan!

Rimbun dedaun itulah lelangit petiduran kita.

17Alang-alang rumah kita kayu araz,

dan kasau-kasau atap kita kayu cemara.