Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Rut 1

A A A
Alkitab Versi Borneo

Naomi menjadi balu

1Maka bala kebuluran menimpa bumi Israel pada zaman pemerintahan para hakim. Pada masa itu ada seorang lelaki dari Betlehem di Tanah Yehuda datang menghuni di negeri Moab bersama-sama isteri dan dua orang anak lelakinya. 2Nama lelaki itu Elimelekh dan isterinya Naomi; dan nama dua orang anak lelakinya Mahlon dan Kilyon. Mereka itu warga Efrata dari Betlehem di Yehuda. Setelah tiba di bumi Moab mereka pun mendiami tempat itu. 3Kemudian Elimelekh, suami Naomi, mati; dan Naomi ditinggalkan dengan dua orang anaknya. 4Kedua-dua orang anak itu memperisteri perempuan bani Moab, masing-masing bernama Orpa dan Rut. Mereka tinggal di sana selama kira-kira sepuluh tahun. 5Selepas itu, Mahlon dan Kilyon juga mati. Oleh itu, perempuan itu kehilangan suami dan juga kedua-dua orang anaknya.

Kesetiaan Rut kepada Naomi

6Lalu bersiap-siaplah Naomi bersama-sama kedua-dua orang menantunya untuk pulang dari bumi Moab kerana di bumi Moab itu dia terdengar khabar bahawa TUHAN telah memperhatikan umat-Nya serta memberikan makanan kepada mereka. 7Maka bertolaklah dia dari tempat penghuniannya dan bersama-sama dua orang menantunya dia menempuh perjalanan untuk pulang ke Tanah Yehuda. 8Berkatalah Naomi kepada dua orang menantunya, "Pulanglah kamu ke rumah ibu masing-masing. Semoga TUHAN mengasihani kamu sebagaimana kamu mengasihani dua orang arwah itu dan juga aku. 9Semoga TUHAN mengurniaimu tempat bernaung kelak di rumah suami masing-masing."

Lalu diciumnya kedua-dua orang menantunya namun mereka mengangkat suara dan menangis. 10Kedua-dua mereka merayu kepadanya, "Tidak, kami mahu bersama-sama ibu pulang kepada suku kaum ibu."

11Naomi menjawab, "Baik kamu pulang sahaja, wahai anak-anakku. Mengapa kamu mahu mengikut aku? Adakah lagi anak lelaki di dalam rahimku yang boleh menjadi suamimu? 12Pergilah! Pulanglah kamu, wahai anakku. Aku kini terlalu tua untuk bersuami. Sekalipun ada harapan aku bersuami dan kemudian katakan pada malam ini juga aku bersuami dan seterusnya melahirkan lagi anak lelaki; 13mampukah kamu menanti sehingga anak-anakku dewasa? Adakah kamu akan menolak untuk bersuami lagi dalam tempoh itu? Janganlah begini wahai anakku. Pengalamanku lebih perit, namun inilah kehendak TUHAN dalam kehidupanku."

14Semakin nyaring tangisan mereka berdua, lalu Orpa mencium mertuanya, memohon diri dan berangkat tetapi Rut memaut mertuanya dengan kuat. 15Berkatalah Naomi, "Birasmu telah pun pulang kepada kaumnya dan kepada tuhan-tuhannya,i eloklah kamu juga pulang mengikut birasmu itu."

16Maka jawab Rut, "Janganlah mendesak aku meninggalkan atau berpaling daripada mengikut ibu kerana ke mana-mana pun ibu tujui aku akan ikut dan di mana-mana sahaja ibu menumpang di situ jugalah aku menumpang. Kaum ibu itulah kaumku dan Allahmu ialah Allahku; 17dan di mana-mana sahaja ibu mati, di situ jugalah aku mati dan dikuburkan. Semoga beginilah kiranya yang dilakukan TUHAN kepadaku, malahan lebih lagi, jika apa-apa pun selain maut memisahkan aku dan ibu."

18Apabila sudah jelas kepada Naomi betapa kuat tekad Rut untuk ikut bersama-samanya, dia berhenti menghalang Rut mengikutinya.

Kembalinya Naomi serta Rut

19Maka berjalanlah kedua-duanya sehingga mereka tiba di Betlehem. Ketika mereka memasuki kota raya itu, gemparlah seluruh kota itu dan para warga perempuan berkata, "Naomikah ini?"

20Tetapi dia berkata kepada mereka, "Janganlah memanggilku Naomi; panggil aku Mara, kerana Yang Maha Kuasa telah membuat hidupku terlalu pahit. 21Aku keluar dari sini dengan tangan yang penuh tetapi TUHAN membawa aku pulang dengan tangan yang kosong. Mengapa panggilku 'Naomi' walhal kesaksian TUHAN menentangku malah Yang Maha Kuasa juga menimpakan bencana kepadaku?"

22Demikianlah Naomi pulang bersama-sama Rut, perempuan bani Moab, menantunya, yang turut pulang dari bumi Moab. Dan mereka tiba di Betlehem pada permulaan musim menuai barli.