Alkitab Versi Borneo |
Suatu contoh perkahwinan 1Tidakkah kamu tahu, saudara-saudaraku – kerana aku sedang berkata-kata kepada orang yang mengetahui hukum Taurat – bahawa hukum itu berkuasa atas seseorang hanya selagi dia masih hidup? 2Misalnya, menurut hukum, seorang perempuan yang berkahwin terikat kepada suaminya hanya selagi suaminya itu masih hidup, tetapi jika suaminya mati, perempuan itu dibebaskan daripada hukum perkahwinan. 3Oleh itu, jika dia berkahwin dengan lelaki lain ketika suaminya masih hidup, perempuan itu dipanggil penzina. Tetapi jika suaminya mati, perempuan itu bebas daripada hukum tersebut dan bukanlah penzina sekiranya dia berkahwin dengan lelaki lain. 4Oleh itu, saudara-saudaraku, kamu juga telah mati kepada hukum Taurat melalui tubuh Kristus, supaya kamu menjadi milik kepada yang lain, iaitu kepada Dia yang telah dibangkitkan daripada kematian, dan dengan demikian kita dapat menghasilkan buah kepada Allah. 5Kerana dahulu ketika kita dikawal oleh sifat tabii yang berdosa, hawa nafsu berdosa yang ditimbulkan oleh hukum telah bekerja dalam tubuh kita, sehingga kita menghasilkan buah untuk kematian. 6Tetapi sekarang, kita telah mati kepada apa yang membelenggu kita dahulu, maka kita telah dibebaskan daripada hukum untuk berkhidmat dalam cara baru Roh, tidak lagi dalam cara lama yang berasaskan peraturan bersurat. Menentang dosa 7AJadi, apakah yang akan kita katakan? Adakah hukum itu dosa? Sama sekali tidak! Memang aku tidak mungkin tahu apa itu dosa kecuali melalui hukum. Kerana aku tidak mungkin tahu apa sebenarnya keinginan jahat jika hukum tidak mengatakan, "Jangan ingini milik orang." 8Tetapi dosa telah merebut peluang yang diberikan oleh perintah itu lalu menimbulkan dalam diriku segala jenis keinginan jahat. Kerana tanpa hukum, dosa tidak wujud. 9Satu masa dahulu, aku hidup tanpa hukum; tetapi apabila datang perintah itu, hiduplah dosa dan matilah aku. 10Aku mendapati bahawa perintah yang dimaksudkan membawa kehidupan itu telah membawa kematian. 11BKerana dosa telah merebut peluang yang diberikan oleh perintah itu lalu memperdayaku, dan melalui perintah itu telah menjerumuskanku ke dalam kematian. 12Jadi, hukum itu suci, dan perintah itu suci, benar serta baik. 13Maka adakah sesuatu yang baik itu menjadi kematian kepadaku? Sama sekali tidak! Tetapi, supaya dosa dikenal sebagai dosa, dosa telah menimbulkan kematian dalam diriku melalui sesuatu yang baik; dengan demikian, melalui perintah itu, dosa dapat menjadi dosa sepenuhnya. 14Kita tahu bahawa hukum bersifat rohani; tetapi aku tidak bersifat rohani, aku telah dijual sebagai hamba kepada dosa. 15CAku tidak mengerti apa yang kulakukan. Apa yang kuhendaki, tidak kulakukan, sebaliknya aku melakukan apa yang kubenci. 16Dan jika aku melakukan apa yang tidak mahu kulakukan, aku setuju bahawa hukum itu baik. 17Nyatalah bahawa bukan aku yang melakukannya, tetapi dosa yang hidup dalam diriku. 18Aku tahu bahawa tidak ada sesuatu yang baik dalam hidup diriku, iaitu dalam sifat tabiiku yang berdosa. Kerana aku hendak melakukan apa yang baik, tetapi aku tidak mampu melaksanakannya. 19Kerana yang kulakukan bukanlah kebaikan yang hendak kulakukan; tidak, kejahatan yang tidak hendak kulakukan – itulah yang kulakukan terus-menerus. 20Jika aku melakukan sesuatu yang tidak ingin kulakukan, bukanlah lagi aku yang melakukannya tetapi dosa yang hidup dalam dirikulah yang melakukan. 21Oleh itu, aku mendapati hukum ini berlangsung; apabila aku hendak melakukan kebaikan, kejahatan bertapak di sisiku. 22Kerana dalam jiwaku aku suka akan hukum Allah 23tetapi aku melihat hukum lain bertindak dalam anggota-anggota tubuhku, memerangi hukum jiwaku dan membuat aku terpenjara dalam hukum dosa yang bertindak dalam anggota-anggota tubuhku. 24Alangkah sengsaranya aku! Siapa yang akan menyelamatkanku daripada tubuh kematian ini? 25Syukur kepada Allah melalui Yesus Kristus, Tuhan kita! Oleh itu, dalam jiwaku aku mengabdi kepada hukum Allah, tetapi dalam sifat tabii yang berdosa aku mengabdi kepada hukum dosa.