Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Roma 6

A A A
Alkitab Versi Borneo

Mati kepada dosa, hidup dalam Kristus

1Oleh yang demikian, apa akan kita katakan? Patutkah kita terus melakukan dosa supaya kasih kurnia bertambah. 2Sama sekali tidak! Kita telah mati kepada dosa; betapa mungkin kita terus hidup dalamnya? 3Atau tidakkah kamu tahu bahawa kita semua yang dibaptiskan dalam Kristus Yesus telah dibaptiskan ke dalam kematian-Nya? 4AMelalui baptisan itu, kita dikuburkan dengan Dia dan ikut mati bersama-Nya. Demikian juga, sebagaimana Kristus dibangkitkan daripada kematian melalui kemuliaan Allah Bapa, kita juga dapat menikmati kehidupan yang baru.

5Jika kita telah disatukan dengan Kristus kerana kita turut mati bersama-Nya, maka tentulah kita akan disatukan juga dengan-Nya dalam kebangkitan semula-Nya. 6Kerana kita tahu bahawa diri kita yang dahulu telah disalib bersama-Nya supaya tubuh dosa itu dapat dihapuskan, dan kita tidak lagi diperhamba oleh dosa. 7Kerana sesiapa yang telah mati, dia dibebaskan daripada dosa. 8Jika kita telah mati bersama Kristus, kita percaya bahawa kita akan hidup dengan-Nya juga. 9Kerana kita tahu bahawa oleh sebab Kristus telah dibangkitkan daripada kematian, Dia tidak mungkin mati lagi; kematian tidak berkuasa atas-Nya lagi. 10Dengan kematian-Nya, Dia telah mati kepada dosa sekali untuk selama-lamanya; tetapi dengan kehidupan-Nya, Dia hidup kepada Allah. 11Demikian juga, anggaplah dirimu telah mati kepada dosa tetapi hidup kepada Allah dalam Kristus Yesus.

12Oleh itu, jangan biarkan dosa bertakhta dalam tubuhmu yang fana sehingga kamu menurut kemahuannya yang durjana. 13Janganlah persembahkan bahagian-bahagian tubuhmu kepada dosa, sebagai alat-alat kedurjanaan; sebaliknya persembahkanlah dirimu kepada Allah, sebagai orang yang telah dibawa daripada kematian kepada kehidupan; dan persembahkan bahagian-bahagian tubuhmu kepada-Nya sebagai alat-alat perbenaran.i 14Kerana dosa tidak akan menjadi tuanmu, disebabkan kamu bukan di bawah hukum, tetapi di bawah kasih kurnia.

Hamba kepada perbenaran

15Jadi bagaimana? Patutkah kita melakukan dosa kerana kita bukan di bawah hukum tetapi di bawah kasih kurnia? Sama sekali tidak! 16Tidakkah kamu tahu bahawa jika kamu mempersembahkan dirimu kepada seseorang dan mentaatinya sebagai hamba, maka kamu menjadi hamba kepada orang yang kamu taati – sama ada kamu hamba kepada dosa, yang membawa kepada kematian, atau kamu hamba kepada ketaatan, yang membawa kepada perbenaran. 17Tetapi bersyukurlah kepada Allah! Dahulu kamu diperhamba oleh dosa, tetapi kini kamu telah taat sepenuh hati akan bentuk ajaran yang telah diamanahkan kepadamu. 18Kamu telah dibebaskan daripada dosa dan menjadi hamba kepada perbenaran. 19Aku menyampaikan perkara ini melalui istilah kehidupan manusia kerana kamu lemah dalam diri tabiimu. Sebagaimana dahulu kamu telah mempersembahkan bahagian-bahagianii tubuhmu sebagai hamba kepada kekejian dan kedurjanaan yang sentiasa meningkat, maka sekarang kamu hendaklah mempersembahkan dirimu sebagai hamba kepada perbenaran yang membawa kepada penyucian.

20Sewaktu kamu diperhamba dosa dahulu, kamu tidaklah dikuasai oleh kawalan perbenaran. 21Tetapi apakah manfaat yang kamu dapati daripada perkara-perkara yang kini membuatmu berasa malu? Perkara-perkara itu membawa kematian. 22Kini kamu telah dibebaskan daripada dosa dan menjadi hamba Allah, manfaat yang kamu dapati membawa kepada kesucian, dan hasilnya ialah kehidupan kekal. 23Kerana ganjaran dosa ialah kematian tetapi kurnia Allah ialah kehidupan kekal dalam Kristus Yesus, Tuhan kita.