Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Roma 12

A A A
Alkitab Versi Borneo

Persembahan yang benar

1Oleh itu, saudara-saudaraku, aku menyeru kepadamu, demi belas kasihan Allah, supaya mempersembahkan tubuh badanmu sebagai korban yang hidup, yang suci dan diterima oleh Allah; itulah ibadat yang wajar. 2Janganlah ikut cara dunia, sebaliknya berubahlah menurut pembaharuan fikiranmu. Dengan demikian, kamu dapat memastikan apa kehendak Allah itu, apa yang baik, yang diredai-Nya dan yang sempurna.

3Aku berkata kepada setiap orang daripadamu, melalui kasih kurnia yang diberikan kepadaku: Janganlah nilai dirimu lebih tinggi daripada sepatutnya, sebaliknya nilailah dirimu sewajarnya, selaras dengan kadar iman yang telah diberikan Allah kepada setiap orang. 4ASebagaimana tubuh manusia terdiri daripada beberapa anggota yang berbagai-bagai tugasnya dan bukan semua anggota itu mempunyai tugas yang sama, 5begitu jugalah kita yang ramai ini, semuanya anggota satu tubuh dalam Kristus, dan saling memiliki. 6BKita mempunyai kurnia yang berlainan menurut kasih kurnia yang diberikan kepada kita. Sekiranya kita dianugerahi kurnia untuk bernubuat, maka bernubuatlah menurut kadar iman kita; 7kalau untuk melayani, gunakanlah dalam pelayanan kita; jika untuk mengajar, gunakanlah dalam pengajaran. 8Orang yang dianugerahi kurnia untuk menasihati, hendaklah dia menggunakannya dalam memberikan nasihat; kalau untuk memberi, lakukanlah dengan murah hati; kiranya untuk memimpin, berilah pimpinan dengan bersungguh-sungguh; dan jika untuk menunjukkan belas kasihan, lakukanlah dengan sukacita.

Hidup dalam kasih

9Kasih hendaklah bersih daripada pura-pura. Bencilah kejahatan. Berpeganglah kepada kebaikan. 10Hendaklah kamu bersikap baik dan mengasihi sesama sendiri dengan kasih persaudaraan, serta saling menghormati dan mengutamakan; 11jangan biarkan kerajinanmu berkurangan; hendaklah semangat rohanimu tetap berkobar-kobar; sentiasa abdikan diri kepada Tuhan. 12Bergembiralah dalam harapan, tabah menghadapi kesusahan, dan terus-menerus berdoa. 13Berilah bantuan untuk memenuhi keperluan orang salih, dan berikan tempat menumpang.

14CPohonlah berkat bagi orang yang menganiaya kamu, dan jangan kutuk mereka. 15Bergembiralah dengan orang yang bergembira, dan menangislah dengan orang yang menangis. 16DBersatu hatilah sesama kamu. Jangan tinggi hati, sebaliknya bergaullah dengan golongan yang sederhana. Jangan anggap dirimu bijaksana.

17Jangan balas kejahatan dengan kejahatan. Perhatikan apa yang baik di mata semua orang. 18Setakat yang mungkin, jika dalam keupayaanmu, hiduplah dalam damai dengan semua manusia. 19ESaudara-saudara yang kukasihi, janganlah berusaha membalas dendam, serahkanlah kepada kemurkaan Allah, kerana telah tersurat: "Pembalasan adalah hak-Ku. Akulah yang akan membalas," demikian firman Tuhan. 20FOleh itu, "Jika musuhmu lapar, berilah dia makan; jika dia dahaga, beri dia minum; Kerana dengan berbuat demikian, kamu menimbunkan bara api ke atas kepalanya." 21Jangan ditewaskan oleh kejahatan, tetapi tewaskanlah kejahatan dengan kebaikan.