Alkitab Versi Borneo |
Kerajaan seribu tahun 1Kemudian aku melihat malaikat turun dari syurga, tangannya memegang kunci jurang serta rantai yang besar. 2ADia menangkap naga, ular purba itu, iaitu Iblis atau Syaitan, lalu mengikatnya selama seribu tahun. 3Dia menghumbankannya ke dalam jurang itu, dan menutupnya serta memateraikannya, supaya ia tidak dapat lagi memperdaya umat manusia hingga tamat tempoh seribu tahun. Selepas itu, ia akan dilepaskan seketika. 4BAku melihat beberapa takhta, lantas orang duduk di atasnya dan diberi kuasa sebagai hakim. Aku melihat roh-roh orang yang telah dipancung kepala kerana memberikan kesaksian tentang Yesus Kristus dan firman Allah, yang tidak menyembah binatang itu atau patungnya, dan tidak menerima tandanya di dahi atau di tangan. Mereka itu hidup dan memerintah bersama Kristus selama seribu tahun. 5Tetapi orang mati yang lain tidak hidup semula hingga genap masa seribu tahun itu. Inilah kebangkitan yang pertama. 6Diberkatilah dan sucilah mereka yang dapat menyertai kebangkitan pertama. Kematian kedua tiada kuasa atas mereka. Mereka akan menjadi imam Allah dan Kristus, dan akan memerintah di sisi-Nya selama seribu tahun. Iblis ditewaskan 7Setelah tamat tempoh seribu tahun itu, Iblis akan dibebaskan dari kurungan. 8DDia akan keluar untuk menipu bangsa-bangsa di empat penjuru bumi, Gog dan Magog, dan mengumpulkan mereka untuk berperang. Bilangan mereka seperti pasir di tepi laut. 9Mereka naik ke seluruh bumi dan mengepung perkhemahan orang salih serta kota yang dikasihi itu. Lalu Allah menurunkan api dari syurga serta menghanguskan mereka. 10Iblis yang telah memperdaya mereka itu terus dihumbankan ke dalam lautan api dan belerang, tempat binatang dan nabi palsu telah dicampakkan. Mereka akan diseksa siang malam selama-lamanya. Orang mati dihakimi 11EKemudian aku melihat sebuah takhta yang besar berwarna putih dan Dia yang bersemayam di atasnya. Bumi dan langit lenyap menghilang dari hadirat-Nya dan tiada lagi tempat bagi kedua-duanya. 12Aku melihat orang mati, kecil dan besar, berdiri di hadapan takhta itu, dan kitab-kitab dibuka. Sebuah kitab lagi dibuka, iaitu Kitab Hidup. Orang mati itu dihakimi menurut perbuatan mereka, berdasarkan segala yang tersurat dalam kitab-kitab itu. 13Laut menyerahkan orang mati yang di dalamnya; Maut dan Alam Maut menyerahkan orang mati yang di dalamnya. Semuanya dihakimi, menurut perbuatan masing-masing. 14Kemudian Maut dan Alam Maut dihumbankan ke dalam lautan api. Inilah kematian kedua iaitu kematian di lautan api. 15Sesiapa yang tidak tertulis namanya di dalam Kitab Hidup dicampakkan ke dalam lautan api.