Alkitab Versi Borneo |
Binatang muncul dari dalam Laut 1Aku melihat seekor binatang keluar dari dalam laut, bertanduk sepuluh berkepala tujuh. Di setiap tanduk terletak mahkota dan di setiap kepala tertulis nama kufur. 2ABinatang itu kelihatan seperti harimau bintang tetapi kakinya seperti kaki beruang dan mulutnya seperti mulut singa. Naga itu memberi binatang itu kuasa dan takhtanya serta kekuasaan yang besar. 3Di salah satu kepala binatang itu terdapat seolah-olah pernah luka parah yang membawa maut tetapi telah sembuh. Seluruh penghuni dunia mengagumi dan mengikut binatang itu. 4Mereka menyembah naga yang telah memberikan kekuasaannya kepada binatang itu, dan mereka menyembah binatang itu sambil berkata, "Siapakah yang setanding dengan binatang ini? Siapakah yang dapat memeranginya?" 5BBinatang itu diberi mulut untuk melafazkan hal-hal besar dan kufur, serta diberi kekuasaan melakukannya selama empat puluh dua bulan. 6Ia pun membuka mulutnya lalu mengkufuri Allah, nama Allah, tempat kediaman Allah bersemayam dan semua penghuni syurga. 7CBinatang itu dibenarkan memerangi dan menewaskan orang salih, serta diberi kekuasaan ke atas semua suku, kaum, bahasa dan bangsa. 8DBinatang itu akan disembah oleh setiap orang di bumi yang sejak dunia dicipta namanya tidak tersenarai di dalam Kitab Hidup milik Anak Domba yang telah disembelih. 9Sesiapa yang bertelinga, dengarlah. 10EOrang yang harus ditawan pasti akan ditawan kelak. Orang yang harus dibunuh dengan pedang pasti akan dibunuh dengan pedang juga. Yang dituntut di sini ialah ketabahan dan iman orang salih. Binatang yang keluar dari dalam bumi 11Kemudian aku melihat seekor lagi binatang buas muncul dari bumi, bertanduk dua seperti anak domba dan bertutur seperti naga. 12Binatang kedua itu menjalankan segala kekuasaan binatang pertama di hadapannya, dan menyuruh bumi serta semua penghuninya menyembah binatang yang telah sembuh daripada luka parah yang membawa maut itu. 13Binatang kedua itu mengadakan beberapa tanda yang hebat, termasuk menurunkan api dari langit ke atas bumi di hadapan umat manusia. 14Dengan tanda-tanda yang dapat diadakannya di hadapan binatang pertama itu, binatang kedua memperdaya sekalian penghuni bumi, dan menyuruh mereka membuat patung binatang yang dilukai pedang namun tetap hidup. 15Binatang kedua itu diberi kuasa untuk meniupkan nyawa ke dalam patung binatang pertama itu, supaya patung itu dapat berkata-kata dan menyebabkan semua yang enggan menyembahnya dibunuh. 16Ia memaksa semua manusia, kecil besar, kaya miskin, orang merdeka dan hamba abdi, menerima suatu tanda pada tangan kanan atau dahi, 17dan seorang pun tidak dibenarkan berjual beli kecuali ada padanya tanda atau nama binatang buas itu, atau angka namanya. 18Yang dituntut di sini ialah kebijaksanaan. Sesiapa yang mengerti, kirakanlah angka binatang itu, kerana angka itu angka seorang manusia, dan angka itu 666.