Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Wahyu 10

A A A
Alkitab Versi Borneo

Malaikat dan gulungan naskhah

1Setelah itu, aku melihat satu lagi malaikat yang gagah perkasa turun dari syurga, tubuhnya diliputi awan dan kepalanya dilingkari pelangi. Wajahnya bersinar seperti matahari, dan kakinya seperti tiang api. 2Tangannya memegang segulungan naskhah kecil yang terbuka. Kaki kanannya di laut, kaki kirinya di darat. 3Dia berseru dengan suara seperti bunyi sekawan singa mengaum, disahut oleh tujuh guruh dengan gemuruh. 4Sebaik-baik tujuh guruh itu berkata-kata, aku hendak mencatat kata-katanya. Tetapi kudengar suara dari syurga berkata kepadaku, "Materaikan segala yang dikatakan oleh tujuh guruh itu, jangan dituliskan."

5AMalaikat yang kulihat berdiri di antara laut dengan darat itu mengangkat tangannya ke langit. 6Dia bersumpah demi Dia yang hidup selama-lamanya, yang telah mencipta syurga dan segala isinya, bumi dan segala isinya serta laut dan segala isinya, bahawa segalanya tidak harus dilengah-lengahkan lagi. 7Tetapi pada masa malaikat ketujuh hendak meniup sangkakalanya, rahsia Allah akan selesai, sebagaimana firman-Nya disampaikan kepada hamba-Nya, para nabi.

8BKemudian suara yang kudengar dari syurga itu berkata lagi kepadaku, "Pergilah ambil gulungan naskhah kecil yang terbuka daripada tangan malaikat yang berdiri di antara laut dengan darat itu."

9Aku pun mendapatkan malaikat itu dan berkata, "Berilah aku gulungan naskhah kecil itu." Katanya kepadaku, "Ambil dan makanlah naskhah ini. Perutmu akan terasa pahit tetapi di mulutmu akan terasa semanis madu."

10Lantas kuambil gulungan naskhah kecil itu daripada tangan malaikat itu lalu kumakan, maka di mulutku terasa semanis madu. Tetapi setelah habis kumakan, perutku terasa pahit. 11Dia berkata kepadaku, "Kamu harus bernubuat lagi tentang pelbagai kaum, bangsa, bahasa dan raja."