Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Mazmur 9

A A A
Alkitab Versi Borneo

Untuk pemimpin muzik.

Menurut lagu "Kematian Anak." Mazmur Daud. 1Aku akan memuji-Mu, ya TUHAN,

dengan sepenuh hatiku;

aku akan menceritakan segala keajaiban yang Kaulakukan,

2Aku akan girang bergembira dalam-Mu;

aku akan menyanyikan pujian untuk nama-Mu,

Ya TUHAN Maha Tinggi.

3Apabila musuhku berpatah balik;

mereka akan jatuh dan musnah di hadirat-Mu.

4Kerana Engkau telah menegakkan hak dan perjuanganku;

Engkau bertakhta, dan menghakimi dengan adil.

5Engkau telah memurkai bangsa-bangsa yang tidak mengenal-Mu dan

membinasakan orang zalim;

Engkau telah menghapuskan nama mereka selama-lamanya.

6Musuh telah musnah dalam kehancuran selama-lamanya,

Engkau telah membinasakan kota-kota;

sehingga luput daripada kenangan.

7Namun TUHAN akan kekal selama-lamanya;

Dia telah menyediakan takhta-Nya untuk penghakiman.

8Dia akan menghakimi dunia dengan adil;

Dia akan menghakimi manusia dengan saksama.

9TUHAN tempat bernaung bagi orang yang ditindas,

tempat perlindungan pada waktu kesusahan.

10Dan mereka yang mengenal nama-Mu akan percaya kepada-Mu,

kerana Engkau, ya TUHAN, tidak mengabaikan sesiapa yang mencari-Mu.

11Nyanyikanlah pujian kepada TUHAN yang bertakhta di Sion;

isytiharkan perbuatan-Nya kepada semua bangsa.

12Dia mengingati mereka apabila Dia membalas kekejaman orang yang menumpahkan darah;

Dia tidak melupakan rintihan mereka yang menderita.

13Kasihanilah aku, ya TUHAN,

timbangkan penderitaanku di tangan orang yang menganiayaku!

Engkau yang mengangkatku daripada gerbang maut,

14supaya aku dapat memuji-Mu di gerbang Puteri Sion,

aku akan bergembira kerana Engkau menyelamatkanku.

15Bangsa-bangsa yang tidak mengenal-Mu telah jatuh ke dalam lubang yang digali mereka sendiri;

kaki mereka terjerumus di dalam jerat yang dipasang sendiri.

16TUHAN dikenali kerana keadilan-Nya;

orang zalim terjerat dalam perangkap buatan sendiri.

17Orang zalim akan musnah selama-lamanya,

begitu juga bangsa-bangsa yang melupakan Allah.

18Kerana orang sesak tidak akan terus dilupakan,

harapan orang miskin tidak akan musnah selama-lamanya.

19Bangkitlah, ya TUHAN, jangan biarkan manusia berleluasa;

biarlah bangsa-bangsa dihakimi di hadirat-Mu.

20Timbulkan ketakutan dalam hati mereka, ya TUHAN,

supaya bangsa-bangsa itu sedar diri mereka hanyalah manusia.