Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Mazmur 88

A A A
Alkitab Versi Borneo

Sebuah Nyanyian. Mazmur suku Korah. Untuk pemimpin muzik.

Menurut lagu Mahalat Leanor. Renungan Heman, orang Ezrahi. 1Ya TUHAN, Allah yang menyelamatkanku,

aku telah berseru siang malam di hadapan-Mu.

2Biarlah doaku datang ke hadirat-Mu;

condongkan telinga-Mu kepada seruanku.

3Kerana jiwaku dipenuhi kesusahan

dan hidupku semakin hampir ke kubur.

4Aku dikira serupa dengan mereka yang masuk ke kubur;

aku seperti orang yang tidak bermaya.

5Hanyut di antara orang mati,

seperti orang terbunuh yang terbaring di dalam kubur,

yang tidak Kauingati lagi,

dan telah tersingkir daripada tangan-Mu.

6Engkau telah meletakkan aku di kubur paling dalam,

dalam kegelapan, jauh di dalam.

7Kemurkaan-Mu berat menekanku;

dan Engkau telah menimpakan segala azab-Mu seperti ombak ke atasku.

8Engkau telah menjauhkan semua kenalanku daripadaku

Engkau telah menjadikan aku jijik di mata mereka.

Aku terkurung, tidak dapat keluar;

9mataku semakin pudar kerana kesakitan derita yang kutanggung.

Ya TUHAN, aku telah berseru kepada-Mu setiap hari;

aku telah menghulurkan tanganku kepada-Mu.

10Akan Kaubuatkah mukjizat untuk orang mati?

Akan bangkitkah orang mati lalu memuji-Mu?

11Akan disebutkah kasih-Mu di kubur,

atau kesetiaan-Mu di tempat Kemusnahan?

12Akan dikenalkah mukjizat-Mu dalam kegelapan,

dan perbenaran-Mui di alam kelupaan?

13Tetapi kepada-Mu aku telah berseru, ya TUHAN;

dan pada waktu pagi doaku datang ke hadirat-Mu.

14Ya TUHAN, mengapa Kausingkirkan jiwaku,

mengapa Kausembunyikan wajah-Mu daripadaku?

15Aku telah ditimpa azab dan hampir mati sejak usia mudaku;

aku menderita ketakutan kerana-Mu, aku resah gelisah.

16Kemurkaan-Mu yang dahsyat menimpaku;

ketakutan kepada-Mu membinasakanku.

17Segalanya mengepungku sepanjang hari seperti air; segalanya menenggelamkan aku.

18Orang tersayang dan sahabat telah Kaujauhkan daripadaku;

dan kenalanku dalam kegelapan.