Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Mazmur 73

A A A
Alkitab Versi Borneo

Jilid III: 73 – 89

Mazmur Asaf. 1Sesungguhnya, Allah baik kepada Israel,

kepada mereka yang murni hati.

2Tetapi aku, kakiku hampir tersandung;

langkahku hampir tergelincir.

3Kerana aku iri hati kepada mereka yang bermegah apabila kulihat kemewahan orang zalim.

4Mereka tidak sakit sebelum mati;

kekuatan mereka tetap teguh.

5Mereka tidak susah seperti orang lain;

mereka tidak dirundung bencana seperti orang lain.

6Oleh itu, mereka berkalungkan keangkuhan;

keganasan menjadi pakaian mereka.

7Hati mereka yang kejam penuh kejahatan;

fikiran mereka yang durjana melampaui segala batas.

8Mereka mencemuh orang dan merancang kejahatan serta penindasan;

mereka bercakap sombong.

9Mulut mereka lancang menentang syurga,

lidah mereka bercakap bongkak kepada seisi bumi.

10Maka orang mereka pulang ke sini

dan air secawan penuh habis dihirup mereka.

11Lalu mereka berkata, "Bagaimana Allah tahu?

Adakah Yang Maha Tinggi mempunyai pengetahuan?"

12Ketahuilah, mereka ini orang mungkar – yang sentiasa senang-lenang, mereka semakin kaya.

13Sesungguhnya, aku telah menyucikan hatiku dengan sia-sia;

dan membasuh tanganku dengan hati yang bersih.

14Kerana sepanjang hari aku disakiti;

dan dihukum setiap pagi.

15Kalaulah aku telah berkata, "Aku akan bercakap begini,"

ketahuilah, ertinya aku tidak jujur kepada keturunan anak-anak-Mu.

16Apabila aku memikirkan bagaimana hendak memahami ini,

terlalu pedih bagiku

17hingga aku masuk ke tempat suci Allah;

barulah aku mengerti tujuan mereka.

18Sesungguhnya, Engkau membawa mereka ke tempat-tempat licin;

Engkau menghumbankan mereka ke dalam kemusnahan.

19Oh, betapa mereka ditimpa malapetaka, seperti dalam sekelip mata, mereka ketakutan!

20Seperti mimpi apabila seseorang terjaga,

demikianlah, ya Tuhan, apabila Engkau terjaga,

Engkau akan meluat akan bentuk mereka.

21Oleh itu, hatiku pilu dan fikiranku risau,

22Aku begitu bodoh dan jahil;

aku seperti seekor binatang di hadirat-Mu.

23Namun demikian, aku sentiasa bersama-Mu;

Engkau memegang tangan kananku.

24Engkau akan memandu aku dengan bimbingan-Mu,

dan kemudian menerimaku ke dalam kemuliaan.

25Siapa yang ada untukku di syurga melainkan Engkau?

Dan tiada siapa di bumi yang kuingini selain Engkau.

26Tubuh dan hatiku layu,

tetapi Allah kekuatan hatiku dan untukku selama-lamanya.

27Kerana sesungguhnya, mereka yang jauh daripada-Mu akan binasa;

Engkau telah memusnahkan kesemua mereka yang meninggalkan-Mu untuk melacurkan diri.

28Tetapi sungguh baik bagiku mendekati Allah.

Aku telah menjadikan Tuhan ALLAH tempat aku bernaung;

supaya aku dapat mengisytiharkan semua hasil kerja-Mu.