Alkitab Versi Borneo |
Mazmur Salomo.
1Berikanlah penghakiman-Mu, ya Allah, kepada raja,
dan perbenaran-Mui kepada anak raja. 2Dia akan menghakimi umat-Mu dengan adil, dan orang miskin-Mu dengan saksama. 3Gunung-ganang akan membawa kesejahteraan kepada umat, dan bukit membawa hasil kebenaran.ii 4Dia akan membawa keadilan kepada umat yang miskin, Dia akan menyelamatkan anak-anak sesak; dan akan menghancurkan penindas. 5Mereka akan takut kepada-Mu, selagi ada matahari dan bulan, turun-temurun zaman-berzaman. 6Dia akan turun seperti hujan ke atas rumput sebelum ditebas, seperti hujan yang mengairi bumi. 7Dalam pemerintahan-Nya orang yang benar akan makmur; dan kesejahteraan penuh melimpah selagi bulan bercahaya. 8ADia akan berkuasa dari laut ke laut dan dari Sungai Efrat ke hujung bumi. 9Mereka yang tinggal di gurun akan tunduk kepada-Nya dan semua musuh-Nya akan menjilat debu. 10Raja-raja Tarsis dan kepulauan akan membawa persembahan;
Raja-raja Syeba dan Seba akan membawa persembahan. 11Ya, semua raja akan sujud di hadapan-Nya, semua bangsa akan melayani-Nya. 12Kerana Dia akan menolong orang sesak yang berseru kepada-Nya, dan orang yang menderita, serta mereka yang tidak ada penolong. 13Dia akan mengasihani orang yang miskin dan memerlukan bantuan, Dia akan menyelamatkan orang yang perlu diselamatkan. 14Dia akan membebaskan hidup mereka daripada penindasan dan keganasan, dan darah mereka amat berharga bagi-Nya. 15Dia akan hidup kekal! Emas dari Syeba akan dipersembahkan kepada-Nya. Orang akan sentiasa menyembah-Nya dan berdoa kepada-Nya dan setiap hari Dia akan diberkati. 16Tanaman biji-bijian akan subur dan makmur; hingga ke puncak gunung. Buahnya melambai-lambai seperti di Lebanon; dan penduduk kota akan bertambah seperti rumput di bumi. 17Nama-Nya akan kekal selama-lamanya; nama-Nya akan kekal selagi ada matahari. Manusia akan diberkati kerana-Nya, semua bangsa akan memuji-Nya. 18Segala puji bagi TUHAN, ya Allah Israel,
hanya Dia yang melakukan perbuatan yang menakjubkan. 19Segala puji bagi nama-Nya untuk selama-lamanya; semoga seluruh bumi dipenuhi dengan kemuliaan-Nya. Amin, Amin. 20Sekian doa Daud anak Isai.