Alkitab Versi Borneo |
Untuk pemimpin muzik. Menurut lagu "Bunga Bakung." Mazmur Daud.
1Selamatkanlah aku, ya Allah,
kerana air sudah naik ke leherku. 2Aku tenggelam dalam air lumpur yang dalam, aku tidak dapat berjejak. Aku telah masuk ke air yang dalam; dan aku hampir lemas. 3Aku lesu meratap; kerongkongku kering. Mataku kelam, menanti Allahku. 4AMereka yang membenciku tanpa alasan lebih banyak daripada rambut di kepalaku;
mereka yang hendak membinasakan aku amat berkuasa,
mereka memusuhiku sedangkan aku tidak bersalah.
Meski aku tidak mencuri apa-apa aku dipaksa membayar. 5Ya Allah, Engkau mengetahui kebodohanku; dan dosa-dosaku tidak tersembunyi daripada-Mu. 6Jangan biarkan orang yang menanti-Mu menanggung malu keranaku,
Ya Tuhan, ALLAH alam semesta;
jangan biarkan mereka yang mencari-Mu menjadi kelam-kabut keranaku,
Ya Allah Israel. 7Kerana-Mu aku telah menerima celaan, keaiban telah menyaluti mukaku. 8Aku telah menjadi orang asing kepada saudara-saudaraku, orang luar kepada anak-anak ibuku; 9Ckerana kasihku terhadap rumah-Mu membakar hatiku, lalu segala celaan daripada mereka yang mencela-Mu telah menimpaku. 10Apabila aku menangis dan membersihkan jiwaku dengan berpuasa, aku dicela kerananya; 11ketika aku mengenakan pakaian penyesalan dosa, mereka mengejek aku. 12Orang yang duduk di pintu pagar mengumpat aku, dan aku menjadi bahan nyanyian orang mabuk. 13Tetapi aku tetap berdoa kepada-Mu, ya TUHAN,
pada masa yang Kauredai;
Ya Allah, dengan limpah kasih-Mu,
dengarlah rayuanku demi kebenaran penyelamatan-Mu. 14Selamatkanlah aku daripada perangkap lumpur, jangan biarkan aku tenggelam; selamatkan aku daripada mereka yang membenciku, dan daripada air yang dalam. 15Jangan biarkan ombak melemaskan aku jangan biarkan aku terbenam ke dasar laut atau lubang kubur menelanku. 16Dengarlah rayuanku, ya TUHAN, kerana kasih-Mu sungguh besar;
berpalinglah kepadaku demi limpah belas kasihan-Mu. 17Jangan sembunyikan wajah-Mu daripada hamba-Mu; kerana aku dalam kesusahan, segeralah kabulkan doaku. 18Dekatilah aku, selamatkan aku; lepaskan aku daripada musuhku. 19Engkau tahu bagaimana aku dicela, dimalukan dan dihina; musuhku semuanya berada di hadapan-Mu. 20Celaan mematahkan hatiku dan aku menanggung kepiluan; kucari orang yang kasihan, tiada seorang pun kutemui, kucari orang yang melipurkan, tidak kujumpai. 21DMereka memberi aku hempedu untuk dimakan dan apabila aku dahaga, mereka memberiku cuka untuk diminum. 22EBiarlah mereka terjerat oleh jamuan sendiri; dan terperangkap oleh kesenangan sendiri. 23Kelamlah mata mereka, supaya mereka buta, dan biarlah pinggang mereka lemah menggeletar. 24Curahkan kemurkaan-Mu ke atas mereka; dan biarkan keberangan-Mu memusnahkan mereka. 25FBiar tempat tinggal mereka lengang dan sepi; dan khemah-khemah mereka tiada penghuni. 26Kerana mereka menganiaya orang yang telah Kauhukum dan memperkatakan kesedihan orang yang telah Kaulukakan. 27Tambahkan lagi kejahatan mereka; jangan biarkan mereka menyertai penyelamatan-Mu. 28GBiar mereka dipadamkan daripada buku orang yang hidup dan tidak tersurat bersama orang yang benar. 29Aku daif dan hiba; selamatkanlah aku, ya Allah, supaya aku dilindungi. 30Aku akan memuji nama Allah dengan nyanyian dan membesarkan-Nya dengan lafaz kesyukuran. 31Ini akan mendapat keredaan TUHAN lebih daripada persembahan korban lembu jantan,
yang bertanduk dan berkuku. 32Orang yang rendah hati akan melihatnya dan bersukacita – dan kamu yang mencari Allah, hatimu akan pulih! 33Kerana TUHAN mendengar rayuan orang miskin
dan tidak menyingkiri umat-Nya yang dipenjarakan. 34Biar langit dan bumi memuji-Nya, begitu juga lautan dan segala hidupan di dalamnya, 35kerana Allah akan menyelamatkan Sion dan membina semula kota-kota Yehuda. Supaya umat-Nya tinggal di sana dan memilikinya; 36keturunan hamba-hamba-Nya akan mewarisi tempat itu, dan mereka yang mengasihi nama-Nya akan tinggal di situ.