Alkitab Versi Borneo |
Untuk pemimpin muzik. Mazmur Daud.
1Dengarlah suaraku, ya Allah, dalam renunganku;
peliharakan nyawaku daripada ancaman ngeri musuh. 2Lindungi aku daripada pakatan rahsia orang zalim, daripada pemberontakan mereka yang melakukan kejahatan. 3Mereka menajamkan lidah mereka seperti pedang dan melengkungkan busur memanahkan kata-kata pahit. 4Jangan biarkan mereka memanah dengan rahsia orang yang tidak bersalah; mereka memanahnya mendadak tanpa takut. 5Mereka saling menggalakkan ke arah kejahatan, mereka berbincang hendak memasang jerat dalam rahsia; kata mereka, "Siapa yang akan melihat mereka?" 6Mereka merancang pelbagai kejahatan, "Kami telah menyiapkan muslihat licik!" Fikiran dan hati manusia memang sukar diselami. 7Tetapi Allah akan melepaskan anak panah-Nya kepada mereka; tiba-tiba mereka akan luka. 8Dia akan membinasakan mereka dengan kata-kata mereka sendiri; semua yang melihat mereka menggeleng kepala. 9Semua manusia akan ketakutan; dan akan mengisytiharkan perbuatan Allah kerana dengan bijaksana mereka akan merenung tindakan-Nya. 10Orang yang benar akan bersukacita kerana TUHAN
dan berlindung kepada-Nya;
dan semua yang tulus hati akan memuliakan-Nya!