Alkitab Versi Borneo |
Takhta-Mu kekal selama-lamanya
Untuk pemimpin muzik. Menurut lagu "Bunga Bakung." Renungan puak Korah. Lagu kasih.
1Hatiku melimpah dengan tema yang indah,
aku menyanyikan ciptaanku tentang Raja;
lidahku seperti pena pujangga. 2Engkau lebih hebat daripada anak-anak manusia; kasih kurnia tercurah di bibir-Mu, maka Allah memberkati-Mu selama-lamanya. 3Ikatkan pedang-Mu di pinggang, wahai Raja yang perkasa; dengan kemuliaan dan kedaulatan-Mu. 4Dan dalam kedaulatan-Mu tujulah kemenangan
bagi kebenaran, kerendahan hati dan keadilan;i
maka tangan kanan-Mu akan mengajar-Mu pelbagai perkara yang menakjubkan. 5Anak-anak panah-Mu tajam menikam jantung musuh Raja; bangsa-bangsa rebah ke bawah kaki-Mu. 6ATakhta-Mu, ya Allah, kekal selama-lamanya; tongkat keadilan adalah tongkat kerajaan-Mu. 7Engkau mencintai perbenaranii dan membenci kejahatan;
oleh itu Allah, Allah TUHAN-Mu,
telah mengurapi-Mu dengan minyak kebahagiaan lebih daripada teman-teman-Mu. 8Seluruh pakaian diharumi damar wangi, gaharu dan cendana dari istana-istana gadingiii yang menggirangkan hati-Mu. 9Puteri raja-raja antara perempuan terhormat di keliling-Mu; di sebelah tangan kanan-Mu berdiri permaisuri berhias emas dari Ofir. 10Dengarlah, wahai anak perempuan, pasang telingamu baik-baik dan timbangkan kata-kataku: Lupakan bangsamu dan rumah ayahandamu. 11Kecantikanmu memikat hati Raja; hormati Dia kerana Dia Tuanmu, 12Puteri Tirus akan datang membawa hadiah, orang kaya akan cuba mengambil hati-Mu. 13Puteri penuh kemuliaan di istana; pakaiannya ditenun dengan benang emas. 14Dia akan dibawa menghadap Raja dengan pakaian aneka warna; anak-anak dara yang mengiringnya akan menghadap-Mu. 15Dengan gembira dan sorakan ria mereka akan dibawa; mereka akan masuk ke istana Raja. 16Anak-anak-Mu akan menggantikan nenek moyang-Mu; Engkau akan merajakan mereka di serata bumi. 17Dengan nyanyianku ini nama-Mu akan diingati turun-temurun; maka bangsa-bangsa akan memuji-Mu selama-lamanya.