Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Mazmur 44

A A A
Alkitab Versi Borneo

Untuk pemimpin muzik. Renungan puak Korah. 1Kami telah mendengar dengan telinga kami sendiri, ya Allah;

nenek moyang kami menceritakan kepada kami

perbuatan yang Kaulakukan pada zaman mereka, zaman dahulukala.

2Engkau telah mengusir bangsa-bangsa asing dengan tangan-Mu

lalu menempatkan umat-Mu di tanah ini;

Engkau menurunkan bala kepada bangsa-bangsa asing dan menyingkiri mereka.

3Umat-Mu tidak menakluki tanah ini dengan pedang mereka,

dan tidak menyelamatkan diri dengan kekuatan mereka sendiri;

yang melakukannya ialah tangan kanan-Mu,

kekuatan-Mu dan cahaya wajah-Mu, kerana Engkau meredai mereka.

4Engkau Rajaku, ya Allahku,

perintahkanlah kemenangan untuk Yakub.

5Melalui Engkau kami akan menumbangkan musuh kami;

dengan nama-Mu kami akan menakluki orang yang menyerang kami.

6Aku tidak akan percaya kepada busurku,

atau pedangku untuk menyelamatkan kami daripada musuh kami;

7tetapi Engkau telah menyelamatkan kami daripada musuh kami,

dan memalukan mereka yang membenci kami.

8Kami memegahkan Allah sepanjang hari,

dan memuji nama-Mu selama-lamanya.

9Tetapi sekarang Engkau menyingkiri dan memalukan kami;

dan Engkau tidak bersama tentera kami.

10Engkau membuat kami berundur apabila diserang musuh,

dan mereka yang membenci kami merampas harta kami.

11Engkau membiarkan kami disembelih seperti domba dan mencerai-beraikan kami dalam kalangan bangsa-bangsa.

12Engkau menjual umat-Mu dengan harga picisan,

dan tidak mendapat untung daripada jualan itu.

13Engkau menjadikan kami bahan ejekan jiran kami,

penghinaan dan cemuhan semua orang sekeliling kami.

14Engkau membuat kami buah mulut bangsa-bangsa;

mereka menggeleng kepala mengumpat kami.

15Aku sentiasa sedar akan maruahku yang tercemar,

dan keaiban yang terpalit di mukaku

16kerana suara orang yang mengejek dan mencaci,

kerana suara musuh dan pendendam.

17Segala ini telah menimpa kami,

tetapi kami tidak melupakan-Mu

dan tidak mengkhianati perjanjian dengan-Mu.

18Hati kami tidak berpaling tadah;

dan langkah kami tidak meninggalkan jalan-Mu.

19Tetapi Engkau meninggalkan kami untuk dimakan serigala

dan meliputi kami dengan bayangan maut.

20Kalaulah kami telah melupakan nama Allah kami atau menghulur tangan menyembah tuhan asing,

21tidakkah Allah mengetahuinya,

kerana Dia tahu akan segala rahsia hati?

22ANamun kerana-Mu kami menghadapi maut sepanjang hari;

kami dianggap sebagai domba untuk disembelih.

23Bangunlah! Mengapa Engkau tidur, ya Tuhan?

Bangkitlah! Jangan singkirkan kami selama-lamanya.

24Mengapa Kausembunyikan wajah-Mu,

dan Kaulupakan penderitaan serta penindasan yang menimpa kami?

25Jiwa kami tersungkur di debu;

tubuh kami terlekap ke tanah.

26Bangkitlah untuk menolong kami;

dan tebuslah kami demi kasih setia-Mu.