Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Mazmur 42

A A A
Alkitab Versi Borneo

Jilid II: 42 – 72

Untuk pemimpin muzik. Renungan puak Korah. 1Seperti rusa merindui air sungai,

demikianlah jiwaku merindui-Mu, ya Allah.

2Jiwaku dahaga akan Allah, Allah yang hidup.

Bilakah aku akan datang ke hadirat Allah?

3Air mataku menjadi makananku siang malam,

manakala mereka terus-menerus berkata kepadaku,

"Di manakah Allahmu?"

4Apabila kukenang segala ini kucurah keluar seluruh jiwaku:

kerana dahulu aku pergi bersama orang ramai, ke Rumah Allah,

dengan sorak-sorai kegembiraan dan puji-pujian bersama orang ramai menyambut hari mulia.

5Mengapa kau nestapa, wahai jiwaku?

Mengapa engkau resah gelisah?

Berharaplah kepada Allah,

kerana aku akan memuji-Nya, Penyelamatku.

6Ya Allahku, jiwaku nestapa dalam diriku;

maka aku akan ingat kepada-Mu dari tanah Yordan,

dan puncak Gunung Hermon – serta dari Bukit Mizar.

7Jiwaku bagai dipanggil-panggil ketika mendengar deru air terjun-Mu;

segala ombak dan gelombang-Mu telah menenggelamkan aku.

8TUHAN akan melimpahkan kasih-Nya pada siang hari,

dan pada waktu malam nyanyian-Nya akan menemaniku – doa kepada Allah hidupku.

9Aku akan berkata kepada Allah Batu Pejalku,

"Mengapa Engkau melupakan aku?

Mengapa aku bersedih, kerana ditindas musuh?"

10Seperti mematahkan tulang-tulangku, musuhku mengejekku,

dengan berkata kepadaku sepanjang hari,

"Di manakah Allahmu?"

11Mengapa kau nestapa, wahai jiwaku?

Mengapa kau resah gelisah?

Berharaplah kepada Allah,

kerana aku akan memuji-Nya,

Penyelamatku dan Allahku.