Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Mazmur 39

A A A
Alkitab Versi Borneo

Untuk pemimpin muzik.

Untuk Yedutun. Mazmur Daud. 1Aku telah berkata, "Aku akan menjaga langkahku

takut nanti aku berdosa dengan lidahku;

Aku akan mengekang mulutku

ketika orang zalim di hadapanku."

2Aku senyap membisu,

kebaikan pun tidak kututurkan,

lalu kesedihanku berkecamuk.

3Hatiku panas, ketika aku bermenung, apinya menyala;

lalu lidahku berkata:

4"Ya TUHAN, tunjukkanlah aku bila ajalku

dan berapa lama aku akan hidup;

supaya aku tahu betapa fananya aku.

5Sememangnya Engkau telah membuat hidupku begitu singkat;

dan usiaku bagaikan tiada bagi-Mu.

Sebenarnya manusia dalam keadaan terbaik pun hanyalah sehembus nafas.

6Sesungguhnya, setiap manusia melangkah seperti bayang-bayang:

Sesungguhnya, dia sibuk dengan sia-sia;

dia menimbun harta, dan tidak tahu siapa mendapatnya nanti.

7Sekarang, ya Tuhan, apa yang kunantikan?

Harapanku tertumpu kepada-Mu.

8Bebaskanlah aku daripada segala dosaku;

jangan biarkan aku diejek oleh orang bodoh.

9Aku membisu; aku tidak membuka mulutku,

kerana Engkau yang melakukannya.

10Sembuhkanlah penyakit yang Kautimpakan kepadaku;

aku binasa di bawah hukuman-Mu.

11Apabila Engkau memurkai dan menghukum manusia kerana dosa mereka;

Engkau membuat kehebatannya lenyap seperti terbangnya rama-rama –

sesungguhnya setiap manusia itu hanya sehembus nafas.

12"Dengarlah doaku, ya TUHAN, dengarlah rayuanku;

jangan berdiam diri melihat air mataku.

Kerana aku orang asing bagi-Mu,

menumpang untuk sementara, seperti nenek moyangku.

13Alihkan renungan tajam-Mu daripadaku, supaya tenagaku pulih

sebelum aku pergi dan tiada lagi."