Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Mazmur 38

A A A
Alkitab Versi Borneo

Mazmur rayuan Daud. 1Ya TUHAN, jangan marahi aku dalam kemurkaan-Mu

jangan hukum aku dalam nyala keberangan-Mu.

2Kerana anak-anak panah-Mu menikamku sungguh dalam,

dan tangan-Mu menekanku.

3Seluruh tubuhku sakit kerana kemurkaan-Mu;

tulang-tulangku rapuh kerana dosaku.

4Kejahatan yang kulakukan telah keterlaluan seperti beban yang terlampau berat untukku.

5Luka-lukaku busuk bernanah kerana kebodohanku.

6Aku menderita, aku sungguh tertekan;

aku berduka sepanjang hari.

7Kerana pinggangku penuh radang;

dan seluruh tubuhku sakit.

8Aku daif dan remuk-redam;

aku merintih kerana hatiku rusuh.

9Ya Tuhan, seluruh keinginanku terdedah di hadapan-Mu;

dan rintihanku tidak tersembunyi daripada-Mu.

10Hatiku berdebar-debar, kekuatanku hilang;

malah mataku juga kehilangan cahaya.

11Orang yang kusayangi dan sahabat handaiku takut mendekatiku kerana penyakit hawarku;

dan saudara-maraku menjauhkan diri daripadaku.

12Orang yang ingin membunuhku memasang jerat untukku,

mereka yang hendak mencederakan aku bercakap tentang kebinasaanku;

dan merancangkan penipuan sepanjang hari.

13Tetapi aku, seperti orang tuli, tidak mendengar,

aku seperti orang bisu yang tidak membuka mulut;

14Demikianlah aku seperti seorang yang tidak mendengar,

dan tidak berkata apa-apa tentang segala yang berlaku.

15Kepada-Mu, ya TUHAN, aku berharap;

Engkau akan mendengar, ya Tuhan, Allahku.

16Kerana aku berkata, "Dengarlah rayuanku,

supaya mereka tidak bergembira dengan penderitaanku,

supaya apabila kakiku tergelincir, mereka tidak mengangkat diri menentangku."

17Aku lemah mungkin rebah,

dan kesedihan sentiasa kurasakan.

18Aku akan mengakui kejahatanku;

aku sedih terseksa kerana dosaku.

19Tetapi musuhku bertenaga dan gagah;

dan mereka yang membenciku tanpa sebab yang wajar telah berganda bilangannya.

20Mereka yang membalas kebaikan dengan kejahatan

menjadi seteruku kerana aku menegakkan kebaikan.

21Janganlah tinggalkan aku, ya TUHAN;

Ya Allahku, janganlah jauh daripadaku.

22Segeralah tolong aku,

Ya Tuhan, Penyelamatku!