Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Mazmur 35

A A A
Alkitab Versi Borneo

Mazmur Daud. 1Sokonglah perjuanganku, ya TUHAN, dengan orang yang memerangiku;

lawanlah mereka yang melawanku.

2Gunakan perisai dan baju zirah-Mu;

dan bangkitlah menolongku.

3Hunuslah lembing dan hentikan mereka daripada memburuku.

Katakan kepada jiwaku,

"Aku penyelamatanmu."

4Malukan dan cemarkan nama orang yang hendak meragut nyawaku;

dan mereka yang merancang untuk mencederakanku akan berundur dan kelam-kabut.

5Jadikan mereka seperti sekam ditiup angin,

dan perintahkan malaikat TUHAN menghalau mereka;

6jadikan jalan yang ditempuh mereka gelap dan licin,

dan perintahkan malaikat TUHAN memburu mereka.

7Kerana tanpa sebab mereka memasang jerat tersembunyi untukku

dan tanpa sebab mereka gali lubang untuk meragut nyawaku,

8biar kebinasaan menimpa mereka dengan tiba-tiba –

dan jerat yang disembunyikan mereka itu menjerat diri mereka sendiri,

biar mereka terjerumus lalu binasa.

9Maka jiwaku akan bersukacita dengan pertolongan TUHAN,

akan bergembira dengan penyelamatan-Nya.

10Semua tulangku akan berkata,

"TUHAN, tiada siapa seperti-Mu,

yang menyelamatkan orang daif daripada orang yang terlalu kuat bagi mereka,

ya, menyelamatkan orang miskin

dan sesak daripada orang yang merampas milik mereka."

11Saksi-saksi yang berniat jahat menuduhku;

menyoalku tentang perkara yang tidak kuketahui.

12Mereka membalas kebaikanku dengan kejahatan sehingga jiwaku berduka.

13Sedangkan ketika mereka sakit dahulu,

aku telah berkabung;

aku merendahkan diriku dengan berpuasa.

Dan doaku sentiasa kembali ke hatiku.

14Aku mundar-mandir seolah-olah mereka sahabat atau saudaraku.

Aku tunduk bersedih,

bagaikan berkabung untuk ibu.

15Namun demikian, apabila aku dalam kesusahan,

mereka bergembira dan berhimpun;

mereka berkumpul menyerangku sedangkan aku tidak tahu.

Mereka memfitnahku dengan ganas terus-menerus.

16Bersama pencemuh mungkar yang mencemuh di majlis jamuan,

mereka menggertakkan gigi terhadapku.

17Ya Tuhan, berapa lamakah Engkau akan melihat sahaja?

Selamatkanlah aku daripada binasa di tangan mereka,

dan nyawaku yang satu-satunya daripada mulut singa.

18Aku akan mengucapkan syukur kepada-Mu di perhimpunan besar;

aku akan memuji-Mu di hadapan khalayak ramai.

19AJangan benarkan mereka yang memusuhiku tanpa alasan bergembira kerana kekalahanku;

jangan benarkan mereka yang membenciku tanpa sebab berkenyitan riang.

20Mereka tidak bertutur untuk kesejahteraan,

tetapi merancang kepalsuan dan penipuan terhadap orang yang hidup damai.

21Mereka juga telah bersuara lantang menuduhku dengan berkata, "Aha, aha!

Kami telah melihatnya dengan mata kami."

22Ini telah Kaulihat, ya TUHAN; janganlah berdiam diri.

Ya Tuhan, janganlah jauh daripadaku.

23Bangkit dan pertahankanlah kebenaranku!

Sokong perjuanganku,

Ya Allahku dan ya Tuhanku.

24Ya TUHAN, ya Allahku, pertahankanlah aku menurut perbenaran-Mu;i

dan jangan biarkan mereka bergembira kerana kekalahanku.

25Jangan biarkan mereka berkata dalam hati, "Aha, inilah yang kita mahu!"

Jangan biarkan mereka berkata, "Kita telah menghapuskannya."

26Malukan dan kelirukanlah mereka yang bergembira kerana penderitaanku;

aibkan dan cemarkan nama mereka yang mengangkat diri menentangku.

27Gembirakan hati sehingga bersorak girang

mereka yang menyokong perjuanganku yang benar;

biar mereka berkata setiap waktu, "Muliakan TUHAN,

yang meredai kejayaan hamba-Nya."

28Lidahku akan mengisytiharkan perbenaran-Mu serta memuji-Mu sepanjang hari.