Alkitab Versi Borneo |
1Bergembiralah tentang TUHAN, wahai orang yang benar;
kerana pujian daripada orang tulus sungguh indah. 2Pujilah TUHAN dengan bermain kecapi;
mainkan lagu untuk-Nya dengan alat bertali sepuluh. 3Nyanyikan lagu baru untuk-Nya; mainkan dengan mahir sekali sambil bersorak ria. 4Kerana firman TUHAN itu benar;
dan semua kerja-Nya dilakukan dengan kesetiaan. 5TUHAN mencintai perbenarani dan keadilan;
bumi ini dipenuhi kasih setia-Nya. 6Dengan firman TUHAN langit telah dicipta,
dan seluruh cakerawala dengan perintah-Nya. 7Dia menghimpunkan air segala lautan; Dia menyimpan khazanah lautan dalam perbendaharaan. 8Takutilah TUHAN, hai seluruh bumi;
gerunlah kepada-Nya, hai semua penghuni dunia. 9Kerana Dia berfirman, lalu segalanya terjadi; Dia memberikan perintah, lalu segalanya teguh. 10TUHAN mematahkan rancangan bangsa-bangsa;
Dia menjadikan niat mereka sia-sia. 11Rancangan TUHAN bertapak selama-lamanya,
niat hati-Nya bagi manusia zaman-berzaman. 12Diberkatilah bangsa yang Allah mereka ialah TUHAN,
mereka yang telah dipilih sebagai milik-Nya. 13TUHAN memandang dari syurga
Dia melihat semua anak manusia; 14dari tempat bersemayam-Nya Dia memandang semua penghuni bumi – 15Dia membentuk hati setiap orang, Dia mempertimbangkan seluruh perbuatan mereka. 16Tiada raja yang diselamatkan oleh tentera yang besar; orang gagah perkasa tidak dapat diselamatkan oleh kekuatan yang hebat. 17Kuda yang diharapkan untuk menyelamatkan pasti mengecewakan; kekuatannya yang hebat tidak akan menyelamatkan sesiapa. 18Lihatlah, TUHAN menumpukan perhatian kepada mereka yang takut kepada-Nya,
kepada mereka yang berharapkan kasih setia-Nya, 19untuk menyelamatkan mereka daripada maut, dan membolehkan mereka hidup ketika berlaku kebuluran. 20Jiwa kita berharap akan TUHAN;
Dialah penolong dan perisai kita. 21Hati kita akan bergembira kerana Dia, sebab kita percaya akan nama-Nya yang suci. 22Limpahi kami dengan kasih setia-Mu, ya TUHAN,
sebagaimana kami berharap kepada-Mu.