Alkitab Versi Borneo |
Untuk pemimpin muzik.
Mazmur Daud.
1Kepada-Mu, ya TUHAN, aku berlindung;
jangan biarkan aku menanggung malu;
selamatkanlah aku kerana perbenaran-Mu.i 2Condongkan telinga-Mu kepadaku, selamatkanlah aku dengan segera; jadilah batu pejal tempat aku berlindung, kubu pertahanan untuk keselamatanku. 3Kerana Engkaulah batu pejal dan kubuku; oleh itu, demi nama-Mu, bimbing dan pandulah aku. 4Lepaskan aku daripada jerat yang dipasang mereka untukku dalam rahsia, kerana Engkaulah kekuatanku. 5AKe dalam tangan-Mu kuserahkan rohku;
Engkau telah menebusku,
Ya TUHAN, Allah yang setia. 6Aku membenci penyembah berhala yang tidak berguna;
aku percaya kepada TUHAN. 7Aku akan gembira dan bersukacita dengan kasih-Mu, kerana Engkau melihat penderitaanku; Engkau tahu segala kesusahan yang menimpaku. 8Engkau tidak menyerahkan aku ke dalam cengkaman musuh; Engkau telah menjejakkan kakiku di tempat yang lapang. 9Kasihanilah aku, ya TUHAN,
kerana aku dalam kesusahan;
mataku kian musnah oleh kesedihan,
ya, seluruh jiwa ragaku. 10Kerana hidupku habis dengan berduka dan usiaku dengan mengeluh; kekuatanku hilang akibat dosaku, dan tulang-tulangku semakin rapuh. 11Aku dicemuh oleh segala musuhku, tetapi lebih-lebih lagi oleh jiran tetanggaku; aku dipandang jijik oleh kenalanku – sesiapa melihatku di jalan lari daripadaku. 12Aku dilupakan seperti orang yang sudah mati, luput dari ingatan; aku seperti sebuah bekas yang pecah. 13Aku mendengar ramai orang memfitnahku; ketakutan mengepungku; mereka sedang berpakat menentangku mereka merancang untuk meragut nyawaku. 14Namun aku tetap percaya kepada-Mu, ya TUHAN;
aku berkata, "Engkaulah Allahku." 15Usiaku berada dalam tangan-Mu;
selamatkanlah aku daripada segala musuhku
dan daripada mereka yang memburuku. 16Limpahkan cahaya wajah-Mu ke atas hamba-Mu; selamatkan aku demi kasih setia-Mu. 17Jangan biarkan aku malu, ya TUHAN,
kerana aku telah berseru kepada-Mu;
biarlah orang zalim ditimpa malu
biarlah mereka membisu dalam kubur. 18Biar lidah mereka yang berdusta dikelukan, lidah yang menuturkan kata-kata biadab dengan sombong dan menghina terhadap orang yang benar. 19Betapa limpahnya kebaikan-Mu, yang telah Kausediakan untuk mereka yang takut kepada-Mu, yang telah Kausiapkan di hadapan manusia untuk mereka yang berlindung dalam-Mu. 20Engkau akan menyembunyikan mereka dalam naungan hadirat-Mu daripada pakatan jahat manusia; Engkau akan menyembunyikan mereka di tempat selamat daripada serangan lidah manusia. 21Segala puji bagi TUHAN,
kerana Dia telah menunjukkan aku kebaikan-Nya yang menakjubkan ketika aku di kota yang dikepung. 22Kerana aku telah berkata dengan tidak sabar, "Aku telah disingkirkan daripada pandangan-Mu!" Namun Engkau mendengar suaraku merayu apabila aku berseru kepada-Mu. 23Kasihilah TUHAN, wahai umat-Nya yang warak!
Kerana TUHAN memeliharakan orang yang setia,
dan membalas sepenuhnya orang yang angkuh. 24Tabahkan dirimu, teguhkan hatimu,
semua kamu yang berharap kepada TUHAN.