Alkitab Versi Borneo |
Mazmur Daud.
1TUHAN cahayaku dan penyelamatanku –
siapa perlu kutakuti?
TUHAN kekuatan hidupku –
siapa harus aku gentar? 2Apabila orang durjana menyerangku untuk membaham dagingku, semua musuh dan seteruku itu, tersandung lalu rebah. 3Kalaupun seangkatan tentera mengepungku, hatiku tidak akan ngeri; meski perang bangkit melandaku, tentang ini aku tetap yakin. 4Satu perkara yang kuingini daripada TUHAN,
akan kupohonkan:
semoga aku akan tinggal di dalam rumah TUHAN seumur hidupku,
melihat keindahan TUHAN
dan tinggal di dalam rumah suci-Nya. 5Kerana pada waktu kesusahan Dia akan menyembunyikan aku di astaka-Nya; di ruang rahsia khemah-Nya Dia akan menyembunyikan aku. Dia akan mengangkatku ke atas batu pejal. 6Dan sekarang kepalaku diangkat tinggi di atas musuh sekelilingku;
maka aku akan mempersembahkan korban dengan sorak-sorai kegembiraan di khemah-Nya;
aku akan menyanyi, ya, aku akan menyanyi memuji TUHAN. 7Dengarlah, ya TUHAN, apabila suaraku berseru;
dan kasihanilah aku, serta sahut seruanku. 8Hatiku berkata tentang-Mu, "Carilah wajah-Nya!"
Wajah-Mu, ya TUHAN, akan kucari. 9Janganlah sembunyikan wajah-Mu daripadaku, jangan singkirkan hamba-Mu dengan murka; Engkau telah menolongku. Jangan pergi daripadaku, jangan tinggalkan aku, Ya Allah Penyelamatku. 10Apabila ibu bapaku berpaling daripadaku,
TUHAN akan memeliharaku. 11Ajarlah aku jalan-Mu, ya TUHAN,
dan bimbinglah aku ke jalan sejahtera
kerana aku diserang musuh. 12Jangan serahkan aku ke tangan seteruku, kerana aku digugat saksi-saksi palsu, dan orang yang ganas. 13Tentulah aku putus asa melainkan aku percaya:
bahawa aku akan melihat kebaikan TUHAN di tanah orang yang hidup.i 14Nantikanlah TUHAN;
tabahkan dirimu, teguhkan hatimu.
Ya, nantikanlah TUHAN!