Alkitab Versi Borneo |
Mazmur Daud.
1Tunjukkanlah kebenaranku, ya TUHAN,
kerana aku telah hidup dalam ketulusan;
dan aku percaya kepada TUHAN
maka aku tidak tergelincir. 2Periksalah aku, ya TUHAN, dan dugalah aku,
ujilah fikiran dan hatiku; 3kerana aku melihat belas kasih-Mu, dan aku telah hidup dalam kebenaran-Mu. 4Aku tidak duduk bersama penyembah berhala, dan tidak menyertai orang munafik; 5aku membenci perhimpunan orang yang berbuat jahat dan tidak akan duduk di sisi orang zalim. 6Aku akan membasuh tanganku dalam kesucian,
dengan demikian aku ke tempat menyembah-Mu, ya TUHAN, 7supaya aku dapat mengisytiharkan dengan suara kesyukuran segala perbuatan-Mu yang menakjubkan. 8Ya TUHAN, aku mencintai rumah-Mu,
dan tempat kemuliaan-Mu. 9Janganlah himpunkan jiwaku dengan orang berdosa, dan hidupku dengan manusia penumpah darah, 10yang merancang perbuatan zalim, manakala tangan mereka penuh rasuah. 11Tetapi aku, aku akan terus hidup dalam kebaikan; tebuslah aku dan kasihanilah aku. 12Kakiku berpijak di tempat mantap;
dalam perhimpunan aku akan memuji TUHAN.