Alkitab Versi Borneo |
Mazmur Daud.
1Kepada-Mu, ya TUHAN, kuserahkan jiwaku; 2Ya Allahku, aku percaya kepada-Mu. Janganlah biarkan aku malu, janganlah biarkan musuhku menewaskan diriku. 3Sesungguhnya, janganlah biarkan sesiapa yang menantikan-Mu menanggung malu, biarlah yang dimalukan itu mereka yang berbuat khianat tanpa sebab. 4Tunjukkanlah aku jalan-Mu, ya TUHAN,
ajarkanlah aku mengikut jalan-Mu; 5bimbinglah aku kepada kebenaran-Mu dan ajarlah aku, kerana Engkaulah Allah Penyelamatku, Engkau kunantikan sepanjang waktu. 6Ingatilah, ya TUHAN,
belas kasihan-Mu yang lembut mesra,
kerana segalanya dari zaman dahulu. 7Janganlah ingati dosaku di usia muda dan keingkaranku;
ingatilah aku dengan kasih-Mu,
demi kebaikan-Mu, ya TUHAN. 8TUHAN baik dan tulus;
maka Dia mengajar orang berdosa jalan yang benar. 9Dia membimbing orang yang rendah hati dalam keadilan dan mengajar mereka jalan-Nya. 10Semua jalan TUHAN adalah kasih dan kebenaran
bagi mereka yang berpegang kepada perjanjian dan peraturan-Nya. 11Demi nama-Mu, ya TUHAN
ampunkanlah kejahatanku, walaupun amat besar. 12Siapakah manusia yang takut akan TUHAN?
TUHAN akan mengajarnya di jalan pilihan-Nya. 13Orang itu akan hidup makmur, dan zuriatnya akan mewarisi bumi ini. 14Rahsia TUHAN i ada pada mereka yang takut kepada-Nya;
dan Dia akan menunjukkan mereka perjanjian-Nya. 15Mataku sentiasa ke arah TUHAN,
kerana Dia akan melepaskan kakiku daripada jerat. 16Berpalinglah kepadaku, dan kasihanilah aku, kerana aku sepi dan sengsara. 17Kesusahan hatiku telah bertambah; bawalah aku keluar daripada segala derita ini. 18Lihatlah kesengsaraan dan keazabanku dan ampunkanlah segala dosaku. 19Perhatikanlah segala musuhku yang amat ramai mereka membenciku dengan kebencian yang kejam! 20Peliharakanlah jiwaku, selamatkanlah aku; jangan biarkan aku malu, aku berlindung kepada-Mu. 21Biar keikhlasan dan ketulusan memeliharaku, aku setia menanti-Mu. 22Tebuslah Israel, ya Allah, daripada segala kesusahan mereka!