Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Mazmur 147

A A A
Alkitab Versi Borneo
1Pujilah TUHAN!

Kerana menyanyikan pujian kepada Allah kita itu baik,

serta menyenangkan, dan pujian itu indah!

2TUHAN membina semula Yerusalem;

Dia mengumpulkan umat Israel yang tersingkir.

3Dia menyembuhkan mereka yang patah hati

dan membalut luka mereka.

4Dia menghitung bintang-bintang

Dia memanggil setiap satu dengan namanya.

5Maha Besar Tuhan kita dan Maha Kuasa;

pengertian-Nya tidak ada batasan.

6TUHAN mengangkat tinggi mereka yang rendah hati;

Dia menghumbankan orang zalim ke tanah.

7Menyanyilah kepada TUHAN dengan mengucapkan kesyukuran;

nyanyikan pujian dengan iringan kecapi kepada Allah kita.

8Dia melitupi langit dengan awan;

Dia menyediakan hujan untuk bumi;

Dia menumbuhkan rumput di atas gunung.

9Dia memberi makanan kepada haiwan

dan kepada anak-anak gagak yang menciap.

10Dia tidak menikmati kekuatan kuda,

Dia tidak berkenan akan manusia kerana kegagahannya;

11TUHAN meredai mereka yang takut kepada-Nya,

mereka yang berharapkan kasih setia-Nya.

12Sanjunglah TUHAN, wahai Yerusalem;

pujilah Allahmu, wahai Sion,

13kerana Dia telah mengukuhkan palang-palang pintu pagarmu;

Dia telah memberkati anak-anak di dalammu.

14Dia menjadikan sempadan-sempadanmu aman

dan memenuhimu dengan gandum terbaik.

15Dia menghantarkan perintah-Nya ke bumi;

firman-Nya sampai dalam seketika.

16Dia memberi salji seperti bulu domba;

Dia menaburkan air beku seperti abu.

17Dia melemparkan hujan batu-Nya.

Siapa yang dapat menghadapi kedinginan-Nya?

18Dia menghantarkan firman-Nya lalu mencairkan semuanya;

Dia membuat angin-Nya bertiup dan air mengalir.

19Dia mengisytiharkan firman-Nya kepada Yakub,

ketetapan dan hukum-Nya kepada Israel.

20Dia tidak melakukan yang demikian kepada bangsa lain;

dan hukum-hukum-Nya tidak diketahui oleh mereka.

Pujilah TUHAN!