Alkitab Versi Borneo |
Untuk pemimpin muzik.
Mazmur Daud.
1Ya TUHAN, Engkau telah menelitiku dan mengenalku. 2Engkau mengenal dudukku dan berdiriku; Engkau memahami fikiranku dari jauh. 3Engkau meneliti jalanku dan baringku; serta mengerti semua caraku. 4Sebelum ada sepatah kata di lidahku, ya TUHAN,
Engkau telah mengetahui seluruhnya. 5Engkau telah merangkulku – di belakang dan di hadapan; dan meletakkan tangan-Mu ke atasku. 6Pengetahuan demikian terlalu menakjubkan bagiku, tingginya tidak tercapai olehku. 7Ke mana dapat aku pergi daripada Roh-Mu? Atau ke mana dapat aku lari dari hadirat-Mu? 8Jika aku naik ke syurga, Engkau di sana; jika aku membuat tempat tidurku di neraka, lihatlah, Engkau di sana. 9Jika kuambil sayap pagi, dan tinggal di bahagian laut yang paling dalam, 10di sana pun tangan-Mu akan memimpinku, tangan kanan-Mu akan memegangku. 11Jika aku berkata, "Tentulah kegelapan akan menyelubungiku dan cahaya sekelilingku akan menjadi malam," 12sesungguhnya kegelapan tidak gelap bagi-Mu; dan malam terang-benderang seperti siang, kegelapan dan cahaya serupa bagi-Mu. 13Kerana Engkau telah membentuk bahagian-bahagian dalamku; Engkau melindungiku di dalam rahim ibuku. 14Aku akan memuji-Mu, kerana aku dicipta dengan mengagumkan dan menakjubkan; sungguh menakjubkan ciptaan-Mu, dan ini amat diketahui oleh jiwaku. 15Bentukku tidak tersembunyi daripada-Mu ketika aku dicipta dalam rahsia dan diukir dengan mahir di bahagian bumi yang paling bawah. 16Mata-Mu telah melihat zatku yang masih belum dibentuk. Dan dalam kitab-Mu segalanya tersurat hari-hari yang ditentukan untukku. 17Betapa bernilai fikiran-Mu juga bagiku, ya Allah! Betapa besar jumlahnya! 18Jika kuhitung, jumlahnya lebih banyak daripada pasir. Apabila aku terjaga, aku masih bersama-Mu. 19Semoga Engkau musnahkan orang zalim, ya Allah! Maka pergilah daripadaku, hai orang yang suka menumpahkan darah! 20Kerana mereka bercakap menentang-Mu dengan durjana; musuh-Mu menyebut nama-Mu sewenang-wenang. 21Tidakkah aku membenci mereka yang membenci-Mu, ya TUHAN,
dan membenci mereka yang bangkit menentang-Mu? 22Aku membenci mereka dengan sepenuh kebencian; aku menganggap mereka musuhku. 23Telitilah aku, ya Allah, dan kenallah hatiku; dugalah aku dan ketahuilah kebimbanganku. 24Lihatlah jika ada kecenderungan durjana di dalamku, dan pimpinlah aku ke jalan yang kekal selama-lamanya.