Alkitab Versi Borneo |
1Pujilah TUHAN, wahai jiwaku.
Ya Allahku, Engkau Maha Besar;
Engkau penuh kehormatan dan keagungan. 2Engkau menyaluti diri-Mu dengan cahaya seperti pakaian;
Engkau merentangkan angkasa seperti tirai. 3Dia mengasaskan lantai ruang-ruang atas-Nya di perairan.
Dia menjadikan awan pedati-Nya;
Dia berjalan di atas sayap angin. 4ADia menjadikan para malaikat-Nya sebagai roh, para hamba-Nya nyala api. 5Engkau yang meletakkan asas bumi; supaya tidak berganjak selama-lamanya. 6Engkau meliputinya dengan lautan dalam seperti dengan pakaian; perairan itu berdiri di atas gunung. 7Apabila Kaumurkai, ia lari, mendengar suara guruh-Mu, ia segera pergi; 8perairan itu telah naik ke atas pergunungan, ia turun ke pelembahan, ke tempat yang Kauasaskan baginya. 9Engkau telah menentukan sempadan yang tidak boleh dilaluinya; supaya ia tidak kembali meliputi bumi. 10Dia menghantar mata air ke pelembahan; yang mengalir di antara bukit-bukau. 11Mata air memberikan minuman kepada setiap binatang di padang; keldai-keldai liar menghilangkan dahaganya. 12Di sisinya burung-burung angkasa membuat sarang; dan menyanyi di cabang-cabang pokok. 13Dia mengairi bukit-bukau dari ruang-ruang atas-Nya; bumi berpuas dengan buah hasil kerja-Nya. 14Dia membuat rumput tumbuh untuk lembu ternakan, dan pelbagai tanaman bagi kegunaan manusia – untuk membolehkannya menghasilkan makanan dari bumi: 15air anggur yang menyukakan hati manusia, minyak untuk menyerikan mukanya, dan roti yang meneguhkan hati manusia. 16Pokok-pokok TUHAN segar dan subur,
pokok-pokok araz di Lebanon yang ditanam-Nya. 17Di situ burung-burung membuat sarangnya; burung ranggung tinggal di pokok sanubar. 18Bukit-bukit tinggi untuk kambing liar; curaman-curaman tempat landak bernaung. 19Dia menentukan bulan untuk menandakan musim, matahari tahu bila waktu untuknya terbenam. 20Engkau mencipta kegelapan, maka menjadi malam, masa untuk binatang-binatang hutan merayau. 21Singa-singa muda mengaum mencari mangsa dan memohon makannya daripada Allah. 22Apabila matahari terbit; mereka berhimpun lalu baring di gua mereka. 23Manusia keluar ke tempat kerjanya, dan memerah tenaga hingga lewat petang. 24Ya TUHAN, sungguh beraneka hasil kerja-Mu!
Dengan bijaksana Engkau telah mencipta segala-galanya; bumi penuh dengan milik-Mu. 25Laut yang besar dan luas, yang tidak terkira banyak isi di dalamnya – makhluk hidup yang kecil dan besar. 26BDi situ kapal-kapal belayar, dan Lewiatan yang telah Kaujadikan untuk bermain di sana. 27Semuanya menantikan-Mu bahawa Engkau akan memberi mereka makanan pada waktu yang ditentukan. 28Apa yang Kauberikan, mereka kumpulkan; Engkau membuka genggaman tangan-Mu, penuh dengan segala yang baik. 29Engkau menyembunyikan wajah-Mu, mereka menanggung kesusahan; Engkau mengambil nafas mereka, lalu mereka mati dan kembali menjadi debu. 30Engkau menghantar Roh-Mu, lalu mereka dicipta, dan Engkau membaharui muka bumi. 31Semoga kemuliaan TUHAN kekal selama-lamanya;
semoga TUHAN bergembira dengan hasil kerja-Nya – 32Dia memandang bumi, lalu bumi gementar, Dia menyentuh bukit, lalu bukit berasap. 33Aku akan menyanyi untuk TUHAN sepanjang hayatku;
aku akan menyanyikan pujian untuk Allahku selagi aku hidup. 34Semoga renunganku baik di sisi-Nya,
aku akan bersukacita kerana TUHAN. 35Semoga orang berdosa dihapuskan dari bumi
dan orang zalim tiada lagi.
Pujilah TUHAN, wahai jiwaku.
Pujilah TUHAN!