Alkitab Versi Borneo |
Doa seorang derita apabila dia lemah dan mencurahkan kesusahannya kepada TUHAN.
1Dengarlah doaku, ya TUHAN;
dan biarlah seruanku datang kepada-Mu. 2Janganlah sembunyikan wajah-Mu daripadaku semasa aku dalam kesusahan. Condongkan telinga-Mu kepadaku; ketika aku berseru, jawablah aku segera. 3Kerana setiap hari dalam hidupku hilang seperti asap; dan tulang-tulangku dibakar seperti di tempat berdiang. 4Hatiku sakit dan layu seperti rumput; sehingga aku terlupa makan rotiku. 5Kerana aku mengerang, tulangku melekat ke kulitku. 6Aku seperti burung hantu di gurun, seperti burung hantu di runtuhan. 7Aku tidak dapat melelapkan mata; berbaring seperti burung pipit kesepian di bumbung rumah. 8Musuhku mencelaku sepanjang hari; mereka yang mencemuhku mengangkat sumpah memfitnahku. 9Aku telah makan abu seperti roti dan minumanku bercampur air mata 10kerana kemarahan dan kemurkaan-Mu,
kerana Engkau telah mengangkatku, kemudian menghumbankan aku. 11Hidupku seperti bayang-bayang memanjang; dan aku layu seperti rumput. 12Tetapi Engkau, ya TUHAN, akan kekal selama-lamanya;
dan nama-Mu diingati turun-temurun zaman-berzaman. 13Engkau akan bangkit dan mengasihani Sion, kerana saat untuk meredainya; ya, saat yang ditentukan, telah tiba. 14Kerana hamba-hamba-Mu menghargai batu-batunya; dan berasa kasihan akan debunya. 15Maka bangsa-bangsa akan takut kepada nama TUHAN,
dan raja-raja dunia gentar akan kemuliaan-Mu. 16TUHAN akan membina Sion
Dia akan menampakkan diri dalam kemuliaan-Nya. 17Dia akan menimbangkan doa orang papa; dan tidak akan menghina permohonan mereka. 18Ini akan disuratkan untuk keturunan akan datang,
supaya umat yang belum lahir akan memuji TUHAN: 19"Dia memandang ke bawah dari tempat suci-Nya,
dari syurga TUHAN memerhatikan bumi, 20untuk mendengar rintihan orang yang dipenjarakan,
untuk membebaskan mereka yang dihukum mati." 21Untuk mengisytiharkan nama TUHAN di Sion
dan pujian untuk-Nya di Yerusalem 22apabila umat-umat berhimpun dan kerajaan-kerajaan berhimpun untuk beribadat kepada TUHAN. 23Dia melemahkan kekuatanku dalam hidup; Dia memendekkan umurku. 24Aku berkata: "Ya Allahku, janganlah ambil aku pada separuh umurku; masa-Mu meliputi semua keturunan. 25APada mulanya, Engkau meletakkan asas bumi, dan seluruh langit adalah hasil kerja tangan-Mu. 26Bumi dan langit akan binasa, tetapi Engkau kekal; ya, segalanya akan menjadi usang seperti pakaian. Seperti jubah Engkau akan menggulungnya, seperti baju yang ditukar, semuanya akan diubah. 27Tetapi Engkau tetap sama, dan tahun-tahun-Mu tidak berkesudahan. 28Anak hamba-hamba-Mu akan berterusan; dan anak cucu mereka akan berdiri di hadirat-Mu."