Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Amsal 8

A A A
Alkitab Versi Borneo

Hikmah sumber keberkatan

1ABukankah hikmah berseru-seru,

dan pengertian menyaringkan suaranya?

2Di puncak tempat tinggi di tepi jalan

serta di persimpangan, di sanalah ia berdiri.

3Di sebelah pintu gerbang, tempat masuk menuju kota

serta di pintu-pintu masuk, ia mengangkat suaranya,

4"Hai umat insan, kepadamulah aku berseru,

kepada semua anak manusia seruanku ditujukan.

5Hai orang yang betul bendul, perolehlah kecerdasan;

hai orang bodoh, perolehlah pengertian.

6Dengarlah, kerana aku akan mengatakan hal-hal yang luhur,

bibirku terbuka menyampaikan perkara-perkara yang betul.

7Mulutku akan mengatakan kebenaran;

kedurjanaan adalah kekejian bagi bibirku.

8Segala kata-kata mulutku adalah benar,

tiada yang songsang atau bengkang-bengkok.

9Segalanya itu jelas bagi orang yang berpengertian,

dan tepat bagi orang yang berpengetahuan.

10Pilihlah ajaranku dan bukannya perak;

pilihlah pengetahuan dan bukannya emas pilihan.

11Kerana hikmah lebih bernilai daripada segala permata,

dan segala yang dihasratkan tidak setara dengannya.

12Aku, hikmah, hidup seiring kecerdasan,

dan memperoleh pengetahuan serta kebijaksanaan.

13Takut kepada TUHAN bererti membenci kejahatan.

Kesombongan, ketakburan, kejahatan,

serta mulut mungkar, semuanya kubenci.

14Padaku ada nasihat dan hikmah yang baik,

aku memiliki pengertian, dan juga kekuatan.

15Kerana akulah, raja-raja memerintah,

dan para penguasa menetapkan keadilan.

16Kerana aku, para raja dan bangsawan berkuasa,

malahan semua yang memerintah di bumi dengan adil.

17Aku mengasihi orang yang mengasihiku,

sesiapa yang bersungguh-sungguh mencari aku akan menemuiku.

18Kekayaan dan kehormatan ada padaku,

demikian pula harta yang kekal dan kemakmuran.

19Buahku lebih baik daripada emas, bahkan melebihi emas tulen,

demikian pula hasilku lebih baik berbanding dengan perak pilihan.

20Aku berjalan di jalan yang benar,

di tengah-tengah lorong keadilan,

21demi mewariskan khazanah kepada kalangan yang mengasihiku,

dan memenuhi perbendaharaan mereka.

22BTUHAN menjadikan aku pada permulaan pekerjaan-Nya,

sebagai karya-Nya yang sulung pada zaman purba.

23Aku ditetapkan sejak azali,

sebelum ada bumi.

24Ketika samudera raya belum ada, aku telah lahir,

ketika belum ada mata air yang berlimpah airnya.

25Sebelum gunung-ganang didirikan,

dan lebih dahulu daripada penciptaan bukit-bukau, aku telah lahir,

26ketika Dia belum menjadikan bumi dan padang-padangnya,

atau debu tanah yang mula-mula di dunia ini.

27Ketika Dia membentangkan langit, aku ada di sana,

ketika Dia menempatkan kaki langit pada permukaan samudera;

28ketika Dia menetapkan awan-awan di atas,

dan ketika segala mata air samudera menderas;

29ketika Dia menentukan batas bagi lautan

supaya airnya tidak melanggar perintah-Nya,

dan ketika Dia menetapkan asas-asas bumi,

30aku ada di samping-Nya sebagai ahli binaan.

Hari demi hari aku menjadi kegembiraan-Nya,

31dan sentiasa bersenang-senang di hadapan-Nya,

bergembira di atas muka bumi-Nya dan bahagia dengan anak-anak manusia.

32Sekarang, hai anak-anak, dengarlah kata-kataku,

berbahagialah orang yang memelihara jalan-jalanku.

33Dengarlah didikan dan jadilah orang yang arif;

jangan abaikannya.

34Berbahagialah orang yang mendengar kata-kataku,

yang berjaga-jaga setiap hari di pintu gerbangku,

dan yang menanti-nanti di pintu rumahku,

35kerana sesiapa yang menemukanku, menemukan hidup,

dan TUHAN berkenan kepadanya.

36Tetapi sesiapa yang tidak menemukanku, melukai dirinya sendiri.

Semua orang yang membenciku, mengasihi maut."