Alkitab Versi Borneo |
Pepatah-pepatah Raja Lemuel 1Inilah kata-kata Lemuel, raja Masa, yang diajarkan oleh ibunya kepadanya: 2Hai anakku, hai anak daripada rahimku, dan hai anak nazarku, 3jangan serahkan kekuatanmu kepada perempuan, dan jalan hidupmu kepada pembinasa para raja. 4Tidaklah patut bagi raja, hai Lemuel, tidaklah patut bagi raja minum air anggur, atau bagi para penguasa menginginkan minuman keras. 5Kerana jika mereka meminumnya, jangan-jangan mereka lupa kepada ketetapan, dan menyelewengkan hak semua orang yang tertindas. 6Berikanlah minuman keras kepada orang yang hampir mati, dan air anggur kepada orang yang getir hatinya. 7Biarlah dia minum dan lupa akan kemiskinannya, serta tidak lagi mengingat akan kesusahannya. 8Bukalah mulutmu demi mempertahankan orang bisu, dan bagi hak semua orang yang hampir lenyap. 9Bukalah mulutmu, adililah secara benar, belalah hak orang miskin dan orang melarat. Puji-pujian untuk isteri yang cemerlang 10Isteri yang cemerlang, siapakah dapat menemukannya? Dia jauh lebih berharga daripada intan berlian. 11Hati suaminya mempercayainya dan suaminya tidak akan kekurangan keuntungan. 12Dia berbuat baik kepada suaminya, bukan berbuat jahat, seumur hidupnya. 13Dia mencari bulu domba dan rami, lalu dengan senang hati bekerja dengan tangannya. 14Dia seperti kapal saudagar, dibawanya makanannya dari jauh. 15Dia bangun ketika hari masih gelap, disiapkannya makanan untuk seisi rumahnya, dan bahagian tugas bagi setiap pelayan perempuannya. 16Setelah menimbangkan sewajar-wajarnya, dibelinya sebuah ladang, dan daripada hasil tangannya ditanaminya kebun anggur. 17Dia mengikat pinggangnya dengan kekuatan, dan menguatkan lengannya. 18Dia tahu bahawa usahanya menguntungkan; pada malam hari pelitanya tidak padam. 19Tangannya diletakkannya pada pemintal, dan jari-jarinya memegang gelendong benang. 20Dia membuka tangannya bagi orang miskin, dan menghulurkan tangannya bagi orang melarat. 21Dia tidak mengkhuatirkan keluarganya ketika musim sejuk tiba, kerana seisi rumahnya berpakaian tebal. 22Dia membuat bagi dirinya permaidani, dan pakaiannya pun daripada linen halus berwarna ungu. 23Suaminya dikenal orang di pintu gerbang, ketika dia duduk bersama para tua-tua negeri. 24Dia membuat pakaian daripada linen lalu menjualnya, dan dia menyediakan ikat pinggang bagi para pedagang. 25Kekuatan dan kehormatan adalah pakaiannya; dia tersenyum terhadap hari yang mendatang. 26Dia membuka mulutnya dengan hikmah, dan ajaran kebaikan hati ada di lidahnya. 27Dia mengawasi jalan rumah tangganya, dan buah hasil kemalasan tidak dijamahnya. 28Anak-anaknya bangkit dan menyanjungnya, suaminya pun memujinya, 29"Ramai perempuan yang perbuatan mereka sangat baik, tetapi engkau melebihi mereka semua." 30Daya tarikan memperdaya dan kecantikan cuma kesia-siaan,
tetapi perempuan yang takut kepada TUHAN akan dipuji-puji. 31Berikanlah kepadanya hasil tangannya, dan biarlah hasil kerjanya memuji-mujinya di pintu-pintu gerbang!