Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Amsal 28

A A A
Alkitab Versi Borneo
1Orang durjana lari padahal tidak ada yang mengejarnya,

tetapi orang benar berani seperti singa muda.

2Ketika sebuah negeri memberontak, akan ada ramai penguasanya,

tetapi jika adanya seorang yang berpengertian dan berpengetahuan, maka negeri itu akan bertahan.

3Orang miskin yang menindas orang miskin

seumpama hujan lebat yang tidak membawa rezeki.

4Orang yang mengabaikan Hukum Taurat memuji orang durjana,

tetapi orang yang berpegang teguh pada Hukum Taurat menentang mereka.

5Orang yang jahat tidak mengerti keadilan,

tetapi orang yang mencari TUHAN mengerti segala sesuatu.

6Lebih baik orang miskin yang hidup dalam keikhlasannya

daripada orang kaya yang berliku-liku jalannya.

7Anak yang memelihara Hukum Taurat mempunyai pengertian,

tetapi sesiapa yang bergaul dengan orang rakus mengaibkan ayahnya.

8Orang yang menambah kekayaannya dengan wang faedah dan riba,

mengumpulkannya bagi orang yang mengasihani orang miskin.

9Orang yang memalingkan telinganya supaya tidak mendengar Hukum Taurat,

maka doanya pun adalah kekejian.

10Sesiapa menyesatkan orang yang lurus hati di jalan yang jahat,

akan jatuh dalam lubang jebaknya sendiri.

Tetapi orang yang tidak bercela akan mewarisi kebajikan.

11Orang kaya menganggap dirinya bijaksana,

tetapi orang miskin yang berpengertian mengenalinya.

12Ketika orang benar menang, ada kemuliaan besar,

tetapi ketika orang durjana bangkit, orang menyembunyikan diri.

13Orang yang menyembunyikan pelanggarannya tidak akan beruntung,

tetapi sesiapa mengakui dan meninggalkannya akan mendapat rahmat.

14Berbahagialah orang yang sentiasa takut kepada TUHAN,

tetapi orang yang mengeraskan hati akan terperosok ke dalam malapetaka.

15Seperti singa yang mengaum dan beruang yang menyerang,

demikianlah orang durjana yang menguasai rakyat miskin.

16Pemimpin yang kurang pengertian besar penindasannya,

tetapi orang yang membenci laba haram memanjangkan umurnya.

17Orang yang berhutang darah kepada sesiapa pun

akan jadi pelarian sampai ke liang lahat;

janganlah ada yang menolongnya.

18Sesiapa yang hidup tidak tercela akan diselamatkan,

tetapi orang yang jalannya berliku-liku akan jatuh serta-merta.

19Sesiapa mengusahakan tanahnya akan kenyang dengan makanan,

tetapi sesiapa mengejar hal yang hampa akan kenyang dengan kemiskinan.

20Orang yang setia akan memperoleh banyak berkat,

tetapi orang yang ingin cepat kaya tidak akan lepas daripada hukuman.

21Tidaklah baik bersikap berat sebelah;

kerana sekadar untuk sepotong roti orang akan melakukan pelanggaran.

22Orang yang kikir memburu kekayaan,

tidak tahu bahawa kemiskinan bakal menimpanya.

23Sesiapa yang menegur seseorang akhirnya akan lebih disayangi

daripada orang yang mengampu dengan lidahnya.

24Sesiapa merampas harta ayahnya atau ibunya

lalu berkata, "Itu bukan pelanggaran,"

sememangnya kawan kepada si perosak.

25Orang yang tamak membangkitkan pertengkaran,

tetapi orang yang percaya kepada TUHAN akan diberi kelimpahan.

26Bodohlah orang yang mempercayai hatinya sendiri,

tetapi sesiapa yang hidup dengan hikmah akan selamat.

27Orang yang memberi kepada orang miskin tidak akan berkekurangan,

tetapi orang yang menutup matanya akan mendapat banyak kutukan.

28Ketika orang durjana bangkit, orang menyembunyikan diri,

tetapi ketika mereka binasa, orang benar bertambah ramai.