Alkitab Versi Borneo |
1AJangan bermegah tentang hari esok, kerana engkau tidak tahu apa yang akan terjadi pada hari itu. 2Biarlah orang lain memujimu, jangan mulutmu sendiri, bahkan orang yang tidak kaukenal, bukan bibirmu sendiri. 3Batu itu berat, begitu juga pasir, tetapi hasutan orang bodoh lebih berat daripada kedua-duanya. 4Murka itu bengis, dan kemarahan seperti air bah, tetapi siapa dapat bertahan terhadap cemburu? 5Lebih baik teguran yang nyata daripada kasih yang tersembunyi. 6Pukulan seorang sahabat dapat diyakini baik, tetapi ciuman seorang musuh menubikan kelicikan. 7Orang yang kenyang meluat akan indung madu, tetapi bagi orang lapar, semua yang pahit terasa manis. 8Seperti burung yang menyimpang jauh lalu meninggalkan sarangnya, demikianlah perantauan orang yang meninggalkan tempat tinggalnya. 9Minyak dan wangi-wangian menyenangkan hati, begitu jugalah keikhlasan nasihat seseorang manis bagi sahabatnya. 10Jangan tinggalkan sahabatmu atau sahabat ayahmu, dan jangan datangi rumah saudaramu pada waktu kemalanganmu; tetangga yang dekat lebih baik daripada saudara yang jauh. 11Hendaklah engkau bijaksana, hai anakku, dan sukakanlah hatiku supaya aku dapat menjawab kalangan yang mencelaku. 12Orang bijaksana melihat bahaya lalu bersembunyi, tetapi orang betul bendul berjalan terus lalu menderita akibatnya. 13Jika seseorang menjadi penjamin bagi orang lain, ambillah pakaiannya, dan tahanlah dia jika dia menjadi penjamin bagi perempuan penzina. 14Kata-kata berkat yang diucapkan bagi kawan dengan suara keras pada awal-awal pagi, akan dianggap sebagai kutukan. 15Seperti titisan air pada waktu hujan, demikianlah isteri yang suka bertengkar; 16sesiapa menahannya, menahan angin atau menggenggam minyak dengan tangan kanannya. 17Besi menajamkan besi, demikian juga orang menajamkan sesamanya. 18Sesiapa memelihara pokok ara, akan memakan buahnya, dan orang yang melindungi tuannya akan dihormati. 19Seperti air mencerminkan wajah, demikianlah hati manusia mencerminkan diri manusia itu. 20Alam kubur dan tempat kebinasaan tidak pernah puas, demikian jugalah mata manusia tidak pernah puas. 21Mangkuk pijar untuk perak dan relau untuk emas, tetapi manusia diuji menurut pujian yang diterimanya. 22Sekalipun orang bodoh kautumbuk dalam lesung dengan alu bersama-sama gandum, tidak akan hilang kebodohannya daripadanya. 23Ketahuilah dengan baik keadaan haiwanmu dan perhatikanlah kawanan ternakmu, 24kerana harta benda tidaklah kekal, begitu juga mahkota tidak tetap turun-temurun. 25Ketika rumput lama menghilang, rumput muda terlihat, dan tumbuh-tumbuhan gunung dikumpulkan, 26maka domba-domba akan menyediakan pakaian bagimu dan kambing-kambing jantan akan menyediakan wang pembeli ladang. 27Akan cukup susu kambing untuk rezekimu, rezeki keluargamu, dan penghidupan para pelayan perempuanmu.