Alkitab Versi Borneo |
Tujuan Amsal Ini 1AInilah amsal Salomo anak Daud, raja Israel: 2untuk mengetahui hikmah dan didikan, untuk memahami kata yang dalam ertinya, 3untuk menerima didikan tentang budi pekerti, tentang apa yang benar, adil, dan lurus; 4untuk memberikan kearifan kepada orang yang betul bendul, serta pengetahuan dan budi bicara kepada kalangan muda. 5Orang bijaksana mendengar untuk menambah pengertiannya, dan orang yang arif memperoleh petunjuk 6untuk memahami pepatah serta petua, kata-kata orang bijaksana dan teka-teki mereka. 7BTakut kepada TUHAN adalah permulaan pengetahuan;
orang bodoh meremehkan hikmah dan didikan. Nasihat dan peringatan 8Hai anakku, dengarlah didikan ayahmu, dan jangan lalai ajaran ibumu; 9kerana segalanya hiasan indah kepalamu, dan kalung bagi lehermu. 10Hai anakku, jika orang berdosa memujukmu, jangan turuti. 11Jika mereka berkata, "Ikutlah kami! Mari kita menghendap demi menumpahkan darah; mari kita serang hendap orang yang tidak bersalah tanpa sebarang sebab; 12mari kita menjadi bak alam barzakh dan menelan mereka hidup-hidup, bulat-bulat, seperti orang yang turun ke liang lahat; 13kita akan mendapat segala macam benda berharga, kita akan memenuhi rumah kita dengan barang rampasan; 14buanglah undimu ke tengah-tengah kami; kita kongsi bersama-sama segala yang kita samun!" 15Hai anakku, jangan ikut perilaku mereka; jauhkan kakimu dari jalan-jalan mereka, 16kerana kaki mereka cuma meluru menuju kejahatan, dan mereka bergegas kerana mahu menumpahkan darah. 17Betapa sia-sia membentangkan jaring di hadapan mata burung; 18namun mereka menanti untuk menumpahkan darah sendiri dan menghendap nyawa mereka sendiri. 19Demikianlah jadinya setiap orang yang tamak akan harta haram; kerakusannya itu bakal mencabut nyawanya sendiri. Pentingnya hikmah 20CHikmah berseru-seru di jalan raya, ia menyaringkan suaranya di lapangan. 21Di kepala jalan tumpuan ramai, ia bersuara, dan di muka pintu gerbang kota ia menyampaikan kata-katanya, 22"Hai orang yang betul bendul, sampai bilakah kamu cinta akan keadaanmu sebagai orang yang betul bendul? Sampai bilakah para pencemuh gemar mencemuh, dan orang bodoh benci akan pengetahuan? 23Berpalinglah mendengar teguranku. Sesungguhnya, aku akan mencurahkan isi hatiku kepadamu, aku akan menghuraikan manfaat kata-kataku kepadamu. 24Tetapi kamu menolak ketika kupanggil, dan tiada seorang pun mengendahkan ketika aku menghulurkan tanganku. 25Atas sebab kamu mensia-siakan semua nasihatku, dan tidak mahu menerima teguranku, 26aku pun akan mentertawakan bencana yang kamu alami; aku akan mencemuhmu ketika malapetaka menimpamu, 27ketika kengerian melandamu seperti badai, ketika bencana mendatangimu seperti angin puting beliung, ketika kesesakan serta kesusahan menimpamu. 28Pada waktu itu mereka akan memanggil aku, tetapi aku tidak akan menjawab. Mereka akan bersungguh-sungguh mencari aku, tetapi mereka tidak akan menemukan aku. 29Mereka benci akan pengetahuan
dan tidak memilih supaya takut kepada TUHAN. 30Mereka tidak mahu menerima nasihatku, dan menolak semua teguranku. 31Oleh itu, mereka akan memakan buah pilihan mereka, dan akan kenyang dengan khayalan mereka sendiri. 32Orang betul bendul akan terbunuh oleh sifat melulunya, dan kepuasan orang bodoh akan membinasakan mereka. 33Tetapi orang yang mendengar kata-kataku akan hidup sejahtera dan berasa selamat tanpa takut akan malapetaka."