Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Filipi 2

A A A
Alkitab Versi Borneo

Mencontohi kerendahan hati Kristus

1Oleh itu, jika ada galakan kerana bersatu dalam Kristus, jika ada penghiburan hati kerana kasih-Nya, jika ada keakraban dalam Roh, jika ada lemah lembut dan belas kasih, 2sempurnakanlah kebahagiaanku dengan berkeadaan sejiwa, mempunyai kasih yang sama, sepakat dan bersatu hati. 3Janganlah lakukan apa pun kerana kepentingan diri sendiri atau keangkuhan. Dalam kerendahan hati biarlah setiap orang menganggap yang lain lebih tinggi daripada dirinya. 4Tiap-tiap seorang daripada kamu janganlah menjaga kepentingan diri sahaja, jagalah juga kepentingan orang lain.

5Hendaklah ada dalam dirimu pemikiran yang ada dalam Kristus Yesus: 6Dia yang sekalipun dalam bentuk Allah,

tidak menganggap kesetaraan dengan Allah sesuatu yang harus dipertahankan,

7tetapi Dia telah mengetepikan martabat diri-Nya,

mengambil bentuk seorang hamba,

dan datang dengan rupa manusia.

8Dalam keadaan sebagai manusia,

Dia telah merendahkan diri-Nya

dan taat hingga kepada kematian,

bahkan kematian di salib!

9Itulah sebabnya Allah sangat meninggikan-Nya

dan menganugerahkan kepada-Nya nama yang di atas segala nama,

10Asupaya kepada nama Yesus segala-galanya bertelut,

segala isi langit, bumi dan yang di bawah bumi,

11dan semua lidah mengaku bahawa Yesus Kristus ialah Tuhan,

untuk mendatangkan kemuliaan kepada Allah Bapa.

Menyerlah seperti bintang

12Oleh itu, saudara-saudara yang dikasihi, sebagaimana kamu sentiasa taat, hendaklah kamu mengerjakan penyelamatanmu sendiri dengan takut dan gementar, bukan sahaja ketika aku ada bersamamu malah lebih-lebih lagi sekarang sewaktu aku jauh daripadamu. 13Kerana Allah yang bekerja dalam dirimu, menyebabkan kamu berkehendak dan menjalankan kerja untuk keredaan-Nya.

14Dalam segala perbuatanmu janganlah bersungut-sungut dan berbantah-bantah, 15Bsupaya dirimu tidak beraib dan bersalah, dan kamu menjadi anak-anak Allah yang tidak bercela antara manusia. Dalam zaman yang penuh tipu daya dan perbuatan songsang, maka terserlahlah kamu seperti bintang dalam dunia, 16berpegang teguh pada firman yang memberikan kehidupan. Dengan demikian aku dapat bersukacita pada hari Kristus kerana hidup dan usahaku tidak sia-sia.

17Walaupun sekiranya aku dicurahkan seperti minuman yang dipersembahkan sebagai korban dan khidmat imanmu, aku berbahagia dan bersukacita bersama kamu semua. 18Demikian jugalah kamu harus bahagia dan bersukacita bersamaku.

Timotius dan Epafroditus

19Dalam Tuhan Yesus aku berharap akan dapat mengutus Timotius kepadamu dengan segera, supaya hatiku dihiburkan apabila mengetahui segala hal ehwalmu. 20Kerana tiada seorang bersamaku yang sama sepertinya dan bersungguh-sungguh mengambil berat tentang hal ehwalmu. 21Semua orang mementingkan hal sendiri, tetapi bukan hal yang kepunyaan Yesus Kristus. 22Tetapi kamu mengetahui kelakuannya yang sudah teruji, seperti anak dengan bapa dia berkhidmat bersamaku dalam penyebaran Injil. 23Oleh itu, aku berharap akan mengutusnya dengan segera, sebaik-baik aku mengetahui bagaimana keadaanku. 24Tetapi aku yakin dalam Tuhan bahawa aku pun akan datang tidak lama lagi.

25Namun demikian, aku merasakan perlu menghantar kepadamu Epafroditus, saudaraku, rakan sekerja dan seperjuanganku, pesuruhmu yang telah melayaniku dalam keadaanku yang serba kekurangan. 26Sememangnya, dia merindui kamu semua, dan berasa susah hati disebabkan kamu telah mendengar bahawa dia sakit. 27Memang benar dia sakit, hampir mati, tetapi Allah berbelas kasihan kepadanya, bukan hanya dia tetapi aku juga, supaya kesedihanku tidak bertimpa-timpa. 28Oleh itu, aku menghantarnya dengan rela dan segera, supaya kamu bersukacita dapat bertemu lagi dengannya, dan supaya aku juga kurang khuatir. 29Sambutlah dia dalam Tuhan dengan sepenuh sukacita, dan hormatilah orang yang sedemikian. 30Kerana untuk pekerjaan Kristus dia hampir mati, mempertaruhkan nyawanya untuk menyempurnakan apa-apa yang kurang dalam layananmu kepadaku.