Alkitab Versi Borneo |
Hukuman Allah ke atas Edom 1Penglihatan Obaja. Beginilah firman Tuhan Allah tentang Edom: Kami telah mendengar perutusan Tuhan, dan seorang duta telah diutus kepada bangsa-bangsa dengan pesanan: "Bangunlah, marilah kita memeranginya!" – 2Sesungguhnya, Aku akan menjadikan engkau kecil di antara bangsa, dan engkau akan amat dihina. 3Kamu yang menghuni liang-liang batu, di tempat kediamanmu yang tinggi telah tertipu oleh keangkuhan hatimu. Maka berkata kamu dalam hatimu: "Siapakah kelak yang menurunkan aku ke bumi?" 4Sekalipun kamu terbang tinggi seperti burung rajawali, malah sekalipun sarangmu kamu tempatkan di antara bintang. Dari sana pun Aku akan menurunkan kamu, demikianlah firman Tuhan. 5Jika pada malam pencuri atau penyamun datang kepadamu, betapa kamu akan dibinasakan mereka. Sebabnya bukankah mereka akan mengambil sebanyak yang diperlukan mereka? Jika pemetik buah anggur datang kepadamu, bukankah mereka masih akan meninggalkan sisa-sisa pemetikan? 6Betapa kaum Esau akan digeledah,
dan betapa segala harta benda mereka
yang tersembunyi dicari sehingga terdedah! 7Semua rakan sekutumu akan mengusir kamu ke perbatasan. Dan kamu akan diperdayakan oleh mereka yang berdamai denganmu. Malah kalangan yang makan sehidangan dengan kamu turut berusaha memerangkap kamu. Tidak ada pengertian padanya. 8Demikianlah firman Tuhan: Bukankah pada hari itu Aku akan melenyapkan kalangan yang bijaksana daripada Edom, dan pengertian daripada pergunungan Esau? 9Juga para pahlawanmu, wahai Teman, akan kecewa dan terkejut, hinggakan lenyap semua orang di pergunungan Esau kerana telah terbunuh. 10Oleh sebab kekerasan terhadap saudaramu Yakub, maka kamu diliputi oleh cela, dan kamu akan dilenyapkan buat selama-lamanya. 11Pada hari kamu menyisihkan dan menjauhkan diri, manakala golongan orang luar itu mengangkut kekayaan Yerusalem dan golongan orang asing memasuki pintu gerbangnya dan mencabut undi bagi memperolehnya, kamu seperti seorang daripada mereka itu. 12Maka usah kamu memandang rendah terhadap saudaramu ketika dia mengalami nasib malang, dan janganlah kamu bergembira atas kebinasaan bani Yehuda; dan janganlah kamu berbangga dan bercakap besar pada hari kesusahan mereka. 13Janganlah masuk ke pintu gerbang umat-Ku pada hari mereka menerima bencana, bahkan janganlah pandang ringan malapetaka yang menimpanya pada hari sialnya. Dan janganlah kamu rampas kekayaannya ketika dia menghadapi bencana. 14AJanganlah kamu berdiri di persimpangan untuk menghapuskan para pelarian mereka, dan janganlah kamu penjarakan kalangan mereka yang terselamat pada hari penderitaan itu. Hari Tuhan menjelang 15Sebab bagi segala bangsa, hari Tuhan sudah menjelang. Apa yang kamu lakukan kepada orang lain begitu jugalah akan dilakukan kepadamu, akibat perbuatanmu akan kembali menimpa kepalamu sendiri. 16Sesungguhnya, sebagaimana kamu telah minum di atas gunung-Ku yang kudus, segala bangsa juga akan tidak putus-putus minum di situ; malah mereka akan minum dengan lahap, dan mereka akan menjadi seolah-olah mereka tidak pernah wujud. 17Tetapi akan ada kalangan yang terselamat di Gunung Sion, dan gunung itu akan menjadi tempat kudus; dan keturunan kaum Yakub akan memiliki tanah yang sememang milik mereka. 18Keturunan kaum Yakub akan menjadi bak api dan keturunan Yusuf menjadi nyala api, tetapi keturunan kaum Esau akan menjadi tunggul jerami: mereka akan membakar dan memakan habis semua mereka hinggakan tidak ada seorang pun daripada keturunan kaum Esau yang terlepas, kerana Tuhan telah berfirman demikian. 19Maka warga dari Tanah Negeb akan memiliki pergunungan Esau dan kawasan tanah rendah orang Filistin dan juga memiliki daerah Efraim dan daerah Samaria, manakala suku Benyamin akan memiliki daerah Gilead. 20Dan orang Israel yang dalam buangan akan memiliki tanah orang Kanaan sampai Sarfat; malah orang buangan Yerusalem yang ada di Sefarad, akan memiliki kota-kota di Tanah Negeb. 21Para penyelamat akan mendaki Gunung Sion demi menghukum pergunungan Esau; maka kerajaan itu akan menjadi milik Tuhan.