Alkitab Versi Borneo |
Pengasingan orang bernajis
1TUHAN berfirman kepada Musa, 2"Perintahkanlah orang Israel supaya mereka menyuruh semua orang yang sakit kusta, yang mengeluarkan lelehan, dan yang dinajiskan oleh mayat, keluar dari perkhemahan, 3baik lelaki mahupun perempuan, supaya jangan mereka najiskan perkhemahan, tempat Aku bersemayam di tengah-tengah mereka." 4Maka orang Israel melaksanakan hal itu dan menyuruh orang bernajis itu keluar dari perkhemahan. Seperti yang difirmankan TUHAN kepada Musa, demikianlah dilakukan orang Israel.
Hukum tentang penebusan kesalahan
5ATUHAN berfirman kepada Musa, 6"Katakanlah kepada orang Israel, 'Apabila seseorang lelaki atau perempuan melakukan sesuatu dosa terhadap sesama manusia, dan dengan itu melakukan kemungkaran terhadap TUHAN, lantas orang itu bersalah dan 7dia harus mengakui dosa yang telah dilakukannya itu. Dia juga harus membayar tebusan sepenuhnya atas kesalahannya itu serta menambah seperlima lagi, lalu menyerahkannya kepada orang yang dilakukannya kesalahan itu. 8Akan tetapi, jika orang ini tidak mempunyai kerabat yang dapat menerima pembayarannya, maka tebusan kesalahan itu harus dibayarkan kepada TUHAN dengan menyerahkannya kepada imam, selain domba jantan tebusan yang digunakan untuk mengadakan pendamaian baginya. 9Semua persembahan khusus, iaitu semua barang suci yang dipersembahkan orang Israel kepada imam, ialah bahagian imam. 10Setiap persembahan suci milik seseorang akan menjadi bahagiannya sendiri, tetapi apa yang diberikannya kepada imam akan menjadi bahagian imam.' " Apabila seorang isteri berzina
11TUHAN berfirman kepada Musa, 12"Berbicaralah kepada orang Israel dan katakanlah kepada mereka, 'Seandainya isteri seseorang menyeleweng dan tidak setia kepada suaminya, 13lalu seorang lelaki lain menidurinya tanpa diketahui suaminya dan hal itu tetap tersembunyi walaupun dia telah melakukan noda terhadap dirinya. Namun tidak ada seorang saksi pun terhadap perbuatannya dan dia tidak ditangkap basah. 14Namun begitu jika rasa cemburu menguasai si suami sehingga dia mencurigai isterinya yang sememangnya telah menodai kesucian dirinya sendiri itu. Atau, seorang suami dikuasai rasa cemburu sehingga dia mencurigai isterinya walhal isterinya itu tidak menodai kesucian dirinya sendiri. 15Jika demikian halnya, hendaklah si suami membawa isterinya menghadap imam dengan membawa persembahan berupa sepersepuluh efai tepung barli demi isterinya itu. Dia tidak boleh menuangkan minyak dan meletakkan kemenyan ke atasnya, sebab itu ialah persembahan bahan makanan kerana rasa cemburu, suatu persembahan pengingatan untuk mengingatkan kesalahan. 16Hendaklah imam menyuruh perempuan itu datang dekat lalu menghadapkannya ke hadirat TUHAN. 17Selanjutnya hendaklah imam itu mengambil air suci di dalam sebuah belanga tanah lalu mengambil debu tanah dari lantai Khemah Suci dan membubuhnya ke dalam air itu. 18Setelah imam menghadapkan perempuan itu ke hadirat TUHAN, hendaklah dia menguraikan rambut perempuan itu dan meletakkan di telapak tangannya persembahan pengingat, iaitu persembahan bahan makanan kerana rasa cemburu itu. Sementara itu, di tangan imam sendiri hendaklah ada air pahit yang mendatangkan kutukan. 19Kemudian, hendaklah imam menyuruh perempuan itu bersumpah dengan berkata kepadanya, "Jika memang tidak ada lelaki lain yang tidur dengan kamu, dan jika memang kamu tidak menyeleweng serta menajiskan diri sementara kamu berada di bawah kuasa suamimu, maka bebaslah kamu daripada air pahit yang mendatangkan kutukan ini. 20Tetapi sebaliknya, jika ternyata kamu telah menyeleweng dan menajiskan diri sementara kamu berada di bawah kuasa suamimu, dan jika seorang lelaki selain suamimu ada meniduri kamu," 21kemudian hendaklah imam menyuruh perempuan itu bersumpah dengan sumpah kutukan dan berkata kepada perempuan itu, "Semoga TUHAN membuat kamu menjadi kutukan dan sumpah seranah di tengah-tengah kalangan bangsamu ketika TUHAN menyusutkan pahamu serta membuncitkan perutmu. 22Semoga air yang mendatangkan kutukan ini masuk ke dalam tubuhmu, membuncitkan perutmu, dan menyusutkan pahamu." Perempuan itu harus berkata, "Amin, amin." 23Kemudian, hendaklah imam menuliskan kutukan itu pada segulungan kertas lalu menghapuskannya dengan air pahit. 24Hendaklah imam menyuruh perempuan itu meminum air pahit yang mendatangkan kutukan itu, sehingga air tersebut masuk ke dalam tubuhnya dan menyebabkan rasa sakit yang pedih. 25Setelah itu, hendaklah imam mengambil persembahan bahan makanan kerana rasa cemburu daripada tangan perempuan itu, lalu mengunjukkannya di hadapan TUHAN serta membawanya ke mazbah. 26Dari persembahan bahan makanan itu imam harus mengambil segenggam sebagai bahagian peringatannya lalu membakarnya di atas mazbah. Kemudian barulah dia menyuruh perempuan itu meminum air tersebut. 27Setelah perempuan itu disuruhnya meminum air tersebut, maka akan tersingkaplah segalanya: jika perempuan itu ternyata telah menodai dirinya dan tidak setia kepada suaminya, maka air yang mendatangkan kutukan itu, yang masuk ke dalam tubuhnya, akan menyebabkan rasa sakit yang pedih sehingga perutnya membuncit dan pahanya menyusut. Perempuan itu pun akan menjadi kutukan dalam kalangan bangsanya. 28Akan tetapi, jika perempuan itu tidak menajiskan diri dan tetap suci, maka dia akan bebas daripada kutukan itu dan dapat mempunyai anak kelak." 29Itulah peraturan tentang kecemburuan, ketika seorang isteri menyeleweng dan menodai diri sendiri sementara dia berada di bawah kuasa suaminya, 30atau ketika rasa cemburu menguasai seorang suami sehingga dia mencurigai isterinya. Hendaklah dia menghadapkan isterinya ke hadirat TUHAN dan hendaklah imam menjalankan seluruh hukum ini terhadap perempuan itu. 31Suami akan bebas daripada kesalahan, tetapi hendaklah si isteri itu menanggung kesalahannya.' "