Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Bilangan 4

A A A
Alkitab Versi Borneo

Tugas bani Kehat

1TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun, 2"Jalankanlah banci penduduk yang berasingan atas bani Kehat daripada kalangan bani Lewi menurut kaum dan keluarga masing-masing. 3Hitunglah orang yang berumur tiga puluh sampai lima puluh tahun, iaitu semua orang yang memenuhi syarat untuk melaksanakan pekerjaan di Khemah Pertemuan. 4Pekerjaan bani Kehat di Khemah Pertemuan ialah menguruskan barang-barang yang teramat suci.

5Ketika perkhemahan akan berangkat, hendaklah Harun dan anak-anaknya masuk ke dalam untuk menurunkan tabir penyekat dan menudungi tabut loh hukum dengan tabir itu. 6Hendaklah di atasnya mereka meletakkan penutup daripada kulit anjing laut, menghamparkan sehelai kain yang seluruhnya berwarna biru di atas kulit itu, lalu memasang kayu-kayu pengusungnya.

7Hendaklah mereka menghamparkan sehelai kain biru di atas meja roti persembahan dan meletakkan di atasnya pinggan, perbaraan, mangkuk, serta cawan persembahan minuman, selain itu juga roti persembahan yang harus tetap ada di atasnya. 8Kemudian hendaklah mereka menghamparkan sehelai kain merah menyala di atas semua itu, menudunginya dengan tudung daripada kulit anjing laut lalu memasang kayu-kayu pengusungnya.

9Setelah itu, hendaklah mereka mengambil sehelai kain biru untuk menudungi kaki pelita bagi pencahayaan itu berserta pelita-pelitanya, gunting-gunting sumbunya, perbaraan-perbaraannya, dan segala wadah bagi penyimpanan minyaknya. 10Hendaklah mereka membungkus kaki pelita serta segala kelengkapannya dengan kulit anjing laut dan meletakkannya di atas usungan.

11Selanjutnya hendaklah mereka menghamparkan sehelai kain biru di atas mazbah yang terbuat daripada emas, lalu menudunginya dengan tudung daripada kulit anjing laut, lalu memasang kayu-kayu pengusungnya. 12Hendaklah mereka juga mengambil segala wadah bagi pelayanan yang digunakan di tempat suci dan membungkusnya dengan kain biru, menudunginya dengan tudung kulit anjing laut, dan meletakkannya di atas usungan. 13Kemudian hendaklah mereka menyingkirkan abu dari mazbah lalu menghamparkan sehelai kain ungu ke atasnya. 14Hendaklah mereka juga meletakkan di atasnya segala kelengkapan yang digunakan untuk peribadatan di mazbah, iaitu segala perbaraan, garpu, penyodok, dan bejana. Lalu hendaklah mereka menghamparkan penutup daripada kulit anjing laut di atas semua itu, dan memasang kayu-kayu pengusungnya. 15Setelah Harun dan anak-anaknya menudungi kesemua barang suci dan segala kelengkapan tempat suci ketika perkhemahan akan berangkat, barulah bani Kehat boleh datang untuk mengusung semuanya. Akan tetapi, mereka tidak boleh menyentuh barang-barang suci itu, supaya jangan mereka mati.

Itulah barang-barang di Khemah Pertemuan yang perlu diusung oleh bani Kehat.

16Ketika itu, Eleazar, anak Imam Harun, bertanggungjawab ke atas minyak untuk pencahayaan, dupa harum, persembahan bahan makanan yang tetap, dan minyak tahbis. Dia bertanggungjawab di dalam seluruh Khemah Suci dengan segala isinya, iaitu barang-barang suci serta segala kelengkapannya."

17TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun, 18"Jangan biarkan suku Kehat dan kaum mereka lenyap daripada kalangan bani Lewi. 19Lakukanlah hal ini bagi mereka supaya mereka tetap hidup dan tidak mati ketika mendekati barang-barang yang teramat suci itu: hendaklah Harun dan anak-anaknya masuk lebih dahulu untuk menentukan pekerjaan masing-masing serta barang-barang yang harus diangkut oleh mereka. 20Tetapi bani Kehat tidak boleh masuk ke dalam untuk melihat barang-barang suci itu sekalipun hanya sesaat, supaya jangan mereka mati."

Tugas bani Gerson dan bani Merari

21TUHAN berfirman kepada Musa, 22"Jalankanlah pula banci penduduk atas bani Gerson menurut keluarga dan kaum mereka. 23Hitunglah orang yang berumur tiga puluh sampai lima puluh tahun, iaitu semua orang yang memenuhi syarat-syarat bekerja untuk melaksanakan pekerjaan di Khemah Pertemuan. 24Inilah tugas kaum bani Gerson dalam hal pelayanan dan dalam pengangkutan barang: 25Hendaklah mereka mengangkut kain tabir Khemah Suci, Khemah Pertemuan dengan penudungnya juga tudung daripada kulit anjing laut yang ada di atasnya, tirai pintu masuk ke Khemah Pertemuan, 26kain yang memagari laman dalaman, tirai pintu gerbang laman dalaman yang mengelilingi Khemah Suci juga mazbah, tali-talinya, dan segala kelengkapan yang digunakan dalam pekerjaan itu. Hendaklah mereka mengerjakan segala tugas yang perlu dilaksanakan sehubungan dengan kesemua itu. 27Seluruh tugas bani Gerson, baik pengangkutan barang mahupun pekerjaan lainnya, hendaklah dilakukan berdasarkan perintah Harun dan anak-anaknya. Hendaklah kamu menetapkan tanggungjawab mereka ke atas semua barang yang harus diangkut oleh mereka. 28Itulah tugas kaum bani Gerson di Khemah Pertemuan. Hendaklah kewajipan mereka itu dilaksanakan di bawah pimpinan Itamar, anak Imam Harun.

29Hendaklah kamu juga menghitung bani Merari menurut kaum dan keluarga. 30Hitunglah orang yang berumur tiga puluh sampai lima puluh tahun, iaitu semua orang yang memenuhi syarat untuk melaksanakan pekerjaan di Khemah Pertemuan. 31Sehubungan dengan segala tugas mereka di Khemah Pertemuan itu, inilah barang-barang yang dipertanggungjawabkan untuk diangkut mereka: kerangka Khemah Suci, kayu-kayu palangnya, tiang-tiang dengan semua kekakinya, 32tiang-tiang di sekeliling laman dalaman dengan kekakinya, pasak-pasaknya, tali-temalinya, segala kelengkapannya, dan semua yang digunakan untuk pekerjaan itu. Hendaklah kamu menghitung nama segala kelengkapan yang wajib diangkut mereka. 33Itulah tugas kaum bani Merari, iaitu segala pekerjaan yang harus dilaksanakan mereka di Khemah Pertemuan di bawah pimpinan Itamar, anak Imam Harun."

Penghitungan bani Lewi

34Maka Musa, Harun, dan para pemimpin umat menghitung bani Kehat menurut kaum dan keluarganya, 35iaitu orang berumur tiga puluh sampai lima puluh tahun yang memenuhi syarat untuk bekerja di Khemah Pertemuan. 36Jumlah yang dihitung menurut kaum mereka itu ialah 2,750 orang. 37Itulah jumlah penghitungan kaum bani Kehat, iaitu semua orang yang bekerja di Khemah Pertemuan. Mereka dihitung oleh Musa dan Harun selaras dengan firman TUHAN dengan perantaraan Musa.

38Kemudian bani Gerson dihitung menurut kaum dan keluarganya, 39iaitu orang berumur tiga puluh sampai lima puluh tahun yang memenuhi syarat untuk bekerja di Khemah Pertemuan. 40Jumlah yang dihitung menurut kaum dan keluarganya ialah 2,630 orang. 41Itulah jumlah penghitungan kaum bani Gerson, iaitu semua orang yang bekerja di Khemah Pertemuan. Mereka dihitung oleh Musa dan Harun selaras dengan firman TUHAN. 42Selanjutnya kaum bani Merari dihitung menurut kaum dan keluarganya, 43iaitu orang berumur tiga puluh sampai lima puluh tahun yang memenuhi syarat untuk bekerja di Khemah Pertemuan. 44Jumlah yang dihitung menurut kaum mereka itu ialah 3,200 orang. 45Itulah jumlah penghitungan kaum bani Merari. Mereka dihitung oleh Musa dan Harun selaras dengan firman TUHAN dengan perantaraan Musa. 46Demikianlah Musa, Harun, dan para pemimpin Israel menghitung jumlah semua bani Lewi menurut kaum dan keluarga mereka, 47iaitu semua orang berumur tiga puluh sampai lima puluh tahun yang memenuhi syarat untuk melaksanakan tugas dan pekerjaan mengangkut barang di Khemah Pertemuan. 48Jumlah yang dihitung ialah 8,580 orang. 49Berdasarkan firman TUHAN dengan perantaraan Musa, setiap orang disenaraikan menurut tugasnya sama ada yang melayan atau yang mengangkut. Demikianlah mereka dihitung sebagaimana yang diperintahkan TUHAN kepada Musa.