Alkitab Versi Borneo |
Bileam berucap sekali lagi 1Setelah Bileam melihat bahawa Tuhan berkenan memberkati Israel, maka dia tidak lagi pergi mencari tanda seperti sebelumnya, tetapi dia menghadapkan wajahnya ke arah gurun. 2Bileam melayangkan pandangannya dan melihat orang Israel yang sedang berkhemah mengikut suku masing-masing. Lalu turunlah Roh Allah ke atasnya, 3lalu dia mengucap ungkapannya: "Pernyataan Bileam anak Beor, pernyataan orang yang matanya kini terbuka. 4Pernyataan orang yang mendengar firman Allah dan mendapat penglihatan daripada Yang Maha Kuasa; yang rebah namun matanya tersingkap. 5Betapa eloknya khemah-khemahmu, wahai Yakub, dan tempat-tempat kediamanmu, wahai Israel. 6Semuanya bagaikan lembah yang terbentang, bagaikan taman di pesisiran sungai, bagaikan pokok gaharu yang ditanam oleh Tuhan, bagaikan pokok araz di tepi air. 7Air mengalir daripada timbanya dan benihnya mendapat banyak air. Rajanya akan lebih tinggi daripada Agag, dan kerajaannya akan diagungkan. 8Allah, yang membawanya keluar dari Mesir, dan baginya Allah seperti tanduk lembu liar. Dia akan melahap bangsa-bangsa yang menjadi lawannya, menghancurkan tulang-tulang mereka, dan meremukkan mereka dengan anak-anak panahnya. 9BDia merunduk, mendekam seperti singa jantan atau singa betina. Siapakah yang berani membangunkannya? Diberkatilah orang yang mengucapkan berkat atasmu, dan terkutuklah orang yang mengutuk kamu!" 10Maka menyalalah amarah Balak terhadap Bileam. Ditepuknya kedua-dua tangannya lalu berkatalah dia kepada Bileam, "Aku memanggil kamu untuk mengutuk musuhku, tetapi kamu malah mengucapkan berkat ke atas mereka hingga tiga kali! 11Sekarang, nyahlah kamu! Pulanglah ke tempatmu! Aku pernah berkata bahawa aku akan membuat kamu kaya. Tetapi lihat, Tuhan tidak mengizinkan kamu memperoleh kekayaan itu." 12Kata Bileam kepada Balak, "Bukankah telah kukatakan kepada orang utusan yang kaukirim kepadaku, 13bahawa sekalipun Balak memberikan kepadaku perak dan emas yang memenuhi sebuah istana, aku tidak dapat melanggar firman Tuhan untuk melakukan hal yang baik atau jahat atas niat hatiku sendiri. Apa yang difirmankan Tuhan, itulah yang akan kukatakan. 14Jadi, sekarang aku akan kembali kepada bangsaku. Tetapi marilah, akan kuberitahukan kepadamu apa yang akan dilakukan bangsa itu terhadap bangsamu pada kemudian hari." 15Lalu berwacanalah dia, katanya, "Pernyataan Bileam anak Beor, pernyataan orang yang matanya kini terbuka. 16Pernyataan orang yang mendengar firman Allah, dan mengetahui ilmu pengetahuan daripada Yang Maha Tinggi dan mendapat penglihatan daripada Yang Maha Kuasa; yang rebah namun matanya tersingkap: 17Aku melihat dia tetapi bukan sekarang. Aku memandang dia tetapi bukan dari dekat. Sebuah bintang akan terbit daripada Yakub, sebuah cokmar pemerintahan akan timbul dari Israel, yang akan meremukkan dahi segala bani Moab dan merobohkan semua bani Set. 18Edom akan diduduki, dan Seir juga, musuhnya akan kehilangan semua milik mereka, sedangkan Israel akan melakukan perbuatan yang gagah perkasa. 19Daripada Yakub akan muncul seorang penuh berkuasa, yang akan membinasakan orang yang terselamat daripada kota-kota raya." 20Kemudian dia memandang orang Amalek lalu menyambung wacananya, katanya, "Amalek adalah yang pertama dalam bangsa-bangsa, tetapi kesudahannya ialah kemusnahan yang mutlak." 21Dia memandang pula orang Keni lalu berwacana lagi, katanya, "Memang kukuh tempat kediamanmu, sarangmu terletak di bukit batu. 22Namun demikian, orang Keni akan musnah. Tidak lama lagi Asyur akan menawan kamu." 23Dia meneruskan lagi wacananya, katanya, "Aduh! Siapa yang akan hidup ketika Allah melakukan hal itu? 24Namun demikian, akan datang kapal-kapal dari pesisir Siprus, menindas Asyur serta Eber, lalu dia juga kelak menerima kebinasaan yang mutlak." 25Setelah itu, Bileam segera kembali ke tempat tinggalnya, dan begitu juga halnya dengan Balak.