Alkitab Versi Borneo |
Bileam memberkati orang Israel 1Kata Bileam kepada Balak, "Dirikanlah bagiku di sini tujuh buah mazbah, iaitu tempat pembakaran korban, dan sediakanlah bagiku di sini tujuh ekor lembu jantan serta tujuh ekor domba jantan." 2Balak melakukan seperti yang dikatakan Bileam, lalu Balak dan Bileam mempersembahkan seekor lembu jantan dan seekor domba jantan di atas setiap mazbah itu. 3Setelah itu Bileam berkata kepada Balak, "Berdirilah di samping korban bakaranmu sementara aku pergi. Mungkin Tuhan akan datang menemuiku, dan apa-apa pun yang dinyatakan-Nya kepadaku akan kuberitahukan kepadamu." Lalu pergilah dia ke sebuah bukit yang gondol. 4Allah menemui Bileam, dan Bileam berkata kepada-Nya, "Aku telah mengatur tujuh buah mazbah, dan di atas setiap mazbah itu telah kupersembahkan seekor lembu jantan dan seekor domba jantan." 5Tuhan pun memberitahukan kepada Bileam apa yang harus dikatakannya lalu berfirman, "Kembalilah kepada Balak dan katakanlah demikian." 6Ketika Bileam kembali kepadanya, tampak Balak masih berdiri di samping korban bakarannya, disertai semua pembesar Moab. 7Kemudian Bileam mengungkap ucapannya: "Dari Aram, dari gunung-gunung wilayah timur, aku dijemput oleh Balak, raja Moab. Katanya, 'Datanglah, kutuklah Yakub bagiku. Datanglah, kecamlah Israel.' 8Bagaimana mungkin aku mengutuk yang tidak dikutuk Allah? Bagaimana mungkin aku mengecam yang tidak dikecam Tuhan? 9Dari puncak gunung batu aku melihat mereka, dari atas bukit aku memandang mereka. Lihat, suatu bangsa yang diam tersendiri dan tidak mahu diperhitungkan antara kalangan bangsa. 10Siapa dapat memperhitungkan debu Yakub, atau membilang seperempat bahagian daripada orang Israel? Biarlah aku mati seperti matinya orang jujur, dan biarlah kesudahan aku seperti kesudahan mereka." 11Maka kata Balak kepada Bileam, "Apakah yang kaulakukan terhadapku? Aku menjemput kamu supaya kamu mengutuk musuhku, tetapi kamu malah mengucapkan berkat ke atas mereka." 12Jawabnya, "Bukankah aku harus berhati-hati supaya aku mengatakan apa yang diberitahukan Tuhan kepadaku?" 13Kemudian kata Balak kepadanya, "Mari pergi bersama-samaku ke tempat lain. Dari sana kamu dapat melihat mereka. Kamu akan melihat sebahagian sahaja daripada mereka, tidak semuanya. Kutuklah mereka untukku dari sana." 14Dibawanya Bileam ke Padang Zofim, ke puncak Gunung Pisga. Di situ dia mendirikan tujuh buah mazbah, dan di atas setiap mazbah itu dipersembahkannya seekor lembu jantan dan seekor domba jantan. 15Bileam pun berkata kepada Balak, "Berdirilah di sini, di samping korban bakaranmu, sementara aku bertemu dengan Tuhan di sana." 16Lalu Tuhan menemui Bileam, memberitahukan kepadanya apa yang harus dikatakannya dan berfirman, "Kembalilah kepada Balak dan katakanlah demikian." 17Ketika dia sampai kepada Balak, tampak Balak masih berdiri di samping korban bakarannya disertai orang besar Moab. Balak bertanya kepadanya, "Apakah yang difirmankan Tuhan?" 18Bileam pun berwacana, katanya, "Marilah, hai Balak, dengarlah. Perhatikanlah aku, hai anak Zipor. 19Allah bukanlah manusia sehingga Dia berbohong,
bukan anak manusia sehingga Dia menyesal dan berubah fikiran.
Jika Dia berfirman, tidak akankah Dia lakukannya?
Jika Dia berbicara, tidak akankah Dia laksanakannya? 20Sesungguhnya, aku menerima perintah untuk mengucapkan berkat. Jika Dia memberkati, aku tidak dapat mengubahnya. 21Tidak dilihat-Nya kejahatan pada Yakub, kezaliman pun tidak nampak pada Israel. Tuhan, Allah mereka, menyertai mereka dan sorak seorang Raja ada dalam kalangan mereka. 22Allah, yang membawa orang itu keluar dari Mesir, dan Dialah seperti tanduk lembu liar bagi mereka. 23Sesungguhnya, tidak ada mantera yang ampuh terhadap Yakub, tidak ada tenungan yang menawan Israel. Pada waktunya akan dikatakan tentang Yakub dan tentang Israel, 'Lihat, apa yang dikerjakan Allah!' 24Lihat, bangsa itu bangkit seperti singa betina,
dan berdiri tegak seperti singa jantan.
Ia tidak akan berbaring sebelum memakan mangsanya
dan meminum darah daripada yang dibunuhnya."
25Maka kata Balak kepada Bileam, "Jika kamu sekali-kali tidak mahu mengutuk mereka, janganlah sekali-kali kauucapkan berkat ke atas mereka!" 26Tetapi jawab Bileam kepada Balak, "Bukankah telah kukatakan kepadamu bahawa semua yang difirmankan Tuhan akan kulakukan?" 27Balak berkata lagi kepada Bileam, "Mari pergi. Aku akan membawamu ke tempat lain. Siapa tahu Allah memperkenankan kamu mengutuk mereka untukku dari sana." 28Kemudian Balak membawa Bileam ke puncak Gunung Peor yang menghadap ke gurun. 29Kata Bileam kepada Balak, "Dirikanlah bagiku di sini tujuh buah mazbah, dan sediakanlah bagiku di sini tujuh ekor lembu jantan serta tujuh ekor domba jantan." 30Balak melakukan seperti yang dikatakan Bileam dan mempersembahkan seekor lembu jantan dan seekor domba jantan di atas setiap mazbah itu.